Dr Zulfaqar Mamat
Dr Zulfaqar MamatFakulti Syariah dan Undang-undang

Baru-baru ini kita dikejutkan dengan berita seorang gadis dari negara Arab Saudi yang melarikan diri dari keluarganya dan meminta suaka politik dari negara lain kerana mendakwa nyawanya berada dalam bahaya jika di hantar pulang. Peristiwa ini menjadi viral dan mencetuskan bantahan terhadap sistem lelaki sebagai penjaga atau wali kepada perempuan. “Hapus sistem pewalian dan kami semua tidak akan berhijrah” menjadi mesej aliran utama dalam twitter di Arab Saudi (BH Online: 11 Januari 2019). Adakah pewalian benar-benar merupakan suatu yang “retro” dan tidak diperlukan dalam masyarakat moden pada hari ini?

Dalam negara kita sendiri, sering kedengaran berita anak gadis yang melarikan diri kerana telah mempunyai pilihan sendiri dan tidak bersetuju dengan pilihan orang tuanya. Hal-hal seumpama ini memerlukan kita melihat sejenak apakah yang dimaksudkan sebagai wali dan kepentingannya dalam kehidupan seorang muslimah.

Wali dari segi bahasa merujuk kepada perkataan bahasa Arab yang bermaksud penguasa atau pemimpin. Sementara dari segi istilahnya pula, Kamus Dewan (2005) mendefinisikan sebagai orang yang boleh menikahkan pengantin perempuan. Ia selalunya dikaitkan dengan kuasa bapa atau datuk untuk menikahkan anak atau cucu mereka. Hal ini bertepatan dengan definisi yang dikemukakan Al-Jaziri (2004) yang wali sebagai seseorang yang menentukan sahnya akad, dan akad nikah tidak sah dengan ketiadaannya. Mereka ialah ayah, wakil yang diwasiatkan, kaum kerabat yang dekat, penguasa dan raja. Jelasnya di sini, wali adalah suatu amanah yang dipertangungjawabkan kepada golongan lelaki secara umumnya untuk menjaga dan memastikan urusan orang yang berada di bawah tanggungannya sentiasa mendapat kebaikan dan terhindar dari sebarang keburukan, termasuk dalam soal perkahwinan, pemberian nafkah, penasaban dan seumpamanya.

Kepentingan wali terhadap wanita atau gadis adalah bersandarkan kepada hukum syarak di mana Allah SWT telah meletakkan tanggungjawab kepada lelaki lebih daripada perempuan. Firman Allah SWT dalam surah al-Nisa’, ayat 34 yang bermaksud: “Kaum lelaki adalah pemimpin bagi wanita, kerana Allah telah melebihkan orang lelaki atas wanita, dan juga kerana orang lelaki telah membelanjakan dari harta mereka…”

Dengan itu, seorang lelaki diberi hak untuk menghukum isteri yang menderhaka, mempunyai hak melafazkan talak dan manjadi wali dalam pernikahan anak perempuannya. Kesemua tanggungjawab yang dipikul tersebut adalah untuk kemaslahatan yang akhirnya kembali kepada golongan wanita, kerana ia menunjukkan sokongan kuat keluarga terutama dari ayah atau saudara lelakinya dalam perkahwinan sekiranya berlaku perkara-perkara yang tidak diingini.

Tambahan pula, golongan lelaki yang lebih mengetahui hal atau tipu daya lelaki terhadap wanita, maka tanggungjawab yang diberikan itu amat bersesuaian untuk menjaga anak gadis atau wanita yang berada di bawah jagaannya. Dengan adanya sistem perwalian, Islam menjadikan urusan perkahwinan sesuatu yang serius dan bersungguh-sungguh sehingga wanita tidak dibenarkan untuk menangani kes ini secara bersendirian. Dengan adanya wali, kedudukan wanita lebih terjamin dan di hormati. Ia menggambarkan bahawa pemilikan wanita ini satu amanah yang besar. Sistem perwalian adalah sebahagian dari proses penyerahan amanah ini (Lukman Abdul Mutalib et.al: 2018).

Kepentingan wali juga disebut dalam firman Allah SWT yang lain di mana maksudnya: “Dan apabila kamu menceraikan isteri-isteri (kamu), lalu habis masa idah mereka maka janganlah kamu (wahai wali-wali nikah) menahan mereka daripada berkahwin semula dengan (bekas) suami mereka, apabila mereka (lelaki dan perempuan itu) bersetuju sesama sendiri dengan cara yang baik (yang dibenarkan oleh Syarak)” (al-Baqarah:232).

