Dr Ehwan Ngadi
Dr Ehwan NgadiPensyarah Kolej Genius Insan

Pada Januari 2020, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah mengisytiharkan situasi pandemik akibat penularan sejenis virus baharu jenis Korona yang menyebabkan wabak COVID19. Selaras dengan pengisytiharan wabak ini, semua negara telah menutup semua sektor termasuklah sektor pendidikan. Langkah penutupan sektor pendidikan ini menyebabkan semua sekolah dan pusat pengajian tinggi ditutup bagi memutuskan rantaian penularan wabak yang berbahaya ini. Akibatnya,  proses pengajaran dan pembelajaran secara bersemuka yang telah diamalkan sejak zaman dahulu lagi secara terpaksa dihentikan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dalam usaha  untuk memastikan semua  murid tidak ketinggalan dalam mengikuti pembelajaran, warga pendidik mula menggunakan opsyen untuk menjalankan kelas secara atas talian. Pelbagai kegusaran yang timbul apabila ingin melaksanakan  kaedah pembelajaran secara atas talian ini.  Ada murid yang tidak mempunyai gajet atau telefon pintar peribadi, ada yang tidak mempunyai cukup data internet dan ada pula yang tidak mempunyai capaian internet langsung. Bagi pendidik pula, wujud kesangsian platform manakah yang sesuai untuk menjalankan  pembelajaran secara atas talian dan kebanyakannya menggunakan kaedah cuba jaya, iaitu menggunakan mana-mana platform dan lihat kepada kesesuaian.

Tiga implikasi utama dilihat menjadi cabaran besar kepada pendidik bagi menjalankan pembelajaran secara atas talian, iaitu kebolehcapaian internet dan kestabilan platform pengajaran, pengurusan emosi serta pentaksiran secara holistik.

Kebolehcapaian internet menjadi salah satu perkara penting dalam mengendalikan kelas atas talian. Usaha mengenalpasti tahap kebolehcapaian internet bagi setiap murid di dalam kelas dapat membantu guru dalam menentukan kaedah bersesuaian bagi membolehkan kelas atas talian dapat dijalankan dengan baik. Namun begitu, beberapa kekangan wujud terutamanya bagi murid yang tinggal di kawasan yang kurang mendapat liputan internet.   Oleh yang demikian, murid-murid ini perlu dicapai dengan menghubungi mereka melalui platform yang lebih sesuai seperti aplikasi WhatApps, Telegram mahupun Messenger. Sekiranya pelajar-pelajar ini tidak dapat dihubungi melalui aplikasi-aplikasi ini, maka kaedah konvensional adalah pilihan terakhir dengan mengepos atau menghantar bahan pengajaran kepada murid. Ini amat penting bagi mengelakkan murid ketinggalan mengikuti sesi pembelajaran, dan pada masa yang sama berupaya merangsang sistem kognitif murid secara berterusan.

Pemilihan platform bersesuaian amat penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Ini bertujuan mengelakkan berlakunya lag atau screen freeze  yang boleh mengganggu tumpuan pelajar sekiranya kelas atas talian dilakukan secara bersemuka. Guru perlu mengetahui tahap kestabilan internet, sama ada rendah, sederhana atau tinggi sebelum memilih platform pengajaran yang bersesuaian. Menurut Pusat e-Pembelajaran dan Sumber Pengajaran, Universiti Malaysia Pahang, sekiranya capaian internet rendah, platform seperti WhatsApp, Telegram dan Instagram sesuai dijadikan platform pengajaran murid.  Bagi capaian sederhana, platform seperti Youtube dan Kahoot sesuai digunakan, manakala bagi capaian tinggi, platform bersemuka seperti Zoom, Microsoft Team, Skype dan Google Meet sesuai digunakan. Kaedah pengajaran terbeza sesuai dijalankan menggunakan platform yang berbeza kepada pelajar berdasarkan jenis capaian internet murid. Meskipun dilihat sebagai satu cara yang renyah, kaedah ini dilihat berkesan dalam membolehkan pembelajaran murid dicapai secara maksimum.

