Prof Madya Dr. Norfadhilah Mohamad Ali
Prof Madya Dr. Norfadhilah Mohamad AliDekan Institut Sains Islam Malaysia USIM
Penulis adalah Dekan Institut Sains Islam Malaysia USIM dan penyelidik kumpulan Sulh-Dispute Resolution & Peace (SiDR), Fakulti Syariah dan Undang-undang, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Akhir-akhir ini kita melihat banyak perundingan antarabangsa antara negara-negara berkonflik menghadapi jalan buntu, menghasilkan penyelesaian sementara yang rapuh atau berakhir dengan kegagalan. Konflik Ukraine–Rusia dan pembantaian Israel terhadap Palestin misalnya, memperlihatkan betapa sukarnya mencapai penyelesaian konflik yang lestari walaupun pihak-pihak telah melaksanakan pelbagai usaha rundingan.

Terkini, rundingan antara Amerika Syarikat dan Iran juga tidak berakhir seperti yang diharapkan. Menteri Luar Oman yang bertindak sebagai mediator dalam rundingan tersebut menyatakan bahawa perjanjian damai telah hampir muktamad dengan persetujuan Iran untuk mematuhi dasar “sifar simpanan” uranium diperkaya di bawah pemantauan Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA). Namun begitu, hampir serentak dengan proses rundingan tersebut, serangan telah berlaku terhadap Iran, yang kemudiannya diikuti dengan serangan balas republik itu terhadap beberapa negara di rantau Asia Barat, termasuk Arab Saudi, Bahrain, Emiriah Arab Bersatu, Kuwait dan Qatar. Kejadian sebegini mengundang persoalan apakah nilai perundingan yang diadakan dan adakah pihak yang menarik diri daripada komitmen rundingan benar-benar bermaksud menyelesaikan isu pematuhan penggunaan tenaga nuklear yang diletakkan sebagai agenda perbincangan dalam perundingan tersebut.

Asas Bersama

Perundingan dan mediasi antarabangsa dalam tempoh konflik mempunyai cabaran tersendiri. Dari sudut intensiti konflik, terdapat teori yang menyatakan bahawa semakin tinggi intensiti sesuatu konflik, semakin besar kemungkinan mediasi akan diterima dan berjaya sebagai satu kaedah untuk mengelakkan kehilangan nyawa atau meminimumkan kerugian. Namun mutakhir ini, konflik yang mengakibatkan angka kematian mencecah puluhan ribu nyawa seperti yang berlaku di Palestin seolah-olah tidak memberi kesan kepada negara pelaku untuk menghentikan serangan. Keadaan ini menimbulkan kebimbangan bahawa dunia kini sedang berhadapan dengan kemerosotan rasa dhamir kemanusiaan yang serius. Di sini, sekurang-kurangnya undang-undang kemanusiaan dan hak asasi manusia hendaklah dijadikan asas kepentingan bersama dalam sesi perundingan, kerana hanya asas bersama inilah yang mampu menjamin kesepakatan dalam usaha memelihara keamanan sejagat.

Berbeza dengan mediasi domestik, perkara berkaitan jenayah lazimnya berada di luar ruang lingkup perundingan dan tertakluk kepada penguatkuasaan undang-undang yang tegas oleh pihak berkuasa. Sungguhpun Piagam Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu dengan jelas melarang penggunaan kekerasan melalui Artikel 2(4), sifat undang-undang antarabangsa yang tidak mempunyai mekanisme penguatkuasaan menyebabkan sesi mediasi antarabangsa terdedah kepada tekanan kuasa dan ancaman strategik. Selain daripada peranan Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), mediasi antarabangsa dilihat sebagai antara saluran utama untuk membincangkan konflik yang rumit selaras dengan Artikel 33 Piagam tersebut, yang menggesa pihak-pihak mencari penyelesaian secara aman melalui rundingan, mediasi atau kaedah lain yang dipersetujui bersama.

Pertimbangan Realpolitik Mendominasi Rundingan Antarabangsa

Timbul persoalan tentang sejauh manakah peranan perundingan dan mediasi dapat diselaraskan dengan prinsip orde dunia berasaskan peraturan (rule-based world order) yang sepatutnya menjadi asas perbincangan dalam penyelesaian konflik. Hal ini penting agar prinsip tersebut tidak sekadar menjadi hujah diplomatik yang kehilangan makna, apatah lagi dijadikan instrumen tawar-menawar (bargaining power) bagi memenuhi tuntutan pihak-pihak yang bertikai. Keadaan ini menjadi lebih mencabar apabila tahap komitmen terhadap undang-undang antarabangsa adalah rendah dan orientasi kuasa yang bersifat hegemonik terus mempengaruhi dinamika geopolitik semasa. Dalam situasi sedemikian, pematuhan terhadap undang-undang dengan mudahnya diketepikan apabila bertembung dengan kepentingan strategik. Akibatnya, proses mediasi berisiko terperangkap dalam logik realpolitik, di mana kekuatan dan pengaruh lebih menentukan hala tuju rundingan berbanding prinsip dan komitmen terhadap kerangka perundangan antarabangsa.

