Dr. Muzaffar Syah Mallow
Dr. Muzaffar Syah MallowPensyarah Kanan Fakulti Syariah & Undang-Undang

Tahun baru 2019 akan menjelang tiba. Sudah pasti semua pengurusan organisasi dan tempat kerja khususnya pihak majikan kini sedang sibuk merangka sasaran kerja masing-masing melalui sistem Petunjuk Prestasi Utama atau lebih dikenali sebagai Key Performance Indicator (KPI) bagi memenuhi sasaran kerja sepanjang tahun 2019 yang akan datang.

KPI adalah satu sistem pengukuran yang mudah, berkesan dan dapat membantu sesebuah organisasi menilai tahap kemajuan pekerjaan dan perkhidmatan yang ingin disampaikan ditempat kerja. Penggunaan KPI adalah penting pada masa kini. Banyak organisasi baik di sektor awam mahupun di sektor swasta dalam negara kita sudah pun mula mengamalkan penggunaan KPI berkenaan dalam merangka perjalanan rancangan, aktiviti serta program yang ingin dilaksanakan dalam tempoh masa tertentu.

Buat sekian lama, pihak kerajaan telah menyarankan budaya kerja berasaskan prestasi dengan menggunakan petunjuk-petunjuk prestasi utama (KPI) yang diterapkan dalam perkhidmatan awam bagi meningkatkan kualiti penyampaian perkhidmatan. Sejajar dengan visi, misi dan fungsi agensi, setiap organisasi atau tempat kerja perlu mengukur prestasi perkhidmatan yang diberikan bagi memastikan semua perkhidmatan berkenaan disampaikan kepada pelanggan atau golongan sasar dengan baik. Ini secara tidak langsung dapat memberikan gambaran yang jelas mengenai prestasi organisasi atau tempat kerja secara keseluruhannya.

Penggunaan KPI di sektor awam ini kemudiannya telah diterima pakai di kebanyakan organisasi dan tempat kerja di sektor swasta kerana manfaat yang dibawa melalui penggunaannya khusus dalam merangka aspek perjalanan pekerjaan serta aspek penilaian tahap keuntungan yang ingin diperolehi.

Secara umumnya, penggunaan KPI dalam pengukuran prestasi sesebuah organisasi dapat difokuskan kepada tiga perkara utama iaitu menjelaskan hala tuju sesebuah organisasi atau tempat kerja, memberi tumpuan terhadap bidang-bidang utama kepada pihak berkepentingan serta menilai tahap prestasi yang telah disasarkan. Walaupun penggunaan KPI dilihat dapat membantu perjalanan sesebuah organisasi atau tempat kerja dalam merangka segala bentuk aktiviti dan program yang dirancangkan, KPI berkenaan haruslah dirangka dengan profesional dan bijak mengikut realiti dan kesesuaian sesebuah organisasi atau tempat kerja yang terlibat. Dalam ayat pendek, KPI terbabit perlulah dirangka secara realistik atau berpijak dibumi yang nyata.

Tidak dapat dinafikan setiap organisasi atau tempat kerja mempunyai objektif serta matlamat yang berbeza. Jika KPI yang dirangka tidak menepati keadaan atau suasana organisasi atau tempat kerja ia dikhuatiri akan melahirkan persekitaran pekerjaan yang dipenuhi dengan tekanan dan stres. Terdapat beberapa faktor yang perlu diambil kira sebelum merangka sesebuah KPI yang realistik seperti dengan mengambil kira faktor jumlah tenaga pekerja serta pakar yang dimiliki dan mengambil kira faktor dana atau modal kewangan yang ada oleh pihak organisasi atau tempat kerja yang terlibat.

Kesemua faktor yang dinyatakan berkenaan adalah penting untuk diambil kira oleh pihak pengurusan sebelum merangka sesebuah KPI untuk dilaksanakan setiap tahun. Setiap organisasi atau tempat kerja tidak boleh menerima pakai KPI dari organisasi atau tempat kerja yang lain untuk dilaksanakan ditempat mereka atas faktor perbezaan faktor-faktor seperti yang telah dinyatakan di atas.

Sebarang pelaksanaan KPI yang tidak realistik perlu dielakkan kerana ia akan menyebabkan kewujudan tekanan atau masalah stres dikalangan para pekerja organisasi yang terlibat. Jika tiada langkah proaktif atau pencegahan diambil di peringkat awal bagi mengatasi masalah tekanan atau stres yang berlaku berkenaan, pelbagai kesan atau impak negatif boleh berlaku terutamanya dari sudut kesihatan pekerja seperti darah tinggi, kemurungan, tekanan perasaan, masalah jantung serta kematian.

Tekanan dan stres yang berlaku juga boleh menjejaskan kehidupan peribadi pekerja yang terlibat selain menjejaskan produktiviti seseorang individu itu serta memberi impak terhadap produktiviti dan hasil keuntungan sesebuah organisasi atau tempat kerja. Tekanan yang gagal dikendali dengan baik akibat daripada pelaksanaan KPI yang tidak realistik itu juga akan menjejaskan reputasi sesebuah organisasi atau tempat kerja berkenaan buat tempoh jangka masa panjang. Akhirnya semua pihak akan menerima impak akibat kegagalan mereka membendung isu tekanan yang berlaku akibat daripada pelaksanaan KPI yang tidak realistik serta mustahil untuk dipenuhi terbabit.

Tidak dapat dinafikan kepentingan pengunaan KPI pada masa kini merupakan satu amalan yang harus diterapkan ke dalam budaya kerja yang berasaskan prestasi. KPI adalah penting bagi memastikan tahap prestasi tercapai seperti yang telah ditetapkan bagi memenuhi kehendak pihak-pihak berkepentingan. Melalui penggunaan KPI, tindakan penambahbaikan secara berterusan dapat memenuhi kehendak pelanggan. Namun dalam melaksanakan penggunaan KPI, ia haruslah dirangka dengan bijak dengan mengambil kira pelbagai faktor sekeliling supaya KPI yang dirangka dapat dipenuhi dan dicapai.