Ayat ini juga adalah bukti paling jelas tentang kepentingan wali dalam sesuatu perkahwinan. Jika wali tidak penting sudah tentu mereka tidak ditegah menghalang perkahwinan tersebut. Ini secara tidak langsung menunjukkan bahawa ‘tegahan wali’ memberi kesan kepada penerusan perkahwinan itu.
Ayat ini juga sebenarnya memberi isyarat bahawa wali tidaklah secara mutlak boleh menggunakan kekuasaannya, tetapi terikat kepada beberapa syarat yang ditetapkan ulamak, antaranya wali mestilah seorang yang baligh dan berakal sihat, seorang yang adil dapat menentukan bahawa pernikahan itu adalah baik untuk anak gadisnya dan tidak melakukan pemaksaan yang boleh merugikan anak gadis yang dibawah tanggungannya.

Peri pentingnya wali dalam kehidupan masyarakat muslim diperkukuhkan lagi dengan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa suatu perkahwinan tidak akan diterima (sah) tanpa adanya persetujuan daripada wali wanita tersebut. Sabda Rasulullah SAW dalam riwayat Abu Daud yang bermaksud: “”Tidak sah nikah melainkan dengan adanya wali dan dua saksi yang adil.”

Para fuqaha dalam membincangkan hadis ini dan beberapa hadis lain yang berkaitan telah berselisih pendapat tentang pensyaratan wali dalam perkahwinan seseorang perempuan kepada dua pendapat (Al-Zuhaili:2004):

Pendapat pertama, Abu Hanifah dan Abu Yusof menyatakan sah perkahwinan oleh perempuan yang merdeka, baligh dan berakal tanpa keredaan walinya, maka perempuan tadi boleh menguruskan akad nikahnya dan mengahwinkan orang lain. Akan tetapi jika dia menguruskan akad perkahwinannya sedangkan wali asabah masih ada, maka disyaratkan perkahwinan tersebut sekufu dan mas kahwin tidak kurang dari nilai mahar mithil (mas kahwin yang sepadan dengannya). Sekiranya dia berkahwin dengan lelaki yang tidak sekufu maka walinya mempunyai hak untuk membantah perkahwinan tersebut dan qadi perlu memfasakhkannya.

Dalil pendapat ini ialah bersandarkan hadis Nabi SAW riwayat Muslim yang bermaksud:

“Perempuan yang tiada suami lebih berhak ke atas dirinya dari walinya, dan anak dara perlu mendapat keizinannya, dan diam menunjukkan keizinannya”.

Sementara Pendapat kedua, Jumhur fuqaha yang berpegang kepada hadis Abu Daud sebelum ini berpandangan tidak sah nikah tanpa wali. Seorang perempuan tidak mempunyai hak untuk mengahwinkan dirinya atau orang lain sekalipun beliau seorang yang telah baligh dan berakal.

Sekiranya diteliti pendapat pertama, perkahwinan tanpa wali adalah diharuskan tetapi dalam masa yang sama ia tidak mengenepikan kuasa wali untuk membatal atau membantah perkahwinan tersebut sekiranya tidak sekufu. Ini disokong dengan kenyataan oleh salah seorang fuqaha mazhab Hanafi, Muhammad Hassan As-Syaibani yang mengatakan nikah tanpa wali adalah sah sekiranya mendapat redha daripada wali. Tambah beliau lagi, nikah tanpa keizinan wali sama ada sekufu atau tidak sekufu adalah tidak sah (al-Kasani: 1986).

Justeru apa yang dapat dirumuskan di sini bahawa perkahwinan tanpa wali yang dilaksanakan dengan niat mengenepikan hak wali adalah tidak sah di sisi syarak secara ijmak. Maka pendapat yang terpilih dan sesuai ialah pendapat kedua yang menyatakan perkahwinan tanpa wali adalah tidak sah.

Jelas melalui hujah yang dikemukakan bahawa wali adalah penjaga kepada wanita, dengan pengalaman hidup yang lebih lama dan rasa tanggungjawab kebapaan yang ada maka objektif atau maqasid pensyariatan wali dalam Islam untuk menjamin kebahagian yang berpanjangan, menjaga maslahah dan melindungi kepentingan wanita muslimah dari segala perkara yang boleh merosakkannya adalah tepat dan sesuai pada tempatnya. Wallahua’lam.