Mohd Zaini Othman
Mohd Zaini OthmanTimbalan Pengarah Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)

Rakyat Malaysia tumpang gembira dengan hadiah kejutan yang diterima oleh Nur Athirah Abdul Latif, 23 iaitu sebuah motorsikal baharu sumbangan peribadi daripada Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin sebagai ganti kepada motorsikalnya yang dicuri di sebuah pasar raya di Batu Caves baru-baru ini. Motorsikal yang hilang itu baru dibelinya kira-kira tiga bulan lalu menjadi punca rezeki kepadanya untuk menyara ibu dan dua adik-beradiknya yang lain dengan hasil pendapatan sebagai penghantar barang sepenuh masa.

Menerusi satu hantaran di Facebook Selangor Royal Office, Tengku Permaisuri Norashikin mengharapkan sumbangan baginda ini membolehkan Nur Athirah dapat kembali meneruskan kerja harian dengan sempurna seterusnya membantu keluarga selain menitipkan harapan agar masyarakat di luar sana lebih bersifat perikemanusiaan dan bertimbang rasa di antara satu sama lain ketika diuji dengan pelbagai dugaan kini.

Kisah sedih yang menimpa Nor Hamiza Mohammad pada bulan Mei lalu juga turut tular apabila berkongsi dugaan yang menimpa beliau sekeluarga apabila kediamaan mereka di Petaling Jaya dipecah masuk semasa mereka sekeluarga ‘terkandas’ hampir dua bulan di Kelantan kerana. Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Hati mana yang tidak luluh apabila melangkah masuk ke dalam rumah yang dirindui, keadaanya berselerak dan bersepah akibar di pecah masuk, lebih menyedihkan apabila perompak ‘kenduri sakan’ dengan mengangkut hampir kesemua barangan elektrik.

Ini adalah contoh dua kisah rakyat Malaysia yang menjadi mangsa dari kes-kes jenayah melibatkan rompakan dan kecurian yang berlaku semasa pelaksanaan PKP. Semasa peringkat awal pelaksanaan PKP pada 18 Mac lalu, Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador menyatakan kadar indeks jenayah menurun sebanyak 70 peratus di seluruh negara tetapi kes jenayah yang masih berlaku secara ketara adalah kes pecah rumah dan mencuri motosikal. Sebaik sahaja kerajaan ‘melonggarkan’ PKP diseluruh negara mulai Jun lalu, ia secara tidak langsung membuatkan para penjenayah menghidu keadaan ini sebagai satu peluang untuk kembali merancakkan lagi kegiatan mereka.

Telahan penulis ada asasnya kerana Ketua Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Selangor, Datuk K Kumuran mengakui berlaku peningkatan indeks jenayah di Selangor susulan kelonggaran pergerakan selepas tamatnya PKP. Menurutnya, penjenayah dikesan mengambil peluang ini untuk menyambung aktiviti jenayah yang tergendala sebelum ini susulan larangan keluar rumah semasa PKP. “Sejak berakhirnya PKP, laporan polis yang diterima berhubung kejadian samun, ragut, pecah rumah dan sebagainya meningkat terutamanya di beberapa daerah di negeri ini,” ujarnya.

Pecah rumah, samun, mencuri, ragut dan seumpamanya merupakan ‘pekerjaan’ kepada individu yang kita gelarkan sebagai penjenayah dan semestinya ini adalah pekerjaan yang bersalahan di sisi undang-undang dan kepercayaan agama mana sekalipun. Tetapi, memandangkan ia satu pekerjaan yang mendatangkan hasil wang ringgit, pastinya ada individu yang memilih jalan hitam ini yang menjadikan harta benda orang lain sebagai punca pendapatannya. Tidak hairanlah para penjenayah ini sentiasa tajam memerhatikan peluang dan ruang untuk menjalankan kegiatan jenayah mereka..

Salah-satunya punca kes jenayah seperti ini berlaku menurut pihak Polis Diraja Malaysia adalah datangnya dari kecuaian diri kita sendiri yang merujuk kepada sikap ambil mudah masyarakat terhadap keselamatan diri dan harta benda mereka. Apabila membaca laporan di media mahupun perkongsian di media sosial misalnya melibatkan kes jenayah kecurian dan ragut, kebanyakan kes berpunca dari kelalaian mangsa itu sendiri yang berlaku dalam pelbagai bentuk. Contohnya dari beberapa kes, ia berlaku kerana mangsa memarkir kenderaan di tempat yang kurang selamat, meninggalkan kenderaan tanpa dikunci atau pengawasan sepenuhnya dan bagi wanita pula, keluar rumah dengan memakai barangan kemas seperti rantai, gelang, rantai dan sebagainya yang terlalu menonjol.

Masyarakat perlu mengelakkan kecuaian sebegini kerana ia menarik perhatian dan memudahkan penjenayah membuat onar. Justeru masyarakat harus lebih bertanggungjawab dalam setiap perkara berkaitan harta benda demi menjamin keselamatan selain tidak mengundang keinginan penjenayah untuk mengambil kesempatan ke atas harta benda mereka.

Apabila penulis menyentuh mengenai kecuaian masyarakat, tidak bermakna punca lain yang mencetuskan jenayah perlu dikesampingkan seperti pengangguran yang tinggi, peningkatan kos sara hidup, ketidakseimbangan pembangunan di bandar, kehadiran warga asing dan pendatang tanpa izin dan kelematan penguatkuasaan undang-udang. Semua faktor ini perlu diberi perhatian untuk mencari solusinya kerana dalam hal membanteras jenayah, ia memerlukan keterlibatan bersama kerajaan, masyarakat dan pihak berkuasa secara erat dan istiqamah.

Sesungguhnya, musibah pandemik Covid-19 yang membadai dunia kini benar-benar menguji survival manusia meneruskan kelangsungan hidup, yang lemah imannya mungkin memilih jalan yang salah tetapi keterdesakan ini tidak menghalalkan kepada pelakuan sebarang aktiviti jenayah untuk bermaharajalela.