Dr Rahayu Binti Ahmad
Dr Rahayu Binti Ahmad Pensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan
Dr Ehwan Ngadi
Dr Ehwan NgadiPensyarah Kanan Kolej GENIUS Insan

Keupayaan sesebuah negara untuk mencapai tahap negara maju adalah bersandarkan kepada warganegaranya yang mempunyai tahap kemahiran berfikir yang tinggi, kreatif, kritis dan inovatif. Kemahiran-kemahiran ini amat penting dalam memacu negara menjadi sebuah kuasa besar dalam pelbagai bidang termasuklah bidang sains, teknologi, ekonomi serta ketenteraan. Sehubungan dengan itu, kemahiran-kemahiran ini perlu diasuh dari awal lagi. Oleh yang demikian, usaha memupuk dan membentuk kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan inovatif merupakan satu usaha penting untuk murid sekolah. Kemahiran ini membolehkan murid berfikir di luar kotak dan mendorong mereka memperluaskan dimensi imaginasi agar tidak terhad hanya kepada kandungan pembelajaran yang dipelajari di sekolah. Mengapakah kemahiran berfikir secara kreatif, kritis dan innovatif ini amat penting? Selaras dengan keperluan Revolusi Industri 4.0, rata-rata peluang pekerjaan yang ditawarkan pada masa kini lebih mengutamakan keupayaan berfikir aras tinggi, kreatif serta berupaya membuat keputusan dengan inovatif terutama sekali pekerjaan–pekerjaan yang melibatkan bidang professional.

Salah satu mekanisme terbaik untuk melahirkan murid yang bersifat kreatif, kritis dan inovatif adalah komponen projek penyelidikan yang dijalankan semasa di peringkat sekolah menengah. Komponen projek penyelidikan ini bukan sahaja dapat memupuk pemikiran kreatif, kritis dan inovatif, tetapi juga boleh menjadi nilai tambah dalam aspek pembelajaran kepada mereka. Peluang menjalankan projek penyelidikan berupaya membuka ruang kepada murid untuk berimaginasi, mengemukakan dan menghuraikan idea-idea baharu sama ada dalam bidang sains, sains sosial, ekonomi, termasuklah perkaitan sains dengan Al Quran dan Hadis.

Pelaksanaan projek penyelidikan di peringkat sekolah menengah boleh dimulakan dengan mencungkil minat murid melalui pemerhatian terhadap alam sekitar dan isu semasa. Keutamaan sesi pembelajaran semasa peringkat ini adalah memberi kebebasan kepada pelajar untuk menghuraikan rasa ingin tahu mereka terhadap sesuatu perkara atau permasalahan, dan setiap idea, huraian dan maklumat yang diperolehi perlulah dicatatkan di dalam buku penyelidikan murid. Setiap idea yang digarap ini boleh dikembangkan dari masa ke semasa untuk menambahkan lagi maklumat tentang permasalahan yang ingin dikaji oleh murid. Buku catatan penyelidikan ini adalah medium bagi murid untuk mencatat idea, pemikiran dan maklumat-maklumat saintifik serta merancang gerak kerja penyelidikan.

Apabila minat dan kecenderungan murid telah dikenal pasti, guru pembimbing yang bertindak sebagai mentor penyelidikan perlu memainkan peranan dalam memberi panduan kepada pelajar. Peranan ini amat penting dalam memastikan minat dan kecenderungan murid semasa menjalankan penyelidikan sentiasa berterusan. Guru pembimbing perlu memberi tunjuk ajar tentang cara mencari bahan-bahan rujukan seperti artikel penyelidikan terkini secara atas talian dan melalui pangkalan data. Murid perlu dibimbing tentang kaedah untuk membaca, memahami dan mengekstrak maklumat saintifik daripada artikel penyelidikan. Mereka juga perlu dipandu untuk menganalisa data-data penyelidikan terdahulu untuk dikaitkan dengan kajian yang sedang dijalankan. Semasa peringkat mencari maklumat penyelidikan, budaya membaca dapat dipupuk secara tidak langsung kerana murid perlu mendapatkan maklumat berkaitan dengan penyelidikan mereka. Guru pembimbing juga perlu sentiasa cakna dan mendapatkan maklumat-maklumat terkini mengenai bidang penyelidikan yang dijalankan agar tidak ketinggalan dan sentiasa mengikut tren penyelidikan terkini.

