Dr. Nisar Mohammad Ahmad
Dr. Nisar Mohammad AhmadPensyarah Fakulti Syariah dan Undang-undang

Minggu lalu telah dilaksanakan program bual bicara ‘Naratif Pemulangan Yuran Pelajar’ yang telah disiarkan melalui FB rasmi USIM. Program ini membariskan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar & Alumni (HEPA) dan Pengarah Pusat Perumahan Pelajar sebagai panel, manakala YDP MPPUSIM bertindak sebagai moderator. Ia bertujuan untuk merungkaikan kekusutan dan kekeliruan berkaitan isu pemulangan yuran yang hangat diperdebatkan oleh mahasiswa lewat beberapa bulan ini khususnya dalam tempoh pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang bertujuan untuk mencegah penularan pandemik COVID-19 di kampus USIM. Memandangkan dalam tempoh tersebut pelajar tidak berada di kampus sebaliknya hanya mengikuti proses pengajaran dan pembelajaran (PdP) secara atas talian di rumah masing-masing, maka terdapat permintaan dari para pelajar agar yuran tertentu seperti yuran kolej kediaman dan yuran perkhidmatan bagi Semester 1 Sesi Akademik 2020/2021 dipulangkan kerana mereka tidak langsung menginap di kolej kediaman sepanjang tempoh PKP.

Saya tidak mengikuti secara dekat dan terperinci program ini atas urusan lain namun hanya mengetahui tentang butirannya setelah program selesai. Justeru, saya tidak bercadang untuk membincangkan hal ini secara teknikal dan mendalam kerana ia melibatkan prosedur-prosedur yang lebih difahami oleh pihak yang berkaitan. Namun saya yakin dengan kebijaksanaan dan keprihatinan, pengurusan USIM telah berbincang panjang berkaitan pemulangan yuran ini dan melihat daripada pelbagai sudut sebelum keputusan dibuat yang juga telah mengambil kira kepentingan dan kebajikan semua pelajar khususnya pelajar Tahun 1. Cumanya saya tertarik untuk memberi sedikit komentar tentang sikap dan pendekatan yang diambil, khususnya oleh pelajar susulan pelaksanaan program ini. Saya ditunjukkan oleh rakan saya beberapa tangkap layar komen yang dibuat oleh pelajar USIM di media sosial yang antara lain menggambarkan rasa tidak setuju terhadap ketetapan pihak Universiti dalam isu pemulangan yuran pelajar ini. Terkejut bercampur sedih, saya dapat faham sentimen yang ada di kalangan pelajar tersebut kerana kita berada di dalam tempoh kritikal menghadapi pandemik di mana ada di kalangan ahli masyarakat yang terjejas mata pencarian mereka. Justeru, isu kewangan sangat dekat dan memberi kesan langsung kepada semua, termasuk para pelajar USIM dan keluarga mereka.

Namun, saya tidak fikir alasan tersebut boleh mewajarkan kata-kata kesat dan maki hamun sebagai indikasi rasa tidak berpuas hati. Saya rasa jika dialog ini dibuat secara bersemuka dengan pelajar di dalam dewan dan pelajar boleh bangun bertanya atau menyuarakan rasa tidak puas hati di mikrofon yang disediakan, tidak mungkin ada yang berani untuk menggunakan kata-kata kesat atau maki hamun. Ini kerana mereka akan berasa malu kerana identiti dan wajah mereka dapat dilihat oleh orang lain. Namun di media sosial lebih mudah untuk melakukan perkara tersebut kerana mungkin wajah dan identiti seseorang tidak diketahui. Ia mungkin disebabkan seseorang tidak menggunakan nama sebenar atau tidak meletakkan gambar profile. Maka atas sebab itulah kadangkala karakter sesetengah orang berbeza di alam maya dan alam nyata. Jangan terkejut jika anda mengenali seseorang yang baik tutur kata dan beradab sopan jika berinteraksi secara bersemuka, namun berubah 360° ketika di alam maya.

Sebagai langkah mencari titik penyelesaian, saya dengan rendah hati ingin mencadangkan beberapa pendekatan yang boleh diambil seperti berikut;.

