Encik Ismail Ahmed (A.M.N)
Encik Ismail Ahmed (A.M.N) Pengarah Pusat Kebudayaan

Program bual bicara atau talk show bermula dari siaran sembang santai di radio yang kemudiannya berkembang ke siaran televisyen pada sekitar tahun 1950-an walaupun ketika itu televisyen belum begitu popular di Amerika. Menurut Thomas Tennant (2019), populariti pengacara radio semakin menyerlah dan sebahagian mereka beralih kepada rancangan bual bicara di televisyen. Dokumentari The Real Story Of America’s Talk Shows  telah menamakan Joe Franklin sebagai hos yang pertama yang mengendalikan rancangan talk show di Amerika. Seorang personaliti radio berasal dari New York, Joe Franklin menjadi hos rancangan bual bicara televisyen yang pertama pada tahun 1951 menerusi rancangan The Joe Franklin Show sehingga tahun 1993. Nama besar dan berpengaruh lain turut mendominasi rancangan bual bicara televisyen di antaranya seperti Steve Allen, Arthur Godfrey,  Dave Garroway (The Today Show), Jack Paar dan Graham Norton. Selain mempunyai segmen khas yang menumpukan kepada topik perbualan yang santai, rancangan bual bicara membicarakan perspektif yang berbeza, menyampaikan maklumat selain merumuskan perbincangan dan berjaya menarik penonton untuk hadir ke studio untuk mengikutinya secara lebih dekat.   

Menurut Museum of Broadcast Communications, program bual bicara atau talk show pada asalnya berkonsepkan sesi sembang tanpa skrip atau spontaneous di antara pengacara dan panelis yang dijemput ke dalam program yang ditetapkan oleh stesen radio mahupun TV. Berpaksikan kepada sesuatu topik yang dipilih, pengacara akan menyorong pelbagai soalan yang mengungkap pelbagai isu dan ruang kebitaraan panelis. Perjalanan program bual bicara selalunya tidak terlalu formal dan lebih santai dan mesra penonton. Di Malaysia, rancangan bual bicara menampilkan ramai pengacara selebriti yang bukan sahaja petah berbicara malah menjadi satu jenama yang melariskan rancangan yang dikendalikan oleh mereka. Rancangan seperti Macam- macam Aznil, Jangan Tidur Lagi, Halim Othman Live dan Wanita Hari Ini adalah sebahagian yang sangat popular sehingga kini. Namun apabila dunia dilanda wabak COVID-19, kehidupan kita telah berubah secara mendadak.

Pandemik mengundang tsunami perubahan yang luar biasa kepada dunia masa kini. Perubahan gelombang kehidupan ini telah mencetuskan pelbagai stigma dan ketakutan yang melanda seluruh warga dunia. Pelbagai anjakan urus kerja dan strategi untuk menangani kehidupan dan kesihatan yang lebih mampan muncul di tengah-tengah wabak COVID-19. Ini telah membuahkan satu budaya dan medan kreativiti yang belum pernah diterokai dan ‘menjerat’ kita ke kancah New Normal atau Kebiasaan Baharu.

Mengikut International Data Corporation (IDC), Malaysia memiliki tahap kesedaran digital yang pantas dan ketiga tertinggi di Asia Pasifik. Krisis yang muncul di sebalik pandemik yang kini mula beralih ke fasa endemik sebenarnya telah menjadikan kita lebih kreatif dan ingin berinovasi. Komuniti seni budaya juga tidak terlepas daripada kerenah pandemik yang terus tersenyum sinis menyekat program dan aktiviti seni berlangsung di sekeliling kita. Berfikir untuk menukar corak budaya kerja yang baharu memerlukan kita mengubah paradigma daripada ketidakselesaan akibat pandemik kepada mencipta peluang.

