Hari ini kita melihat ramai di antara manusia berebut-rebut untuk menjadi pemimpin dari sekecil-kecil organisasi sehinggalah yang tertinggi. Adalah situasi ini merupakan satu fitnah yang menyelubungi manusia?
Tidak dinafikan, zaman ini merupakan zaman fitnah. Salah satu fitnah yang dilihat semakin membarah dalam masyarakat adalah fitnah pangkat dan kedudukan. Fitnah pangkat dan kedudukan termasuk dalam pembahagian fitnah syahwat disebabkan seseorang berkeinginan dengan kekuasaan yang berkait rapat dengan nafsu mereka untuk berkuasa. Demikian juga apabila seseorang yang akan kehilangan kuasa, nafsu keinginan untuk kekal dalam kekuasaan sangat besar.
Fitnah pangkat dan kekuasaan merupakan fitnah terdahsyat yang melanda umat Nabi Muhammad SAW. Baginda Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Sesungguhnya aku hanya khuatir (takut) atas umatku ini para pemimpin yang menyesatkan” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Hadis ini datang dalam bentuk pengkhususan (takhsis) yang menjurus kepada fitnah yang akan menyebabkan umat Islam tergelincir ke dalamnya. Isyarat itu juga menunjukkan umat Islam yang paling ramai terfitnah dengan kekuasaan.
Fitnah Dajjal merupakan fitnah terbesar yang akan menyelubungi manusia. Namun, adakah terdapat fitnah lain yang perlu manusia berhati-hati dengannya?
Fitnah Dajjal akan menyelubungi manusia akhir zaman saat ketibaanya nanti. Namun sebelum ketibaan Dajjal, Baginda amat bimbang kepada keadaan pemimpin yang banyak menyesatkan orang lain. Perkara ini berdasarkan hadis dari Abu Zar r.a, dia berkata, aku mendengar Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Ketika aku Bersama Nabi SAW pada satu hari kerumahnya, aku mendengar baginda berkata: Bukan Dajjal yang lebih aku khuwatirkan terhadap umatku” Sebelum Baginda hendak masuk, aku bertanya: “apakah yang lebih engkau khuwatirkan atas umatmu daripada Dajjal itu?, Baginda menjawab:” Para pemimpin yang menyesatkan orang lain” (Hadis Riwayat Ahmad)
Hadis ini memberi isyarat tentang satu bentuk fitnah yang akan terus-menerus melanda umat Nabi SAW iaitu fitnah kekuasaan. Nabi SAW menjelaskan kerisauan baginda tentang fitnah kekuasaan ini melebihi dari fitnah Dajjal. Ini jelas menunjukkan, fitnah Dajjal adalah lebih jelas berdasarkan pemahaman dan ilmu yang telah berkembang serta tempohnya adalah lebih pendek berbanding fitnah kekuasaan yang meliputi zaman.
Mengapakah manusia mudah tergelincir ke dalam fitnah pangkat, kuasa dan kedudukan ini?
Di antara penyebab manusia tergelincir ke lembah fitnah kuasa adalah mereka yang ingin berdampingan dengan penguasa. Dari Ibnu Abbas r.a, Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Barangsiapa yang tinggal di desa akan menjadi kasar perangainya, barangsiapa yang mengejar binatang buruan maka dia akan lalai, Barangsiapa yang datang kepada penguasa maka dia akan terfitnah” (Hadis Riwayat al-Tirmizi)
Dalam riwayat lain Nabi SAW bersabda maksudnya:
“Barangsiapa yang tetap menghampiri penguasa maka di akan terfitnah, tidaklah seseorang itu bertambah dekat dengan penguasa kecuali dia bertambah jauh dari Allah” (Hadis Riwayat Abu Daud)
Gambaran utama dalam hadith ini menjelaskan keadaan manusia apabila menghampiri penguasa, menjadi orang dekat kepada mereka, atau menjadi orang yang mengetuk pintu-pintu pejabat atau rumah mereka merupakan sumber kepada terjadinya fitnah. Apabila seseorang menghampiri penguasa, perkara-perkara seperti membodek, bermanis muka, ‘menjilat’ mereka akan menjadi barah yang berbahaya kepada agama Islam. Namun, sekiranya dia tidak menghiraukan penguasa, maka kesannya hanya di dunia sahaja.
Adakah perbezaan taraf kehidupan menjadi punca kepada fitnah ini?
Perbezaan taraf kehidupan manusia melalui harta, dan kebijaksanaan kurniaan Allah SWT turut menyebabkan manusia tergelincir ke dalam fitnah pangkat dan kedudukan yang membinasakan.
Fitnah pangkat dan kedudukan ini antara ujian yang besar menimpa umat Nabi SAW terutamanya apabila manusia setiap hari dan masa mengejar pangkat dan kedudukan yang lebih tinggi bertujuan memperolehi pendapatan (gaji atau elaun) yang lebih besar.