Pertama – Medium komunikasi di antara pihak Universiti khususnya Bahagian HEP dengan para pelajar perlu diperkemaskan agar objektif utama iaitu meningkatkan kefahaman pelajar tentang hal ini dapat dicapai. Usaha ini boleh dibantu oleh badan-badan pelajar seperti MPP yang boleh bertindak sebagai pengantara antara pihak Universiti dan pelajar. Ada kemungkinan pelajar tidak memahami proses atau prosedur tertentu yang perlu dilaksanakan oleh Universiti. Sebagai contoh isu berkaitan kolej kediaman. Tidak seperti Universiti Awam yang lain, USIM terpaksa menyewa bangunan di luar kampus untuk dijadikan kolej kediaman dan asrama penginapan pelajar. Ia sebagai usaha memudahkan urusan pelajar yang tidak perlu bersusah payah mencari penginapan sendiri. Apabila menyewa dari pemilik bangunan, sudah pasti ada perjanjian dan komitmen kewangan yang perlu dipatuhi oleh USIM. Sebagaimana pelajar yang menyewa di rumah sewa persendirian, mereka juga mempunyai perjanjian dengan tuan rumah termasuk dalam hal bayaran sewaan. Jika mereka tidak tinggal di rumah sewa itu pun kerana kekangan perjalanan semasa PKP, mereka masih tetap perlu membayar sewa rumah kepada tuan rumah.

Kedua – Capaian kepada skim bantuan di bawah Pusat Wakaf dan Zakat perlu diperluaskan khususnya yang melibatkan pelajar yang benar-benar terkesan daripada segi kewangan seperti mereka yang datang dari keluarga B40, atau ibubapa mereka terjejas punca pendapatan atau sebagainya. Boleh dipertimbangkan jumlah pengecualian tertentu untuk bayaran yuran tertentu kepada golongan ini. Namun jika pelajar sememangnya memperolehi pembiayaan pengajian dari mana-mana institusi, maka adalah wajar untuk sebahagian dari yuran tertentu (seperti yuran kolej kediaman) diambil oleh pihak Universiti bagi membiayai kos sewaan dan penyelenggaraan bangunan kolej kediaman. Saya yakin pecahan bahagian yuran yang diambil oleh Universiti adalah sangat minima dan tidak membebankan pelajar-pelajar yang mempunyai pembiayaan pengajian ini.

Ketiga – Elakkan pendekatan konfrontasi tetapi gunakanlah kaedah yang lebih berdiplomasi dan harmoni. Samada para pelajar yang tidak bersetuju dengan ketetapan pihak Universiti ataupun pihak HEP/kepimpinan pelajar yang ingin memahamkan pelajar tentang isu ini, masing-masing perlu menggunakan kaedah yang terbaik melalui perbincangan secara matang dan berhikmah. Sebarang kata-kata yang tidak molek yang digunakan yang walaupun dirasakan boleh memuaskan hati orang yang menulisnya tetapi ia sebenarnya memberi imej buruk kepada penulisnya bahkan juga kepada imej dan nama baik Universiti. Sesungguhnya tiada masalah yang tidak boleh diselesaikan. Jika semua pihak berlapang dada dan bersedia mencari penyelesaian yang menang-menang mengambilkira kepentingan semua pihak, saya optimis isu ini dapat diselesaikan dengan baik.

Sebagai seorang alumni USIM dan kini diberi pula tanggungjawab untuk mendidik pelajar USIM, saya merasakan persoalan etika dan adab perlu dipertahankan meskipun dalam keadaan ingin menzahirkan rasa tidak setuju. Universiti bukan sekadar tempat mendapatkan segulung ijazah, tetapi juga tempat untuk memperolehi ilmu dan hikmah yang bakal membentuk modal insan yang seimbang antara kemampuan intelektual dan sahsiah diri. Bak kata pujangga, orang beradab itu sudah pasti berilmu, namun orang berilmu belum tentu beradab. Justeru, sekuat manapun rasa tidak setuju yang membuak-buak dalam diri, ia bukanlah tiket untuk menghampurkan apa jua kata-kata tanpa ada batasan. Janganlah ‘dinormalisasikan’ penulisan kata-kata kesat di media sosial sebagai kaedah untuk menegur atau membetulan tindakan pentadbiran Universiti. Ya benar, ada saja kelemahan dan kekurangan di sana sini dalam ketetapan yang dibuat oleh pihak Universiti, namun gunalah saluran yang betul dan dengan cara yang betul.

Akhir kata, saya mendoakan isu berkaitan yuran ini dan apa jua isu yang mungkin akan timbul pada masa-masa akan datang akan dapat diselesaikan dengan baik dan harmoni. Saya juga mendoakan adik-adik saya, para pelajar USIM dikurniakan kesabaran dan ketabahan menempuhi ujian sepanjang melalui proses menuntut ilmu di Kampus Barakah ini. Semoga anda akan menjadi insan berguna yang kelak akan berbakti kepada msyarakat dengan kepakaran dan bidang kerjaya masing-masing.

Penulis juga merupakan Alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang (FSU) KUIM/USIM 2002-2005 dan Mantan YDP MPP KUIM/USIM Sesi Akademik 2002/2003 dan 2003/2004