Mengekonomikan zakat dan definisi baharu Ekonomi Islam

Dr Siti Suriani Othman
Dr Siti Suriani OthmanFakulti Kepimpinan dan Pengurusan
Dr Fuadah Johari
Dr Fuadah JohariFakulti Ekonomi dan Muamalat

Apabila membicarakan soal zakat, pasti yang terbayang di minda adalah asnaf fakir miskin. Kekurangan mereka menyedihkan pemberi zakat, dan mereka pula mensyukuri pemberian zakat. Ketika musim perayaan sepeti Aidilfitri, zakat fitrah pula bermain di bibir setiap muslim. Itulah yang seringkali terbayang di fikiran apabila perkataan zakat disebut. Namun, zakat perlu dipersembahkan dan difahami dengan konteks yang lebih luas. Ia perlu dibincangkan dengan lebih mendalam dalam buku-buku ekonomi, dan hakikat ia sebagai salah satu penyumbang kepada GDP negara perlu diketengahkan.

Persoalannya, di manakah ruang sebenar konsep zakat dalam definisi ekonomi? Bolehkah kita mengekonomikan zakat? Atau perlukan kita mendefinisikan semula maksud ekonomi yang lebih segar dengan semangat kefarduan zakat yang diwahyukan Allah dalam surah al-Taubat ayat 60.

Bapa Ekonomi Lionel Robbins pada 1932 mendefinisikan ekonomi sebagai sains kekurangan dan pilihan.  Enonomi yang berasal daripada Bahasa Greek Oikos ‘rumah’ dan nemo ‘peraturan’ secara literalnya disifatkan sebagai pengurusan rumah tangga merupakan satu cabang Sains Sosial yang mengkaji tingkahlaku manusia dalam mengurus sumber-sumber yang terhad dalam memenuhi kehendak manusia dan alternatif penggunaannya. Jadi di mana letaknya zakat dalam definisi ekonomi ini?

Zakat pula, adalah kewajipan individu Muslim terhadap sebahagian hartanya yang perlu diberikan kepada para asnaf setelah memenuhi sesuatu tempoh (hawl) dan kadar nisab yang telah ditetapkan mengikut sesuatu tempat. Oleh itu dalam mengekonomikan zakat, definisi ekonomi perlu didefinisikan semula dalam bentuk kewajipan sebahagian hartanya sebagaimana yang difardukan Allah kepada setiap manusia.

Oleh itu, dalam mengekonomikan zakat, suatu definisi ekonomi baharu harus diperkenalkan dan dihayati untuk memenuhi maksud konsep zakat itu sendiri. Muhammad Arif, seorang penyelidik Ekonomi Islam dari Clark University pernah membuat kajian perbandingan definisi secara saintifik berasaskan definisi ekonomi dan memperkenalkan definisi ekonomi Islam. Dalam kajian ini, ekonomi Islam didefinikan sebagai kajian tingkahlaku Muslim dalam menguruskan sumber-sumber sebagai amanah, untuk mencapai objektif al-Falah (kejayaan).

Di sini, terma amanah secara tidak langsung mempunyai tanggungjawab sosial yang harus dipenuhi oleh setiap Muslim iaitu zakat dan juga instrumen agihan kekayaan yang lain (seperti wakaf, sedekah dan infaq) sebagaimana yang dianjurkan dalam Islam. Mengekonomikan zakat secara tidak langsung akan mewujudkan suatu sistem sosial baharu yang akan membentuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab dan berkeadilan.

Dari segi perspektif mikro ekonomi, zakat adalah sebagai mekanisme pengurusan audit diri kekayaan. Setiap individu akan menyumbang secara sukarela untuk memenuhi keperluan diri dan kesejahteraan masyarakat berdasarkan keupayaan seseorang dan lebihan daripada hartanya untuk disumbangkan kepada orang yang memerlukan. Memahami definisi ekonomi Islam yang baharu amat penting demi menggelakkan pemahaman zakat seolah-olah bayaran paksaan yang perlu dielakkan seumpama cukai mengikut pemahaman umum hari ini. Seseorang yang menghayati definisi ekonomi Islam dengan mengharapkan kejayaan (al-Falah) di dunia dan di akhirat, secara tidak langsung bertindak lebih bertanggungjawab terhadap keseluruhan hartanya terdapat hak-hak orang lain (yang diistilahkan sebagai asnaf di dalam zakat) sebagai amanah yang perlu dipatuhi.

Secara makro ekonomi pula, zakat direka sebagai instrumen pengagihan kekayaan dalam masyarakat. Menjadi agen pengagihan semula sebagai polisi fiskal bersifat tauhid berasaskan lebihan daripada kekayaan dan bukan semata-mata pendapatan lebih memotivasikan masyarakat untuk bekerja lebih kuat untuk mencipta kekayaan baharu yang lebih diredai. Ianya menyediakan jaminan sosial dan kesejahteraan menentang ketidakadilan antara kuasa-kuasa monopoli apatah lagi perbezaan fahaman politik sesuatu tempat. Ekonomi zakat melalui sumbangan agihannya memimpin keseimbangan sosial, menghindari eksploitasi maupun penaklukan harta monarki. Ianya menjamin keselamatan sosial dengan mengelakkan penumpuan harta dalam lingkungan beberapa individu, keluarga atau sesuatu tempat yang berpengaruh ataupun penimbunan kekayaan yang berlegar dari kalangan orang yang sama.

Oleh itu mendefinisikan semula maksud ekonomi yang lebih sejahtera membolehkan seseorang individu menfokuskan pengurusan kewangan dan kekayaannya dengan lebih harmoni dan selaras dengan ekosistem kehidupan sosial yang saling berkait antara satu sama lain dan dalam masa yang sama memenuhi kehendak Tuhan pencipta alam dan sumber-sumber alam anugerahNya. Ini selari dengan firman Allah dalam surah al-Hadid ayat 7 menyatakan bahawa Allah menganjurkan manusia membelanjakan harta yang dikurniakan oleh-Nya sebagai pemegang amanah untuk dibelanjakan pada jalan yang diredhai.

 

 

2019-01-28T12:24:02+00:00