Dr Abdul Rashid Abdul Aziz
Dr Abdul Rashid Abdul AzizPensyarah Kanan, Program Kaunseling, Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan

Jalan menuju bahagia itu ada pelbagai, salah satunya adalah melalui ‘katarsis jiwa’ atau kelegaan emosi yang dapat dicapai semasa sesi kaunseling. Peranan kaunselor dan perkhidmatan kaunseling pada masa kini dilihat sebagai satu keperluan yang penting dalam menambahbaik status kesihatan mental rakyat Malaysia. Hal ini kerana, masalah kesihatan mental menunjukkan trend peningkatan dengan statistik individu yang mendapatkan sokongan menerusi Talian Bantuan Perkhidmatan Sokongan Psikososial (MHPSS) meningkat lima kali ganda berbanding 2020. Statistik menunjukkan pada tahun lalu sebanyak 212,319 panggilan diterima oleh MHPSS berbanding pada tahun sebelumnya dengan 44,061 panggilan. Tambah gusar adalah apabila statistik tingkah laku bunuh diri juga berada pada kadar yang membimbangkan dan peningkatan ketara iaitu sebanyak 81 peratus pada tahun 2021 (1,142 kes) berbanding dengan 631 kes yang dilaporkan pada tahun 2020.

Apa yang menyedihkan apabila majoriti masyarakat Malaysia masih mempunyai stigma kepada individu yang mempunyai masalah mental. Disebabkan oleh stigma yang muncul ini, ramai antara penghidap masalah mental malu untuk tampil mendapatkan bantuan kaunseling ataupun rawatan di mana-mana klinik ataupun hospital kerana tidak mahu dilabel sebagai ‘gila’. Justeru, sebagai salah satu langkah dalam mempromosikan perkhidmatan kaunseling dan meningkatkan kesedaran serta pengetahuan masyarakat Malaysia berkaitan isu kesihatan mental ini, kerajaan telah mengambil inisiatif dengan melancarkan Bulan Kaunseling Kebangsaan. Bulan Kaunseling Kebangsaan ini disambut sepanjang bulan Oktober dan diisi dengan pelbagai aktiviti yang telah dirancang oleh badan-badan seperti Lembaga Kaunselor termasuk agensi kerajaan, Institut Pengajian Awam/Swasta, Badan Bukan Kerajaan dan lain-lain pihak. Bulan Kaunseling Kebangsaan Tahun 2022 yang bertemakan “Emosi Sejahtera Hidup Bahagia” menampilkan kelainan dengan penganjuran program Jelajah Kaunseling Prihatin Rakyat yang akan dilaksanakan di enam zon termasuk Sabah dan Sarawak.

Sejajar dengan pertambahan statistik isu kesihatan mental di Malaysia juga, pihak kerajaan melalui Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) telah mensasarkan keperluan seramai 60,000 kaunselor bagi membantu menangani masalah kesihatan mental rakyat Malaysia yang kian tenat ini. Sehingga 31 Ogos 2022, seramai 10,136 kaunselor berjaya mendaftar melalui Lembaga Kaunselor Malaysia. Pihak kerajaan juga dilihat sedang bertungkus-lumus mempertingkat usaha untuk menambah bilangannya bagi menampung keperluan semasa. Selain itu, KPWKM juga mewujudkan Pusat Sokongan Sosial Setempat (PSSS) yang bertujuan membantu melaksanakan aktiviti dan program pencegahan dalam komuniti dan khidmat kaunseling komuniti sebagai satu budaya dalam kehidupan masyarakat.

Tekanan berpanjangan yang dialami oleh individu tanpa strategi daya tindak yang bersesuaian dan efektif membawa kepada kegagalan individu dalam mengawal emosi dan mengatur kehidupan seharian mereka yang seterusnya membawa kepada masalah kesihatan mental. Salah satu cara yang berkesan untuk mengurangkan penderitaan yang dialami ini adalah dengan berjumpa pegawai profesional seperti kaunselor. Khidmat kaunselor dan psikologi ini amatlah penting bagi membantu individu yang menghadapi apa jua tekanan yang muncul dalam kehidupan. Melalui sesi kaunseling dan intervensi yang dijalankan, individu akan dibantu oleh kaunselor untuk berfikir secara rasional dalam menjalani kehidupan seharian selepas melalui suatu keadaan yang tertekan. Selain itu, sesi kaunseling juga dapat mengurangkan stres, ketegangan, dan kebimbangan yang seterusnya dapat menghalang individu yang tertekan daripada melakukan tingkahlaku yang tidak diingini.

Umumnya, sesi kaunseling yang dijalankan adalah pelbagai yang mencakupi perkhidmatan intervensi krisis, sokongan psikologi serta sesi kaunseling yang secara langsung dapat mengurangkan penderitaan emosi disebabkan oleh tekanan hidup yang dialami. Sesi kaunseling yang efektif dapat membantu individu untuk memiliki daya tahan (self-resilience) yang tinggi dan membantu individu untuk mengenalpasti strategi daya tindak yang terpilih dalam berhadapan dengan tekanan dan permasalahan yang wujud. Oleh itu, setiap individu  haruslah cakna dengan keadaan emosi diri sendiri dan ahli keluarga agar kesejahteraan mental dan fizikal dapat dicapai dengan jaya, seterusnya mencapai kebahagiaan dalam kehidupan. Usah mensia-siakan usaha yang telah dijalankan oleh pelbagai pihak ini agar rakyat Malaysia menjadi rakyat yang bahagia, sihat mental dan fizikalnya, sekaligus dapat menyumbang kepada pembangunan negara.