Keinginan segelintir negara, seperti Amerika Syarikat, untuk mencapai hegemoni geopolitik boleh menjejaskan kesediaan untuk berkompromi atau mematuhi sepenuhnya undang-undang antarabangsa. Berdasarkan logik ini,  konflik dilihat sebagai peluang strategik untuk memperluas pengaruh geopolitik. Dalam konteks mediasi, keinginan untuk muncul sebagai kuasa besar serantau, mengekalkan dominasi strategik boleh dianggap sebagai kepentingan tersirat (underlying interests) dan bersifat problematik, kerana ia boleh menimbulkan ketegangan dengan prinsip kesamarataan negara dan kedaulatan dalam undang-undang antarabangsa. Dalam konteks sedemikian, pencarian titik persamaan dalam sesi perundingan menjadi amat mencabar.

Kejayaan sesuatu mediasi atau perundingan antarabangsa juga bergantung kepada kesungguhan pihak-pihak untuk mencapai persetujuan. Prinsip ini dikenali sebagai asas good faith (niat suci hati), yang sepatutnya didokong oleh semua pihak yang benar-benar menginginkan perdamaian. Namun begitu, secara realitinya, pihak-pihak lazimnya membuat pertimbangan berdasarkan alternatif terbaik sekiranya rundingan gagal (Best Alternative to a Negotiated Agreement-BATNA) dan alternatif terburuk sekiranya rundingan gagal (Worst Alternative to a Negotiated Agreement-WATNA). Jika sesuatu pihak merasakan bahawa alternatif terbaik di luar rundingan seperti kelebihan ketenteraan, tekanan ekonomi atau sokongan kuasa besar lebih menguntungkan daripada kompromi yang ditawarkan, maka komitmen terhadap rundingan menjadi lemah. Sebaliknya, jika risiko atau alternatif terburuk dilihat masih boleh ditanggung, maka insentif untuk berkompromi juga berkurangan. Dalam keadaan ini, prinsip good faith untuk menghasilkan penyelesaian yang lestari harus diangkat selari dengan komitmen terhadap keamanan, selain daripada pertimbangan strategik pihak-pihak. Ini adalah penting untuk mengelakkan pihak-pihak menjadikan mediasi sebagai strategi untuk melengah-lengahkan masa, mengurangkan tekanan antarabangsa, atau memperkukuh kedudukan ketenteraan. 

Peranan Asia, Nilai Timur dan Agama dalam Membentuk Norma Perdamaian Antarabangsa

Kegagalan Amerika Syarikat memilih jalan perundingan sekali lagi mengecewakan dunia lantas telah mencetuskan perdebatan tentang kegagalan kepemimpinan moral Barat dalam sistem antarabangsa. Kishore Mahbubani dalam The Asian 21st Century  menyatakan bahawa dunia Barat semakin kehilangan daya kepemimpinan moralnya akibat pendekatan yang dianggap selektif dalam mengaplikasikan prinsip undang-undang antarabangsa dan hak asasi manusia. Keseimbangan kuasa global yang semakin beralih ke Timur membuka ruang kepada Asia untuk memainkan peranan yang lebih baik dalam membentuk norma dan nilai sistem antarabangsa termasuk perspektif Islam yang mewakili lebih dua bilion penduduk dunia.

Dari sudut institusi kehakiman antarabangsa, mahkamah antarabangsa telah membuka ruang kepada penerimaan prinsip-prinsip undang-undang yang lebih inklusif. Dalam kes Gabčíkovo–Nagymaros Project (Hungary v. Slovakia) (1997), Weeramantry menegaskan bahawa apabila mahkamah berhadapan dengan persoalan undang-undang antarabangsa yang sedang berkembang, mahkamah mempunyai tanggungjawab untuk merujuk kepada prinsip-prinsip yang telah lama berakar dalam tradisi perundangan tamadun dunia. Perkara ini adalah  merujuk kepada Artikel 9 Statut ICJ, yang mengiktiraf bahawa mahkamah perlu mencerminkan “principal legal systems of the world.” Dalam konteks itu, beliau berhujah bahawa sebarang tinjauan terhadap tradisi undang-undang dunia tidak akan lengkap tanpa mengambil kira prinsip-prinsip undang-undang Islam. Justeru, undang-undang antarabangsa tidak seharusnya bersifat eurocentrik semata-mata, sebaliknya perlu dibentuk dan diperkaya oleh prinsip-prinsip perundangan yang lebih luas daripada pelbagai tradisi ketamadunan, termasuk nilai-nilai agama dan etika sejagat. Konsep perdamaian (sulh) dalam Islam, khususnya dalam konteks hubungan antarabangsa, telah lama dimanfaatkan. Ia merangkumi mekanisme seperti diplomasi, mediasi dan timbang tara yang menekankan pemulihan hubungan serta penyelesaian konflik yang selari dengan prinsip keadilan dan berpegang kepada perjanjian (wafā’ bil-‘uqūd).

Kembali ke Meja Rundingan 

Masih belum terlambat untuk Amerika Syarikat dan Iran kembali ke meja rundingan. Walaupun banyak nyawa telah terkorban dan rasa saling tidak percaya semakin mendalam, usaha rundingan tetap berpotensi menghalang konflik daripada terus memuncak.  Apa yang diperlukan ialah keupayaan pihak-pihak untuk berbincang, bersedia mengambil tanggungjawab dan akauntabiliti,  serta menyatakan komitmen yang jelas terhadap pematuhan undang-undang antarabangsa.