Prof. Madya Dr Hendun Abd Rahman Shah
Prof. Madya Dr Hendun Abd Rahman ShahPensyarah Kanan Fakulti Syariah Undang-undang

Sekatan Israel ke atas Palestin bukan perkara yang baru. Sejak 2007, Israel bukan sahaja melemahkan ekonomi, tetapi juga memerangkap seluruh masyarakat awam khususnya di Gaza dengan pelbagai sekatan darat, udara dan laut. Beberapa percubaan yang pernah dilakukan oleh nelayan Gaza untuk mencari rezeki di perairan Gaza hanya menyebabkan mereka ditembak mati oleh rejim zionis ini. Kekejaman Israel bukan sahaja tertumpu kepada rakyat Palestin, malah juga kepada masyarakat antarabangsa yang bersoladiriti dengan Palestin. Ini dibuktikan dengan insiden berdarah Mavi Marmara (Gaza Freedom Flotila) pada tahun 2010 yang telah mengorbankan sembilan aktivis kemanusian di perairan antarabangsa. Insiden ini hanyalah kisah terpencil berbanding penderitaan yang dialami rakyat Palestin sejak berdekad yang lalu.  Kekejaman yang dilakukan oleh rejim Israel tanpa halangan dan tindakan sewajarnya oleh instrumen perundangan antarabangsa telah menyebabkan mereka semakin berani dan secara terang-terangan melakukan jenayah perang dan genosid. Kegagalan negara-negara dunia dan badan antarabangsa menghentikan kekejaman ini menyuburkan kembali semangat masyarakat awam untuk menyalurkan bantuan kemanusiaan ke Gaza. Maka lahirnya Global Sumud Flotilla (GSF) – sebuah konvoi kapal antarabangsa yang belayar dengan satu tujuan: menghantar bantuan kemanusiaan ke Gaza dan membawa mesej solidariti global serta penegasan bahawa sekatan Israel ke atas Gaza bercanggah dengan perinsip kemanusiaan sejagat dan undang-undang antarabangsa. Perkataan sumud membawa maksud keteguhan atau ketabahan, mencerminkan semangat masyarakat antarabangsa dalam menyalurkan bantuan kemanusiaan dan mengharapkan rakyat Palestin terus bertahan walaupun hidup dalam penindasan dan sekatan berpanjangan. Biarpun telah menjangkakan risiko dan implikasi terhadap pelayaran mereka ke Gaza seperti mana Flotila terdahulu, mereka masih meneruskan misi kemanusiaan ini kerana bagi mereka ini adalah satu kewajipan yang perlu dilaksanakan.

Dari segi perundangan, timbul persoalan mengenai sama ada terdapat pelanggaran undang-undang antarabangsa, termasuk hak kebebasan pelayaran di perairan antarabangsa, prinsip undang-undang kemanusiaan antarabangsa, serta sejauh mana kewajipan negara untuk mencegah genosid. Mengikut Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-Undang Laut (UNCLOS) 1982, semua negara menikmati kebebasan pelayaran di laut antarabangsa (high seas) (Artikel 87). Kapal-kapal awam yang berlayar di bawah bendera negara berdaulat tidak boleh diganggu kecuali dalam keadaan yang sangat terhad, seperti pencegahan jenayah lanun atau pemerdagangan dadah. Rangkaian GSF dengan 45 buah kapal dan bot yang disertai seramai 497 peserta dari 46 negara telah membuatkan pelbagai kenyataan bahawa misi mereka adalah membawa bantuan kemanusiaan ke Gaza dan mencabar sekatan bahan makanan dan perubatan oleh rejim Israel. Pemintasan Israel di perairan antarabangsa jelas mencabul prinsip kebebasan pelayaran. Tindakan ini juga melanggar asas kedaulatan negara bendera (flag ship) bagi kapal yang terbabit, sekali gus menyalahi UNCLOS. Sepertimana dalam Laporan Majlis Hak Asasi Manusia PBB (2010) yang menyimpulkan bahawa tindakan Israel menyerang Mavi Marmara adalah tidak sah. Dalam pintasan Israel ke atas kapal-kapal GSF, Israel mendakwa tindakannya berdasarkan ancaman terhadap keselamatan negara mereka,  tindakan pintasan tersebut tidak sah di sisi undang-undang antarabangsa. Walaupun terdapat komen yang mengaitkan tindakan Israel sebagai jenayah lanun di laut antarabangsa, namun disebabkan ia dilaksanakan oleh kerajaan dan bukan untuk tujuan peribadi (private ends), maka ia juga tidak menepati definisi lanun  di bawah UNCLOS. Ia lebih sesuai ditafsirkan sebagai keganasan negara (state terrorism), kerana ia menyerang orang awam untuk menakutkan masyarakat antarabangsa dan melemahkan solidariti terhadap Palestin. Walaupun istilah “keganasan negara” belum mempunyai definisi undang-undang yang mengikat, hujah ini relevan dalam diskusi moral dan politik.

Konvensyen Geneva Keempat 1949 menegaskan bahawa penduduk awam mesti dibenarkan menerima bantuan kemanusiaan. Tindakan Israel memintas flotilla adalah penghalangan langsung terhadap hak ini, yang boleh dianggap sebagai bentuk hukuman kolektif – perbuatan yang jelas dilarang dalam undang-undang antarabangsa. Lebih serius, Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) dalam kes Bosnia v. Serbia (2007) telah menetapkan kewajipan negara untuk mencegah genosid. Tambahan pula, pada Januari 2024, ICJ turut memerintahkan Israel memastikan akses bantuan kemanusiaan ke Gaza, kerana percaya terdapat  risiko serius berlakunya genosid. Maka, pemintasan flotilla yang membawa bantuan boleh dilihat sebagai pencabulan terhadap kewajipan ini dan pelanggaran undang-undang antarabangsa.

Dapat disimpulkan, misi GSF ini tidak hanya membawa bantuan, tetapi juga menjadi simbol cabaran terhadap ketidakadilan dan seruan kepada komuniti antarabangsa untuk bertindak. Pelanggaran undang-undang ini tidak boleh dibiarkan tanpa akauntabiliti, kerana jika undang-undang antarabangsa gagal ditegakkan di Gaza, ia menghakis keseluruhan sistem keadilan global.