Dr. Nadiah Ramlan
Dr. Nadiah RamlanPensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Aidilfitri merupakan hari kemenangan bagi seluruh umat Islam setelah melalui ibadah berpuasa selama 30 hari. Ibrah dari bulan Ramadan ini harus diteladani sepanjang masa. Tidak terhad hanya di bulan Ramadan sahaja. Justeru itu, kita digalakkan supaya terus istiqamah serta beserderhana dalam apa jua perkara terutamanya semasa membuat persediaan Aidilfitri. Tidak perlu terikut-ikut dengan gaya yang berlebihan dan hanya untuk bermegah serta menunjuk-nunjuk.

Desawarsa ini, gaya hidup masyarakat kini diwarnai dengan kehidupan yang elegan dan berlebih-lebihan terutama sekali dalam hal persediaan untuk menyambut Aidilfitri. Bak kata pepatah “Ukur baju dibadan sendiri” Begitulah kita dalam berbelanja melengkapkan keperluan dan persiapan Aidilfitri. Perlu berhemah mengikut jumlah budget yang ada. Beserderhana adalah lebih baik dari berlebih-lebihan seterusnya menimbulkan pembaziran. Islam menuntut umatnya beserderhana dalam segala hal dan sentiasa mengambil berat terhadap insan yang kurang bernasib baik dan berada dalam kesusahan. Apalah salahnya jika kita beserderhana dan jika ada budget lebih, boleh disedekahkan kepada insan yang lebih memerlukan. Konsep beserderhana sangat dituntut dalam Islam sepertimana firman Allah SWT dalam Surah Al-Furqan Ayat 63:

 وَعِبَادُ الرَّحْمٰنِ الَّذِيْنَ يَمْشُوْنَ عَلَى الْاَرْضِ هَوْنًا وَّاِذَا خَاطَبَهُمُ الْجٰهِلُوْنَ قَالُوْا سَلٰمًا

” Maksudnya: “Adapun hamba-hamba Tuhan Yang Maha Pengasih itu adalah orang-orang yang berjalan di bumi dengan rendah hati dan apabila orang-orang bodoh menyapa mereka (dengan kata-kata yang menghina), mereka mengucapkan salam,”

Ironinya, kefardhuan berpuasa adalah supaya umat Islam sentiasa bersyukur dan untuk mendapatkan redha Allah SWT. Yang paling utama adalah bagi meningkatkan ketakwaan kepada Allah SWT serta mengaplikasikan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian. Utamakan keperluan yang utama dan tidak perlu berbelanja untuk benda yang bukan keperluan. Langkah terbaik bagi mengelakkan pembaziran ialah dengan menyenaraikan benda-benda yang penting dan perlu dibeli sahaja.Bagi yang tidak penting, mungkin boleh dibeli dilain waktu atau diabaikan sahaja.

Gaya hidup berlebih-lebihan terutamanya dalam berbelanja berkemungkinan menjadi antara punca utama kepada pelbagai masalah. Ini termasuklah masalah yang berkaitan dengan persekitaran. Pemanasan bumi berlaku kerana peningkatan gas rumah hijau yang berkait dengan pelbagai kegiatan manusia dan kebergantungan tinggi terhadap bahan api fosil yang mungkin berpunca dari kekerapan menggunakan bahan api yang tinggi. Masyarakat berlumba-lumba memenuhi pasaraya untuk berbelanja tanpa had. Manakala, lambakan sampah-sarap yang semakin meningkat kerana kegagalan mengawal penggunaan pelbagai barangan yang sebahagian besarnya berpunca daripada kemahuan dan bukan kerana keperluan.

Islam amat melarang umatnya melakukan pembaziran sehingga Al-
lah menyifatkan orang yang suka membazir itu seolah-olah seperti saudara syaitan. Firman Allah yang bermaksud: “Sesungguhnya orang-orang yang melakukan pembaziran ialah saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.” (Surah al-Isra’, ayat 27). Tambahan pula, kita telah pun berada di malam-malam terakhir Ramadan. Jadi, lebih molek jika kita dapat fokus kepada ibadah serta merebut kelebihan serta ganjaran malam LailatulQadar. Sepertimana didalam hadis dibawah:

“Daripada Aisyah R.A katanya: Sesungguhnya Rasulullah S.A.W beriktikaf pada sepuluh hari terakhir di dalam bulan Ramadan dan bersabda: “Carilah Lailatul Qadar di sepuluh malam yang terakhir dalam bulan Ramadan.”
(Riwayat Bukhari dan Muslim)

كَانَ رَسُوْلُ اللهِ يَجْتَهِدُ من الْعَشْرِ الأَوَاخِرِ مَالاَ يَجْتَهِدُ فِيْ غَيْرِهِ

“Rasulullah S.A.W bersungguh-sungguh pada sepuluh malam terakhir, yang kesungguhannya tidak seperti pada waktu-waktu lainnya.”
(Riwayat Imam Muslim)

Dalam konteks masa kini, ibrah selepas bulan Ramadan menjadikan kita hamba yang lebih bertakwa dan bersyukur. Keseluruhan nilai-nilai baik yang terbentuk ketika sedang berpuasa seperti sifat sabar, berdisiplin, menepati waktu serta lain-lain harus dipraktikkan sepanjang kita hidup di mukabumi ini.

Akhir kalam, hidup kita ditentukan oleh diri kita sendiri. Hiduplah dengan besederhana dalam apa jua keadaan kerana ia adalah lebih ideal dan lebih harmoni. Bekalan akhirat yang perlu kita kejar bukan kemewahan duniawi semata-mata. Kelak, pasti hidup kita akan tenang dan sentiasa dalam Rahmat Allah SWT jua. Insya`allah