Menurut Dr. Patrick Flores (2020), sejarawan dan profesor seni di Universiti Filipina, sepertimana amalan lain atau disiplin lain yang terkesan, art needs to be at once witness and catalyst of what’s happening to the world and to itself, and what may be prefigured through and beyond it. A crisis is a critical condition, an emergency, and an opportunity. Krisis mencetuskan peralihan daripada kecemasan dan kekurangan kepada daya fikir dan medan magnet kreativiti yang menyarungi akal fikir, dan teknologi yang mencipta ruang dan budaya kerja tanpa sempadan.

Maka, kita perlu bingkas bangun dan meluncur, supaya tidak senyap ditelan tsunami COVID-19. Menyusun strategi dan inisiatif, Pusat Kebudayaan USIM cuba berinovasi dalam menyampaikan mesej-mesej budaya tinggi kepada masyarakat. Cetusan ideanya adalah demi memastikan program seni dapat dicapai dan dihayati serta menjadi realiti kepada semua lapisan komuniti. Gabungan jemaah kreatif di Pusat Kebudayaan USIM telah menghasilkan program maya yang dikenali sebagai Sembang Bukan Gebang.

Mengapa “sembang bukan gebang”? Secara umumnya, apabila masyarakat berbicara soal seni budaya, yang kelihatan adalah persoalan remeh, tidak penting, gebang kosong dan tidak ada membawa apa-apa perubahan yang menyumbang kepada peningkatan sosio-budaya kepada komuniti sasaran dan masyarakat. Setelah beberapa sesi diskusi maya, Syed Indera Syed Omar (SISO Kopratasa) memberikan tajuk yang unik ini, bagi mencerminkan betapa serius persoalan sembang bukan sekadar bergebang yang agak sinonim dengan kelompok masyarakat di Malaysia. Dari situ bermulanya 15 episod Sembang Bukan Gebang (SBG).

SBG ialah program bual bicara yang spontan, santai dan bebas disulami dengan pelbagai topik perbincangan dan perkongsian pengalaman, maklumat dan kepakaran yang memberi manfaat kepada komuniti budaya. Bersiaran setiap minggu pada hari Ahad pada jam 11.00 pagi. Berdurasi 90 minit, namun dengan konsep santai berinfomatif, selalunya kepetahan moderator dan kebitaraan panel jemputan sering membawa SBG menyusur ke waktu tambahan. Program ini dirakamkan di studio Pusat Kebudayaan USIM dan menggunakan sepenuhnya aplikasi terkini dengan warna tema seperti merah, putih dan hitam dan disiarkan secara langsung di Facebook Page Pusat Kebudayaan USIM. Sembang Bukan Gebang menyediakan ruang kepada moderator dan panel jemputan pada setiap minggu membincangkan tajuk yang dipilih tanpa sempadan dan birokrasi hal-hal berkaitan seni budaya.

Keunikan Sembang Bukan Gebang bermula daripada barisan moderator dan panel jemputan yang menggabungkan konsep 3P iaitu: (i) Pentadbir Seni, (ii) Penggiat Seni dan           (iii) Pengkaji Seni. SBG menjemput tokoh dan individu yang pakar dalam bidang seni budaya dan komited dalam hala tuju seni budaya negara. Percambahan idea dan perkongsian maklumat seni budaya secara maya oleh barisan panel jemputan telah melahirkan satu anjakan baharu dalam penyampaian berkaitan hal-hal seni budaya kepada masyarakat.

Sebagai rekod pencapaian, SBG telah dijalankan sebanyak dua musim dengan jumlah 15 episod bercatatan 2094 minit siaran, 53 panel jemputan melibatkan 13 Pentadbir Seni, 31 Penggiat Seni dan       9 Pengkaji Seni, selain merekodkan 1431 perkongsian (Share) dan mencatatkan jumlah audiens sebanyak 47 224 yang hadir secara maya. Sebagai wacana yang membicarakan persoalan seni budaya, pencapaian ini amat membanggakan kerana bukan mudah mengajak audiens untuk menonton panel bersembang secara maya, sesuai dengan tagline; “Sembang Bukan Gebang, Kita Bincang Sampai Terang”.

