Umum mengetahui bahawa kehendak pasaran terhadap graduan universiti pada hari ini sudah berubah dan rentaknya kini kian berbeza jika dibandingkan dengan graduan suatu ketika dahulu. Lambakan graduan yang dihasilkan hanya berbekalkan segulung ijazah dan kejayaan pada kertas menjadikan majikan berhati-hati dan begitu teliti dalam memilih bakal pekerja mereka. Graduan pada hari ni sudah tidak cukup dengan hanya segulung ijazah, tetapi harus ada nilai tambah yang membezakan mereka dengan graduan yang lainnya. Pandangan umum sering merujuk kegagalan graduan mendapat kerja disebabkan mereka tidak memiliki kemahiran insaniah yang diperlukan majikan.
Biarpun memiliki keputusan peperiksaan yang cemerlang, ia tidak menjadikan seseorang itu layak diterima bekerja. Hal ini kerana kebolehpasaran setiap graduan dinilai dalam pelbagai aspek.Graduan harus melengkapkan diri mereka dengan kemahiran insaniah yang tinggi termasuk komunikasi secara berkesan dan beberapa kemahiran lain seperti kemahiran kepimpinan, kerja berpasukan, pemikiran kritis, dan keusahawanan. Pihak majikan pula lebih cenderung mencari bakal pekerja yang memiliki pelbagai kemahiran tanpa perlu memberi latihan dalam perkhidmatan (in-house training). Proses pembangunan “Soft Skills” ini boleh dilaksanakan kepada semua pelajar meliputi di dalam dan di luar bilik kuliah.
Justeru, langkah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), dibawah kepimpinan menterinya, Dato’ Seri Idris Jusoh memperkenalkan Purata Nilai Gred Kumulatif Bersepadu (ICGPA) merupakan langkah yang tepat untuk melahirkan mahasiswa yang lebih kompeten dan kompetetif dalam segenap aspek dan lapangan serta mampu memenuhi kehendak majikan kini. Ia merupakan suatu evolusi dalam sistem pendidikan tinggi pada hari ini.
Usaha murni dan langkah bijak KPT ini perlu dihayati dan disambut oleh segenap lapisan mahasiswa samada yang berada di Universiti Awam mahupun swasta. Mahasiswa perlu berusaha untuk meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri mereka dan bukan hanya menumpukan usaha secara keseluruhan terhadap kecemerlangan dalam peperiksaan semata-mata. Mereka perlu meneroka potensi diri untuk membangunkan kemahiran yang dimiliki agar mahasiswa yang dilahirkan ini tidak kelihatan tempang kerana hilangnya nilai estetika yang menjadikan mereka ini berharga. Benar, bukan mahasiswa pencari pekerjaan yang kita ingin lahirkan, bahkan lebih daripada itu iaitu sebagai pencipta kepada pekerjaan yang mampu menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi dan sosial masyarakat secara langsung. Maka, langkah proaktif perlu diambil oleh mahasiswa untuk meningkatkan kemahiran insaniah dalam diri seiring dengan kecemerlangan akademik.
Kemahiran insaniah yang dimaksudkan mencakupi beberapa aspek iaitu kualiti peribadi yang merangkumi erti tanggungjawab, kepercayaan diri, kemampuan berkomunikasi dengan baik, pengendalian diri, berintegriti dan jujur. Ia juga melibatkan keterampilan interpersonal, misalnya sejauh mana mereka dapat bergaul dengan anggota masyarakat atau berinteraksi di dalam sesebuah organisasi, berkongsi pengetahuan dengan orang lain, melayani pelanggan, daya kepimpinan, kemampuan berunding serta keupayaan kerja dalam pelbagai situasi dan ragam. Malah jika seseorang graduan memiliki kemahiran insaniah, ini juga merupakan satu lagi strategi menambah nilai diri graduan dalam kebolehpasaran untuk mendapatkan pekerjaan serta dapat mempersiapkan diri sesuai dengan kehendak dan keperluan pasaran kerja. Di samping itu, kemahiran insaniah yang juga disebut soft skill dilihat penting kerana kemahiran ini juga merupakan pelengkap kepada kemahiran lahiriah (hard skill) iaitu satu keperluan untuk mengendalikan sesuatu sistem.
Justeru, jika kemahiran insaniah dikuasai oleh segenap lapisan mahasiswa, ditambah pula dengan kecemerlangan akademik yang dimiliki, kita sudah mampu untuk membayangkan generasi sebagaimana yang akan mampu kita lahirkan. Generasi inilah yang memiliki kualiti diri yang cemerlang, berkarisma serta matang dalam tindakan dan bukan sahaja berkredibiliti tinggi, malah menjadi contoh kepada graduan lain.
Contoh ikutan terbaik ikon pemimpin berkemahiran insaniah tinggi dapat dilihat daripada Rasulullah SAW sendiri. Baginda mempunyai kemahiran berkomunikasi yang penuh dengan hikmah, sesuai dengan watak baginda sebagai seorang Rasul. Baginda seorang yang berfikiran jauh dan mampu berdakwah dengan penuh berhemah serta lemah lembut, tanpa mengenepikan prinsip yang benar dan hak. Islam turut mengajarkan umatnya supaya memperlengkapkan diri menjadi Muslim yang berilmu, berketerampilan, berfikiran terbuka dan mengamalkan nilai-nilai positif dalam kehidupan.
Dengan adanya kemahiran insaniah ini dalam diri mahasiswa sekurang-kurangnya ia mampu menangani isu pengangguran graduan di negara ini di samping para graduan dapat meningkatkan pembangunan diri dalam kerjaya yang bakal diceburi atau dalam kehidupan yang bakal ditempuhi.
Justeru, bersempena dengan Majlis Konvokesyen USIM ke-15, setinggi-tinggi tahniah diucapkan kepada semua graduan USIM. Para graduan perlu sematkan di dalam jiwa untuk mengembangkan potensi diri bagi merubah landskap negara dan memacu negara kepada Malaysia yang lebih baik.