Perlantikan yang dibuat untuk sesuatu jawatan sama ada dalam proses yang benar atau tidak, akan memberi kegembiraan yang besar kepada seseorang yang dilantik untuk mengetuai sesebuah organisasi. Daripada lantikan peringkat bawahan sehingga menjadi orang atasan, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi ujian yang besar kepada mereka, sama ada mereka dapat menjalankan tanggungjawab tersebut atau terleka dengan pangkat yang diperoleh.
Bagaimanakah untuk memastikan seseorang yang memegang amanah dalam bentuk pangkat dan kedudukan terhindar dari fitnah ini?
Kebiasaan yang berlaku, di awal permulaan lantikan, seseorang sangat bersemangat untuk mengubah dan berikrar akan sedaya upaya menjalankan amanah yang dipertanggungjawabkan. Namun, amanah ini tidak sekadar jawatan dunia semata-mata, bahkan akan dipersoal pada hari kiamat kelak.
Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud:
“sesungguhnya Rasulullah SAW bersabda: setiap orang adalah pemimpin dan akan diminta bertanggungjawab atas kepemimpinannnya. Seorang kepala negara adalah pemimpin atas rakyatnya dan akan diminta bertanggungjawab perihal rakyat yang dipimpinnya. Seorang suami adalah pemimpin atas anggota keluarganya dan akan ditanya perihal keluarga yang dipimpinnya. Seorang isteri adalah pemimpin atas rumah tangga dan anak-anaknya dan akan ditanya perihal tanggungjawabnya. Seorang pembantu rumah tangga adalah bertugas memelihara barang milik majikannya dan akan ditanya atas pertanggung jawabannya. Dan kamu sekalian pemimpin dan akan ditanya atas pertanggungjawabannya (Hadis Riwayat Muslim).
Rasulullah SAW kepada Abdul Rahman Ibnu Samurah:
“Janganlah engkau meminta diangkat menjadi penguasa di suatu wilayah. Kerana jika yang demikian diberikan kepada engkau lantaran permintaan, nescaya engkau dibiarkan, tidak diberi pertolongan. Tetapi jika diberikan kepada engkau bukan kerana engkau memintanya, nescaya engkau diberi pertolongan.” (Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim).
Iktibar daripada hadis itu dapat kita lihat pada hari ini apabila orang yang ghairah memburu jawatan dan kedudukan belum tentu dapat melaksanakan tugas dengan baik berikutan mendapat bantahan dan tentangan daripada kakitangan.
Sebaliknya, jika jawatan diterima berdasarkan kelayakan, dengan izin Allah, bebanan tanggungjawab dipikul seberat mana pun akan mendapat bantuan daripada Allah SWT dan mereka yang menyokong di belakang ketua atau pemimpin dilantik sebulat suara dan dipersetujui.
Hal itu ada dijelaskan dalam hadith Rasulullah SAW yang bermaksud: “Pemimpin pilihan di antara kamu semua ialah orang yang kamu cintai (suka), mereka juga mencintai kamu. Kamu semua mendoakan mereka untuk kebaikan begitu juga mereka mendoakan untuk kebaikan kamu.” – (Hadis Riwayat Muslim)
Mengapakah manusia memerlukan kepada pemimpin?
Pemimpin ini funginya adalah ketua bagi menunjuk jalan yang benar. Imam adalah ketua dalam solat, jadi imam berfungsi mengetuai solat dengan tertib dan cara yang betul. Oleh itu, keperluan kepada pemimpin ini satu perkara yang sangat utama. Sabda Nabi SAW maksudnya:
“Adalah bagi Bani Israil, mereka diuruskan urusannya oleh para nabi (tasusuhumul anbiya). Ketika seorang nabi wafat, nabi yang lain datang menggantinya. Tidak ada nabi setelahku, namun akan ada ramai para khilafah.” (Hadis Riwayat al-Bukhari,)
Imam Nawawi menyebut dalam syarahnya terhadap Sahih Muslim antara lain berkata: “Bani Israil yang dipimpin oleh para nabi apabila wafatnya seorang nabi, akan diganti dengan nabi yang lain, yang menguruskan urusan mereka, bagi segala maslahah untuk mereka”.
Sabda Baginda Nabi SAW maksudnya:
“Tidak harus bagi tiga orang yang berada di tengah-tengah bumi yang lapang (bermusafir), melainkan mereka mesti melantik salah seorang mereka sebagai pemimpin.” (Hadis Riwayat Ahmad)
Justeru itu, pangkat dan kedudukan ini akan menjadi fitnah sekiranya seseorang itu berkeinginan kepada jawatan disebabkan kepentingan peribadi dan dorongan hawa nafsu yang tinggi. Namun sekiranya jawatan tersebut diperolehi dengan meletakkan agama sebagai panduan, maka bantuan Allah akan menyusuli.