Tidak hanya bernoktah selepas SBG melabuhkan tirai siaran, jemaah kreatif Pusat Kebudayaan USIM berhasrat mencatat satu lagi inovasi baharu dengan memindahkan kandungan bual bicara maya kepada naskhah penulisan. Bagi merealisasikan impian ini, Pusat Kebudayaan USIM mengadakan kerjasama dengan entiti budaya yang mempunyai autoriti berkaitan hal-hal seni budaya di Malaysia. Menerusi beberapa siri perbincangan yang konstruktif dengan sumbangsaran dan idea, termeterai kerjasama Pusat Kebudayaan USIM dengan Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) yang bertindak sebagai rakan pendanaan penerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang. Sokongan JKKN hadir tepat pada waktunya. Ini adalah langkah strategik melalui satu pakatan bestari yang cemerlang.

Penerbitan buku Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang adalah kerja kreatif yang julung kali dan pertama di Malaysia membawa kandungan bual bicara maya ke dalam naskhah tulisan. Monograf budaya menghimpunkan 16 artikel hasil gabungan kebitaraan 17 penulis (3P) dalam sebuah monograf setebal lebih kurang 304 muka surat. Naskhah ini menggabungkan 15 episod SBG dan satu artikel daripada program bual bicara Borak Rakyat yang juga terbitan Pusat Kebudayaan USIM. Penerbitan ini mengorak peluang baharu kepada komuniti seni dan budaya serta masyarakat dalam mengamati dan menghayati kandungan seni budaya bernilai tinggi. Pelbagai topik seni budaya dikupas dalam ditulis secara ilmiah mencakupi budaya tinggi seperti seni masakan tradisi Melayu, sejarah, kepahlawanan Hang Tuah, muzik tradisional Melayu, pengurusan seni, teater dan filem Malaysia, busana tradisi, syair warisan, lagu puisi, terapi seni, survival orang seni sehinggalah kepada intensiti syiar Islam dalam seni budaya Melayu. Kumpulan penulis hebat yang menyumbang kepakaran dalam penulisan artikel ialah para pengkaji seni seperti Awang Sariyan, Supyan Husin, Azam Dungun, Azizah Abdullah, Rosminah Tahir, Kamarulzaman Mohamed Karim, Indirawati Zahid selain pentadbir seni profesional tanah air seperti Ismail Ahmed, Zulkifli Ab Rashid, Ezlina Alias, Hazelina Ghazaly dan Zaiton Hasan. Gabungan penggiat seni mampan turut menyumbang penulisan artikel seperti Cef Fikree Aznan, Siso Kopratasa, Ramlee Wahab, selain penulis generasi muda iaitu Wanza Mohamad dan Hasif Idris yang merupakan alumni USIM.

Antara yang menarik dalam penerbitan monograf ini ialah kod QR pada muka surat terakhir setiap artikel. Apabila kod ini diimbas, sidang pembaca akan dibawa terus menonton siaran rakaman di platform YouTube TV Pusat Kebudayaan USIM-Leads TV. Hanya yang terbaik untuk anda, sidang pembaca.

Melalui penerbitan yang unik ini, Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang bukan sahaja menjadi program bual bicara maya pertama ke naskhah penulisan malah diharap mampu memberi pengalaman baharu kepada sidang pembaca melalui rekacipta dan persembahan teks dalam naskah ilmiah yang lebih kontemporari dengan gabungan warna segar selain teknik tipografi yang sangat menarik. 

 Penerbitan Monograf Budaya: Sembang Bukan Gebang diharap mampu membibitkan perasaan celik ilmu serta menginspirasikan semua lapisan komuniti yang cintakan seni dan budaya di Malaysia. Mengungkap petikan Rumah Fikir (Adiwangsa Sukma, 2017) yang berbunyi; menginspirasikan orang lain seperti mengetuk pintu rumah fikir dan memberinya sejambak bunga.