Implikasi kedua pelaksanaan pembelajaran dalam talian adalah pengurusan emosi.  Peringkat awal pelaksanaan PKP seakan memberikan ‘rahmat’ kepada pelajar kerana tidak perlu hadir ke sekolah dan menjalani aktiviti PdP harian. Akan tetapi, jangkamasa PKP yang lama dan dilanjutkan pula dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) selama empat minggu menjadikan pelajar mulai rasa bosan terkurung di rumah. Murid tidak dapat bertemu rakan sebaya, bermain dan berbual dengan sahabat karib di sekolah ataupun menjalani aktiviti ko kurikulum. Ini mengakibatkan emosi murid mulai mengalami ketidakstabilan. Sesi pembelajaran atas talian yang mempunyai jadual tertentu yang telah ditetapkan oleh pendidik perlu juga mengambil kira peranan murid untuk membantu ibu bapa di rumah.  Oleh yang demikian, satu platform kaunseling khas perlu diwujudkan oleh pihak sekolah. Platform ini perlu diuar-uarkan kepada murid bagi membolehkan mereka menghubungi guru-guru kaunseling sekiranya mereka mengalami ketidakstabilan emosi. Sokongan kaunseling amat perlu semasa perintah kawalan pergerakan ini selain membantu murid berdepan dengan normal baharu pembelajaran.

Implikasi ketiga pelaksanaan pembelajaran dalam talian ini adalah pentaksiran holistic.  Persoalan timbul apabila bagaimana pentaksiran dapat dijalankan bagi memenuhi Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK).   Jika sebelum ini, pentaksiran dijalankan secara bertulis akibat daripada penutupan sekolah dan sesi persekolahan, kaedah pentaksiran secara holistik ini dilihat kaedah paling ideal dalam mengukur tahap pengetahuan murid. Kaedah pentaksiran ini yang merupakan kombinasi daripada subjek teras yang merupakan lapisan pertama dan elektif sebagai lapisan kedua kaedah pentaksiran ini mampu mengukur keupayaan pemikiran aras tinggi murid. Pada masa yang sama, kombinasi ini juga boleh disertakan dengan subjek Pendidikan Islam dan Moral sebagai lapisan ketiga yang berupaya mengukuhkan penerapan nilai kepada murid.

Kaedah pentaksiran berasaskan projek yang boleh dilaksanakan bersama keluarga, kajian kes, ulasan artikel, menjalankan eksperimen dan merekabentuk poster mampu memenuhi keperluan komponen pembentukan intelektual, rohani, emosi dan jasmani. Ini secara tidak langsung memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Negara yang ingin melahirkan murid yang seimbang dari aspek jasmani, emosi , rohani dan intelektual.

Melihat penularan wabak COVID19 secara positif, ia mencetuskan satu semangat dan usaha yang luar biasa bagi pendidik di Malaysia dalam memastikan murid tidak ketinggalan dalam pendidikan.   Para pendidik berusaha sedaya upaya menjadi kreatif dalam mempelbagaikan kaedah pengajaran.  Mereka tanpa segan silu berguru bagi meningkatkan keupayaan mereka untuk mendidik seiring dengan kemajuan teknologi. Selari dengan normal baharu, pembelajaran secara atas talian ini memerlukan komitmen dan sokongan tidak terhingga ibu bapa dalam membantu pendidik mendidik murid. Ibu bapa perlu memahami normal baharu pendidikan, memberikan ruang kepada anak-anak menghadiri kelas atas talian serta turut memantau sesi pembelajaran dan kerja sekolah mereka. Usaha luar biasa ini tidak terkecuali memerlukan komitmen murid yang tidak berbelah bahagi. Penglibatan murid dalam kelas atas talian ini bukan sahaja sekadar mendengar celoteh pendidik, tetapi memberikan respons serta menyiapkan tugasan yang diberikan. Sekiranya murid tidak memberikan komitmen secukupnya, ia seakan ‘bertepuk sebelah tangan’, manakan jadi ilmu yang dihulurkan bersambut kepada murid. Jelas bahawa keupayaan memberikan khidmat pendidikan yang terbaik kepada murid semasa wabak COVID19 ini memerlukan usaha dan tenaga yang luar biasa daripada semua pihak, ibu bapa, pendidik dan murid. Justeru, tema BERGURU DEMI ILMU, BINA GENERASI BAHARU sempena sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan tahun ini amat bertepatan dengan situasi semasa yang sedang dialami oleh negara kita dan seluruh dunia.