Prof. Madya Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Prof. Madya Dr. Nurkhamimi ZainuddinDekan Fakulti Pengajian Bahasa Utama

Tanggal 5 Oktober diumumkan sebagai Hari Akademia Malaysia bagi menghargai sumbangan kumpulan akademia dan tenaga pengajar di semua institusi pendidikan di Malaysia.

Umum mengetahui bahawa universiti bertindak sebagai institusi penyumbang dan pengukuh kesatuan dalam masyarakat. Ahli akademik telah sekian lama menggembeling tenaga bersama masyarakat bagi memastikan kelangsungan agenda negara dalam pelbagai dimensi kehidupan sehingga terbentuk sebuah peradaban.

Inilah apa yang dikatakan sebagai kecemerlangan yang dibentuk dari Tarbiah Ruhiyyah. Tarbiah Ruhiyyah merupakan elemen yang sangat penting untuk diterapkan dalam dunia akademia. Dengan Tarbiyah Ruhiyyah ini, ahli akademik akan merasakan dirinya kerdil dan lemah, serta merasakan penghambaan kepada Allah tuhan sekalian alam. Jiwa yang kuat dapat mengawal segala tingkah laku kita dan merasakan segala yang dikerjakan adalah untuk menegakkan agama Allah dan meneladani masyarakat.

Warga akademia bertanggungjawab bukan sekadar melahirkan mudarris (pendidik), tetapi juga sebagai mua’llim (penyampai yang benar) kepada masyarakat, murabbi (pengasuh dan pendidik dengan kasih sayang), muaddib (pembentuk adab dan akhlak), dan sebagai mursyid (pembimbing ke arah kebenaran).

Ahli akademik juga mestilah pandai bergaul dan bijak menyantuni ‘orang di luar pagar universiti’. Apabila terjun dalam hidup bermasyarakat maka lebih besarlah impak yang boleh diwujudkan dalam masyarakat tersebut. Mereka ini ialah orang yang paling hampir dengan kita seperti jiran tetangga. Bergaullah dengan mesra, hidupkan suasana keikhlasan dalam pergaulan tersebut.

Lihatlah tokoh-tokoh ulama nusantara seperti HAMKA, Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Tok Kenali dan ramai lagi, yang telah mencurahkan bakti dalam menyampaikan ilmu dan bergiat aktif dalam masyarakat. Kesinambungan usaha mereka itu sewajarnya diteruskan oleh generasi akademia masa kini.

Budaya mewujudkan hubungan timbal balik ilmu perlu berlaku antara akademia dan masyarakat. Ini bermaksud penggalian ilmu juga boleh didapati melalui perkongsian daripada ahli masyarakat setempat.

Marilah kita melakukan muafakat antara warga akademia dan masyarakat, berkongsi keberkatan dan kebaikan sebagaimana sabda Rasulullah SAW:

Orang yang berilmu dan penuntut ilmu agama itu bersama-sama dalam mendapat pahala. Dan orang yang lain selain dari mereka berdua sudah tidak ada apa-apa kebaikannnya. (Riwayat Ibnu Majah)

Kini dunia akademia semakin meriah dengan wujudnya projek-projek Penyelidikan Translasional yang menghasilkan solusi yang memberi impak kepada kerajaan, komuniti, industri dan akademia. Sebagai contoh banyak usaha-usaha yang digarap bagi membolehkan masyarakat mendekati al-Quran serta mendalami maksud isi kandungan yang dibawakan oleh kitab suci ini. Ingatlah bahawa Allah SWT telah berfirman dalam Surah al-Qamar ayat 22:

Dan demi sesungguhnya! Kami telah mudahkan al-Quran untuk menjadi peringatan dan pengajaran, maka adakah sesiapa yang mahu mengambil peringatan dan pelajaran (daripadanya)?

Akhirnya buat warga akademia, teruslah istiqamah dengan penuh keikhlasan dan kesabaran dalam menyampaikan ilmu dan hikmah kepada anak bangsa. Mudah-mudahan akan diberi ganjaran oleh Allah SWT. Firman Allah dalam surah al-Jumu’ah ayat 2:

Dialah yang mengutus kepada kaum yang buta huruf seorang Rasul di antara mereka, yang membacakan ayat-ayat-Nya kepada mereka, mensucikan mereka dan mengajarkan mereka Kitab dan Hikmah (As Sunnah). Dan sesungguhnya mereka sebelumnya benar-benar dalam kesesatan yang nyata.