Dr. Siti Fatimah Mohd Tawil
Dr. Siti Fatimah Mohd TawilPensyarah, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah
Prof. Madya Dr. Noornajihan Ja'afar
Prof. Madya Dr. Noornajihan Ja'afarTimbalan Dekan, Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Lazimnya, sukarelawan merujuk kepada kumpulan sukarelawan yang turun membantu di lapangan bencana, di lorong jalan menyantuni gelandangan dan pelbagai lagi ruang kesukaran yang dibantu. Namun, apabila menyebut tentang usaha membantu kumpulan komuniti OKU yang hendak belajar dan dekat dengan agama, Sahabat FAQEH merupakan kumpulan sukarelawan mahasiswa yang bersama dalam usaha ini.

Sekretariat Sahabat FAQEH USIM secara rasminya dilancarkan penubuhannya pada 1 April 2015 oleh mantan Dekan Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS); Prof. Dr. Adnan Mohamed Yusoff bersempena penganjuran Simposium Khidmat Quran Sunnah bagi OKU (SiQaH) kali pertama. Usaha penubuhan ini merupakan hasil daripada sinergi FPQS bersama NGO OKU, Yayasan Pendidikan al-Quran bagi Anak Istimewa (FAQEH) dalam usaha memperkasa kumpulan mahasiswa yang cakna OKU, bermula sedari tahun 2014. Sekretariat pelajar ini dikenali sebagai Tim Hizmet yang bermaksud tim khidmat dan mengambil semangat merintis jalan sukarelawan dakwah OKU berasaskan modul risalah iman Ulama Turkiye, Imam Badiuzzaman Said Nursi. Inisiatif penubuhan ini merupakan model khidmat sukarelawan Dakwah OKU yang pertama seumpamanya di Institusi Pengajian Tinggi (IPT). Ini bertujuan membina persekitaran dan sokongan inklusif di USIM khususnya di samping membina kesedaran dalam kalangan mahasiswa.

Sekretariat Sahabat FAQEH diperkasakan dengan latihan dan nilai tambah melalui Modul Emansipasi OKU oleh Yayasan FAQEH. Awalnya, Sahabat FAQEH diletakkan di bawah Unit Kebajikan, Persatuan Mahasiswa FPQS dan bergerak sebagai salah satu kelab di bawah unit ini. Kemudiannya pada tahun 2017, Sekretariat Sahabat FAQEH USIM menjadi sebagai sebuah badan pelajar di bawah Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah serta dikawal selia oleh Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI). Secara asasnya, penubuhan Sekretariat Sahabat FAQEH adalah selari dengan hadaf (matlamat) utama UMMI untuk melatih mahasiswa yang akan mengupaya peranan masyarakat inklusif dan memperkasa komuniti OKU melalui pendekatan Islami. Ia menjadi kelab mahasiswa perintis yang berfokus kepada khidmat sukarelawan untuk komuniti OKU. Sahabat FAQEH yang konsisten bergiat aktif kini telah melahirkan sehingga 8 legasi kepimpinan dan yang terkini mencapai legasi kepimpinan ke-9 bagi sesi lantikan 2022/ 2023.

Sekretariat Sahabat FAQEH dikenali dengan pelbagai program signature yang menyantuni pelbagai kategori OKU. Antaranya adalah program “Jom Dhuha Anak Istimewa”. Program 3 dalam 1 ini menawarkan latihan santunan sukarelawan terhadap OKU khususnya kategori Pembelajaran, praktikal solat Dhuha dengan meraikan potensi OKU dan forum kesedaran ibu bapa dan komuniti. Program ini dijalankan dengan kerjasama institusi masjid dengan aspirasi menyemai kesedaran kepada ahli kariah di samping meningkatkan peranan masjid inklusif dan mesra OKU.

