Prof. Madya Dr. Khairul Anuar Mohamad
Prof. Madya Dr. Khairul Anuar MohamadFakulti Pengajian Quran dan Sunnah

Seluruh umat Islam kini sedang berjihad menahan lapar dan dahaga serta berlumba-lumba menjalankan amal ibadah untuk merebut ganjaran yang telah dijanjikan oleh Allah swt. Diharapkan sambutan Ramadan kali ini lebih bermakna dari tahun lepas. Persediaan rohani dan fizikal perlu mantap dalam menjalani bulan yang amat disukai oleh Baginda saw.

Nabi Muhammad saw berkhutbah pada akhir Sya’aban dengan bersabda “Telah datang kepada kamu Ramadan, bulan yang dipenuhi keberkatan. Allah swt mewajibkan puasa, pintu syurga dibuka dan pintu neraka ditutup, syaitan dibelenggu. Padanya satu malam yang terlebih baik dari seribu bulan dan sesiapa yang diharamkan kebaikanya sesungguhnya ia telah diharamkan.” (Riwayat Nasaie)

Golongan terdahulu amat gembira dengan kedatangan Ramadan sehingga mereka memberi ucapan marhaban ya Ramadan atau selamat datang ya Ramadan. Ucapan yang diucap kepada tetamu yang terhormat. Ucapan ini amat sesuai kerana kewajipan puasa dalam bulan Ramadan adalah satu rukun dari rukun Islam yang kelima.

Ibn Rajab al-Hanbali menyatakan bagaimana seorang mukmin tidak gembira dengan terbukanya pintu syurga dan tidak gembira dengan tertutupnya pintu neraka? Dan bagaimana orang berakal tidak gembira dengan terbelenggunya syaitan?

Dalam memahami maksud terbuka pintu syurga dan tertutup pintu neraka dalam bulan Ramadan perlu kepada tafsiran ulamak. Imam Sya’rawi menyatakan ia bukan seperti kamu membuka pintu rumah dan menutupnya. Maksudnya ialah banyak amalan ketaatan pada bulan Ramadan yang terbuka kepada pelakunya pintu syurga.

Ibadat puasa bulan Ramadan mendekatkan hamba untuk melakukan kebaikan, membaca al-Quran, bersedekah, menjauhkan perkara maksiat dan dosa. Ketaatan inilah yang membuka pintu syurga. Maksud tertutup pintu neraka ialah orang yang berpuasa tidak melakukan perkara yang dimurkai Allah dan menjauhinya. Setiap kali menjauhi maksiat maka pintu neraka tertutup untuknya.

Sebahagian ulamak juga menafsirkan bahawa terbuka pintu syurga pada bulan Ramadan ialah kepada mereka yang berpuasa yang melakukan ibadat puasa dengan sempurna dan sebaik mungkin. Inilah yang mewajib mereka masuk ke syurga dengan sebab puasa. Dan pintu neraka tertutup kepada yang berpuasa dengan sebab ikhlas yang ada dalam diri mereka.

Syaitan terbelenggu adalah dengan maksud pintu-pintu syahwat dalam diri yang melakukan ibadat puasa ini tertutup. Kita melihat terdapat juga perkara maksiat dalam bulan Ramadan kerana punca maksiat adalah nafsu yang terdapat dalam diri manusia. Syaitan dibelenggu tetapi nafsu jahat masih ada. Justeru, perlu menjaga nafsu jahat dan kekang dari melakukan maksiat.

Yahya Ibn Kathir berdoa kepada Allah untuk Ramadan dengan berkata: “Ya Allah kurniakan sihat dan sejahtera kepada kami sehingga berjumpa Ramadan, kurniakan Ramadan untuk kami dan terimalah segala ibadat kami dalam bulan Ramadan”.

Jalani dan amalkan sebaiknya ilmu berkaitan puasa yang ditawarkan dalam bulan Ramadan. Di waktu yang sama jauhkan diri dari perkara yang dilarang Allah swt dan mengurangkan pahala. Semoga Ramadan 1440 Hijrah ini lebih bermakna buat kita.