Masih belum terlambat untuk kita berasa bahagia apabila Malaysia diumumkan sebagai “Negara paling disayangi di Asia” menurut portal laman web kewangan, Insider Monkey yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat (AS). Negara-negara Asia lain yang punya keunikan tersendiri seperti kemodenan yang mengasyikkan seperti Singapura dan keunikan serta kekayaan budaya seperti Indonesia juga nampaknya kalah di tangan Malaysia kali ini.
Dilihat sebagai sebuah negara yang demokratik selain negara yang kelima paling ramai dikunjugi pelancong, metrik ini memberi merit tersendiri dalam menentukan kemenangan Malaysia dalam ranking ini. Berkaitan ini, kita boleh mengaitkan soal kepentingan membentuk sebuah negara yang sejahtera dan membahagiakan berbanding sebuah negara yang hanya moden dan kaya.
Mungkin satu konsep yang boleh dikaitkan dengan keadaan ini ialah budaya healing yang sering dikaitkan dengan kesihatan mental yang seterusnya membawa kepada kesejahteraan dan kebahagiaan. Menurut Persatuan Psikologi Amerika, healing merupakan proses pemulihan kesihatan mental dan emosi, di mana individu bekerja melalui pengalaman yang sukar dalam sesuatu perkara yang membelenggu kehidupan bagi mencapai keseimbangan dan ketenangan dalaman. Umumnya, healing bermaksud kembali membawa diri kepada keadaan yang sihat atau menyembuhkan. Terma ini dilihat amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia terutama para remaja.
Ada banyak kaedah healing yang digunakan ramai. Antara saranan daripada Journal of Psychosomatic Research, amalan yoga dan terapi muzik terbukti efektif mengurangkan stres dalam kehidupan seharian. Di sini kita dapat lihat betapa tanpa memerlukan kos yang tinggi serta tidak perlu banyak daya dan upaya, kita boleh healing dengan berkesan. Dalam Islam, Ruqyah Syariyyah, solat, doa, zikir, mengamalkan makanan sunah dan herba herba tertentu untuk tujuan rawatan dan penyembuhan adalah antara yang berkesan dan membantu proses healing seseorang.
Konsep healing ini menarik jika dilihat dari sejarahnya. Contohnya, pada abad ke-9 masihi, ilmuwan Muslim terkenal, Al-Kindi, mengembangkan konsep “muzik tersembunyi” sebagai medium meredakan stres dan ketenangan fikiran. Penemuan ini menjadikan muzik sebagai budaya healing yang memberikan sumbangan besar dalam bidang kesejahteraan mental selama berabad-abad.
Kajian-kajian yang lebih kontemporari juga membuktikan keberkesanan yang serupa iaitu alunan muzik mampu mendamaikan yang memberi ketenangan jiwa kepada seseorang. Ini selari dengan keberkesanan terapi minda yang menggabungkan alunan ayat al-Quran dengan alam semula jadi dan dapat mengurangkan masalah kesihatan mental remaja. Bukti ini sekaligus memberi isyarat kepada kita bahawa integrasi elemen alam dan spiritual boleh menjadi kunci kepada kesejahteraan mental yang baik.
Namun begitu, budaya healing tidak hanya terbatas kepada amalan spiritual dan muzik. Di pelbagai pelosok dunia, budaya tradisi lain juga terbukti memberi sokongan kepada kesihatan mental. Di Jepun misalnya, budaya tempatan yang dikenali sebagai mandi hutan diamalkan oleh penduduk tempatan yang menghabiskan waktu di hutan bagi merasakan persekitaran damai terbukti dapat mengurangkan stres untuk meningkatkan lagi kesejahteraan hidup.
Di Norway pula, negara tersebut dikenali sebagai Negara Fjord yang kaya dengan keindahan alam yang menakjubkan. Aktiviti seperti ski dan mendaki sudah sebati dengan budaya masyarakat di sana. Menurut laporan World Happiness Report pada 2024, Norway ialah negara ketujuh paling bahagia di dunia dan sering kali mendapat tempat tertinggi dalam Index Kebahagiaan Dunia hampir setiap tahun. Alat healingnya ialah alam semulajadi yang dikurniakan Allah kepada negara itu.
Tidak dinafikan, proses healing yang berkesan jika diamalkan secara berterusan dapat menyokong perkembangan kesihatan mental yang amat kita perlukan dalam mengharungi dunia moden yang mencabar hari ini. Bekerja kuat dan belajar dengan bersungguh sungguh pastinya memenatkan tetapi pasti juga memberi hasil yang sangat membanggakan diri dan keluarga. Namun, pastikan kebanggaan itu kekal dengan memastikan kesihatan mental dijaga sebaiknya supaya kesihatan diri tetap menjadi perkara nombor satu dalam banyak banyak hal yang mungkin dilihat lebih penting dalam hidup ini.