Guru pembimbing perlu sentiasa memantau kerja-kerja penyelidikan yang dijalankan oleh murid kerana bimbingan yang berterusan dan rapat amat diperlukan oleh mereka bagi mengelakkan matlamat penyelidikan tersasar daripada objektif asal. Hal ini kerana, mereka merupakan murid sekolah yang sedang membesar dan dibentuk. Oleh yang demikian, pemantauan yang rapat dan kerap serta peringatan perlu sentiasa diberikan. Guru pembimbing perlu mengetahui bahawa murid perlu diberi tunjuk ajar berulangkali sehingga mereka tidak kekok dan mahir menjalankan penyelidikan di bawah pemantauan guru pembimbing. Bimbingan yang berterusan ini amat penting agar pelajar tidak hilang fokus, tidak merasa tertekan menjalankan penyelidikan dan tidak berputus asa jika gagal menemui sesuatu kaedah yang sesuai dalam menjalankan penyelidikan mereka. Selain guru pembimbing, pihak berkepentingan seperti sekolah dan ibu bapa perlu menyokong dan menyumbang usaha penyelidikan yang dijalankan oleh murid seperti menyediakan kemudahan mencari maklumat, peralatan computer, buku rujukan dan kemudahan penyelidikan.

Semasa murid sedang menjalankan penyelidikan, mereka berpeluang mempelajari kemahiran penyelidikan yang baharu seperti kemahiran menggunakan alat berteknologi tinggi, kemahiran menganalisis data dan sebagainya. Kemahiran yang diperolehi oleh mereka ini bukan sahaja menjadi nilai tambah, tetapi boleh dipraktikkan semula apabila pelajar menjalankan penyelidikan di institusi pengajian tinggi kelak. Sekiranya alat berteknologi tinggi yang diperlukan tidak terdapat di sekolah, guru pembimbing perlu menjalankan kerjasama dengan pensyarah dan penyelidik di universiti atau agensi yang berkaitan bagi menggunakan peralatan tersebut selain mendapatkan khidmat nasihat terhadap bidang penyelidikan murid.

Hasil kajian penyelidikan yang telah dijalankan perlulah direkod, diproses dan dianalisis dengan teliti agar hasil kajian ini dapat dibentangkan kepada para penyelidik yang lain. Dapatan daripada hasil penyelidikan murid ini boleh dibentangkan oleh murid sendiri di persidangan-persidangan penyelidikan peringkat kebangsaan mahupun antarabangsa. Pembentangan hasil penyelidikan di persidangan-persidangan ini sudah pasti dapat menambah baik lagi kemahiran komunikasi pelajar meningkatkan keyakinan diri sekaligus memberi peluang kepada pelajar bertukar-tukar pendapat dengan penyelidik-penyelidik yang lain yang pakar dalam bidang tertentu. Ini sekaligus membentuk murid yang berkeyakinan menyampaikan pandangan berdasarkan penyelidikan saintifik. Hasil penyelidikan yang dilaksanakan oleh murid juga boleh didokumentasikan dalam bentuk artikel dan diterbitkan dalam jurnal penyelidikan. Hasil penyelidikan murid yang berjaya menghasilkan produk-produk tertentu boleh diketengahkan semasa pertandingan-pertandingan rekacipta dan inovasi yang sering dianjurkan oleh universiti-universiti tempatan dan antarabangsa. Ulasan dan cadangan daripada panel-panel penilai dapat membantu menambah baik lagi produk penyelidikan yang dihasilkan. Ini sekaligus membawa murid merasai sendiri dunia penyelidikan dan inovasi.

Kesimpulannya, dalam melahirkan masyarakat yang kreatif, kritis dan inovatif untuk mencapai status negara maju, usaha memupuk minat terhadap penyelidikan wajar dimulakan dari peringkat sekolah lagi. Pendedahan awal mengenai penyelidikan wajar dilakukan kepada murid agar ia dapat membantu mereka mengekspresikan pemikiran dan pada masa yang sama membentuk minda yang kreatif dan inovatif. Ini sekaligus melahirkan masyarakat yang gemar meneroka dan menyelesaikan masalah secara kreatif. Implementasi subjek penyelidikan di peringkat sekolah menengah sewajarnya dilakukan sekaligus dapat mengelakkan rasa kekok murid untuk menjalankan penyelidikan apabila berada di universiti kelak.