Hamidah Ab Razak
Hamidah Ab RazakPelajar Mahasiswa Sarjana Muda Akidah dan Pengajian Agama, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Ulama ada berkata husnul zon (bersangka baik ) kepada Allah SWT akan membuatkan seseorang itu berjaya dalam kehidupannya. Itulah kaedah yang Nabi SAW ajarkan kepada kita.  Allah SWT akan memberikan seperti mana seseorang itu bersangka dengan Allah Azza Wajalla.

Setiap kali bangun pagi amalkan menyebut dalam hati “in sya Allah hari ini Allah akan bagi lebih baik daripada kemarin,lebih bahagia dan lebih untung untuk akhirat daripada kemarin “.

Begitulah sepatutnya seorang muslim yang inginkan kejayaan dalam hidupnya. Dari Abu hurairah Radhiallahu Anhu, ia berkata rasulullah sallallahu Alaihi Wasallam bersabda: Allah berfirman: Aku akan berurusan dengan hamba-hambaku seperti mana apa yang mereka sangkakan kepadaku ‘’ ( HR Bukhori dan Muslim )

Allah SWT maha mengetahui setiap apa yang akan berlaku dan dia lebih mengetahui apa yang terbaik untuk setiap hambanya.

Ada manusia beranggapan tidak baik ketika Allah tidak membantunya pada saat dia memerlukan pertolongan. Maka, dia berasakan dirinya tidak disayangi, doanya tidak pernah dimakbulkan dan amalan kebaikannya sia-sia. Sangkaan seperti itu akan menjadikan dirinya jauh daripada Allah SWT.

Rasa penat dan putus asa itu lumrah sebagai manusia. Namun, janganlah sampai menjadikan kita lebih jauh dari Allah SWT. Sebelum mengambil keputusan merosakkan diri sendiri,fikirlah sedalam – dalamnya. Cuba renungkan nikmat yang terlalu  banyak Allah SWT kurniakan kepada kita.

Ketika susah dan jatuh sebelum ini, cuba fikir adakah kita mampu  bangun atau tidak? Kala kita terlalu sedih, akhirnya kita mampu tersenyum atau tidak ? Begitu juga, ketika kita berhadapan dengan masalah, adalah ia diselesaikan atau tidak ?

Setiap jalan keluar itu tidak disebabkan kenalan atau sesiapa sahaja yang datang membantu. Sebenarnya yang menggerakkan hati mereka untuk membantu adalah disebabkan Allah SWT yang mengatur segalanya.

Di dalam surah Ar- Rahman Allah SWT bertanya kepada kita sebanyak 31 kali. Allah SWT berfirman ya g bermaksud :” Nikmat mana lagi yang kamu mahu dustakan ? ( Surah Ar Rahman ) “

Sememangnya kita tidak dapat menafikan segala kenikmatan yang kita rasai sekarang ialah datangnya dari Allah,sekiranya Allah tidak mengizinkannya pasti ia tidak akan berlaku. Justeru itu, Islam mendidik kita agar sentiasa bersangka baik dengan Allah walau apa jua keadaan sekalipun. Yakinlah Allah SWT mentakdirkan sesuatu itu berlaku dengan bersebab. Hanya dia yang Maha Mengetahui hikmah akan sesuatu itu berlaku dan kita juga akan tahu hikmahnya sekiranya kita bersabar terlebih dahulu.

Tugas kita hanyalah perlu terus bersangka baik dengan Allah SWT. Satu kisah pengajaran disebalik surah Ad-Dhuha yang mana Allah ingin memberitahu kita semua bahawa Allah tidak perkenankan apa yang kita harapkan di saat kita memerlukannya.

Itu tidak bermakna Allah tidak menyayangi kita dan tidak sekali-kali meninggalkan hambanya. Ayat itu diturunkan ketika malaikat Jibril agak lewat datang membawa wahyu kepada Nabi SAW . Lalu orang musyrikin mengejek Baginda dan mendakwa bahawa Nabi SAW ditinggalkan Allah. Ayat itu diturunkan ketika Nabi SAW mengaharapkan turunnya wahyu daripada Allah, tetapi selama enam bulan wahyu masih tidak turun.

Imam Bukhori dan Imam Muslim meriwayatkan dari Jundub, Nabi mengalami demam dan tidak dapat sembahyang ( berjemaah ) satu atau dua malam. Kemudian datang seorang perempuan mengejek Baginda SAW dan berkata : ‘ Nampaknya syaitan yang selalu datang mengganggu kamu itu mungkin sudah pergi meninggalkan kamu ‘’.

Lalu turunlah wahyu Allah ayat satu hingga tiga surah Ad Dhuha yang bermaksud : ” Demi waktu dhuha, dan malam apabila ia sunyi sepi bahawa Tuhanmu wahai Muhammad tidak meninggalkanmu dan ia tidak benci kepadamu sebagaimana yang dituduh oleh kaum musyrik ‘’.

Kisah itu mengajar kita semua agar meyakini dan bersangka baik kepada Allah. Setiap sesuatu yang berlaku pasti ada hikmahnya. In Sya Allah semakin kita bersangka baik kepada Allah, semakin banyaklah kita dapat seperti apa yang kita sangkakan. Didiklah hati supaya sentiasa bersangka baik kepada Allah untuk setiap urusan kehidupan kita hatta ketika maut menjemput sekalipun.

“Janganlah seseorang di antara kamu meninggal dunia kecuali dalam keadaan berbaik sangka kepada ALLAH”
(HR Muslim)

-Artikel ini telah diterbitkan di Harian Metro