Seterusnya adalah program “Online Tadarus Tanpa Suara (OTTS)” yang dilaksanakan khusus untuk OKU pendengaran. Inisiatif penganjuran OTTS tercetus ketika negara dilanda pandemik Covid19 yang mengakibatkan perintah kawalan pergerakan (PKP) dan kebanyakan program beralih di dalam talian. Usaha ini bermatlamat untuk menyemarakkan budaya membaca Quran dalam kalangan OKU pendengaran sempena keberkatan bulan Ramadan yang juga merupakan bulan Quran. Penganjuran ini turut memanfaatkan usaha UMMI yang telah membangunkan Aplikasi Quran Isyarat pertama dunia bagi membantu komuniti OKU pendengaran membaca Quran berbantukan isyarat Kod Tangan Quran (KTQ) dan memahami Quran melalui terjemahan versi Bahasa Isyarat Malaysia (BIM).

Di samping itu, Kursus Dakwah Tanpa Suara (KDTS) merupakan program yang memberi asas latihan kepada ‘Da’i Pekak’ serta pendedahan awal terhadap dunia Pekak dan cabaran mereka dalam merealisasi tuntutan hidup bersyariat. KDTS yang bermula sejak 2015 telah ditawarkan secara terbuka selama 10 minggu setiap semester. KDTS turut menjadi batu loncatan kepada mahasiswa USIM dan peserta kursus yang komited untuk terjun ke dunia khidmat dan berkerjaya sebagai Jurubahasa Isyarat Malaysia (JBIM). Hasilnya, khidmat lepasan KDTS kini turut melibatkan usaha dakwah OKU di JAKIM, Jabatan Agama Islam Negeri, Mahkamah Syariah dan program keagamaan di media-media ternama seperti TV AlHijrah, RTM, TV3 dan Astro.

Program OKU Berdoa merupakan kemuncak program Sekretariat Sahabat FAQEH dan dianjurkan setiap tahun bermula tahun 2015. Ia dilaksanakan sempena Hari OKU Sedunia yang diraikan pada 3 Disember setiap tahun. Program mega ini merupakan usaha mengembalikan mesej dakwah yang sewajarnya bermula di masjid. Menariknya, penganjuran kali pertama OKU Berdoa mendapat kerjasama Masjid Negara yang ketika itu menyambut Jubli Emas sempena penubuhan Masjid Negara yang ke-50 tahun. Bermula tahun 2016, OKU Berdoa diadakan di Dewan Tuanku Canselor (DTC), USIM dengan membawakan pelbagai genre persembahan berkonsepkan Islam oleh OKU pelbagai kategori dan sentiasa menyentuh hati hadirin. Selain meraikan potensi OKU, program ini turut memberi kesedaran kepada masyarakat terhadap advokasi USIM dalam memaknai kampus barakah dan mempromosi visibiliti USIM melalui slogan USIM cemerlang, USIM disayang.

Saudara Anas Hanafi Mat Rejab yang merupakan mantan Presiden Sekretariat Sahabat FAQEH 2019 berpandangan bahawa selain dari beroleh ilmu dan kemahiran menguruskan organisasi serta pengalaman menganjurkan program-program skala besar, antara manfaat utama penglibatan di dalam Sekretariat Sahabat FAQEH adalah dapat memperoleh ilmu berkaitan OKU serta pengalaman untuk berkhidmat kepada komuniti OKU. Dalam pada itu, beliau amat menggalakkan para mahasiswa untuk terlibat di dalam aktiviti-aktiviti menyantuni OKU kerana ia boleh menjadi nilai tambah serta pengetahuan yang tidak diajarkan dalam kuliah atau mana-mana kelas.

Hakikatnya, melatih dan membentuk jiwa manusia yang mempunyai nilai empati dan manusiawi bukanlah mudah. Apalagi untuk membentuk sukarelawan dakwah OKU yang benar-benar cinta kepada kerja-kerja khidmat kepada agama. Oleh kerana itu, nilai ikhlas amat diterapkan di dalam jiwa setiap barisan kepimpinan Sahabat FAQEH sehingga ia menjadi sumber kekuatan dan menjadi asas kepada makna diri sebagai sukarelawan dakwah OKU. Pada masa yang sama, para sukarelawan Sahabat FAQEH sentiasa dipupuk dengan konsep Khairunnas anfa’uhum linnas yang diajarkan agama sehingga akhirnya kumpulan sukarelawan mahasiswa ini dapat memahami bahawa menjadi insan yang terbaik adalah dengan cara menebarkan manfaat kepada orang lain dan ummah secara keseluruhannya.