Teori Kod Jawi  oleh Institut Tahfiz Al Quran lil Muttaqin dan Dr Nurul Syala Abdul Latip (USIM)
Terdapat kolerasi di antara susunan huruf jawi dengan susunan surah di dalam Al-Quran dan setiap huruf jawi mempunyai makna khusus berdasarkan kesimpulan setiap surah. Dan fenomena ini piawai untuk semua sebutan perkataan yang dibunyikan di dalam Bahasa Melayu.

Kod jawi mempunyai 6 kelebihan utama iaitu:
1. Mewujudkan satu kaedah piawai membentuk kata dan istilah
2. Mengenalpasti ketepatan ejaan dan ciri-ciri
3. Mengenalpasti kesesuaian penggunaan istilah
4. Menjelaskan fungsi/makna perkataan
5. Membuka dimensi baru dalam bidang teknologi
6. Medium pengembangan ilmu

Sifir Kod Jawi
Teori Kod Jawi ini dimudahkan dalam bentuk ‘sifir’. Contoh sebahagian dari Sifir Kod Jawi:

Metodologi
Metodologi kualitatif dengan pendekatan Grounded Theory

Penghasilan Teori Kod Jawi adalah melalui proses pengumpulan data dan analisis data yang dijalankan secara bergilir-gilir dan berterusan selama 15 tahun oleh pengkaji dari Institut Tahfiz Al-Quran lil Muttaqin. Penyusunan huruf disusun selari dengan susunan surah dan analisis kandungan setiap surah dijalankan sehingga mendapat kesimpulan yang dikodkan untuk menjelaskan makna kesimpulan surah. Constant comparison dibuat pada setiap makna dengan uji cuba aplikasinya pada pelbagai perkataan Melayu. Dan mereka hadir ke pertemuan dengan pakar di universiti untuk melalui proses confirmatibility dengan maksud perkataan dari sudut tafsir Al-Quran dan ia tidak bercanggah malah dapat memberi nilai tambah. Kita juga menilai ia mempunyai tahap auditability and internal consistency pada setiap huruf. Malah penggunaan kod jawi ini boleh digeneralisasikan dan ada ciri-ciri transferability dan transformasi apabila ia boleh digunakan untuk membentuk istilah baru. Hasilnya juga bersesuaian dengan masyarakat dan boleh difahami buat masa ini peringkat falsafah. Insya Allah satu hari, dengan kerjasama semua pihak ia akan dapat sampai kepada peringkat pelajar-pelajar sekolah.

Falsafah Al-Quran Dr Muhammad Widus Sempo (USIM)
Kod Jawi yang dibangunkan oleh Instaqlim adalah didasarkan kepada kefahaman terhadap maqasid al-Quran, inti pati di sebalik perbincangan isi kandungan setiap surah. Menurut al-Alūsi dalam tafsirnya (1415 H: 15/485), Maqasid besar (matlamat utama) di sebalik penurunan al-Quran adalah untuk menjelaskan perkara tauhid, hukum syariat dan perkara-perkara ghaib yang berlaku di akhirat. Manakala Saʽīd al-Nūrsi dalam Rasail Nur (2002: 23) berpandangan bahawa maqasid utama di sebalik penurunan al-Quran adalah untuk menjelaskan perkara tauhid, kenabian, hari kebangkitan di akhirat dan keadilan. Terdapat banyak pandangan ulama mengenai matlamat utama di sebalik penurunan al-Quran berdasarkan ijtihad masing-masing.

Demikian pula halnya dengan surah-surah al-Quran. Setiap surah mengandungi maqasid utama. Untuk mengetahui maqasid utama setiap surah diperlukan tadabbur dan kefahaman secara menyeluruh terhadap tajuk-tajuk perbincangan yang terkandung dalam setiap surah (Khālid bin Uthmān, 2016: 21). Oleh itu, ulama turut berbeza pandangan dalam menyatakan kefahaman mereka tentang maqasid utama setiap surah. Sebagai contoh, maqasid utama surah An-Nisa’. Menurut pandangan Prof. Dr Ibrāhīim Khalīfah (t.th.), surah ini mempunyai banyak maqasid, tetapi maqasid yang paling utama yang merangkumi semua maqasid yang lain adalah perbincangan mengenai keadilan. Semua ayat surah An-Nisa’ dapat dikaitkan dengan keadilan. Manakala pihak Instaqlim pula merumuskan bahawa maqasid utama surah An-Nisa adalah berkaitan dengan hubungan yang dikodkan dalam Jawi dengan kod (ث). Ringkasnya, kefahaman maqasid utama atau matlamat asas setiap surah adalah pelbagai tertakluk kepada ijtihad masing-masing. Oleh itu, usaha pihak Instaqlim untuk mengaitkan Kod Jawi dengan al-Quran melalui kefahaman mengenai maqasid utama setiap surah sepatutnya diraikan dan diberikan peluang untuk mengembalikan semula kegemilangan tulisan Jawi dan perkataan Jawi kepada fitrah asalnya yang sememangnya dekat dengan al-Quran.

Falsafah Bahasa oleh En Noor Azam Abdul Rahman (Uniten)
Kod Jawi telah dibangunkan sebagai satu sistem permaknaan bahasa Melayu berasaskan tulisan Jawi dan susunan kedudukan surah2 dalam kitab Al-Quran. Tulisan Jawi secara asasnya berasal daripada huruf-huruf Arab yang telah disesuaikan dengan sebutan (lidah) masyarakat tempatan (Melayu). Faktor penyebaran agama Islam di Tanah Melayu dan Nusantara telah memaksa pendakwah-pendakwah Islam menggunakan satu sistem tulisan yang berasaskan huruf Arab sebagai kaitan langsung dengan agama Islam.

Menurut Hashim Haji Musa, (1999) Sejarah perkembangan tulisan jawi/Hashim Haji Musa. Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur. Tulisan Jawi berasal daripada tulisan Arab yang tiba ke Kepulauan Melayu bersama-sama dengan kedatangan agama Islam. Tulisan Jawi dicipta oleh orang Melayu dengan berasaskan huruf Arab, untuk mengeja bahasa Melayu yang dijadikan sebagai bahasa agama Islam walaupun sebelum ini bahasa Melayu sudah mempunyai ejaan Kawi. Ini adalah kerana tulisan Jawi lebih serasi untuk melambangkan bunyi istilah-istilah agama Islam yang kebanyakannya bersumberkan al-Qur’an dan al-Hadith yang wajib disebut secara betul supaya tidak berlaku perubahan bunyi yang mudah terjadi jika dieja dalam tulisan Rumi dan dapat menjejas keimanan.

Definisi Bahasa
G. Trager (1949) – Bahasa ialah satu sistem lambang vokal yang arbitrari dan bermakna yang digunakan oleh anggota masyarakat untuk berhubung sebagai satu cara mereka bersosialisasi.
Noam Chomsky (1957) – Bahasa ialah set ayat, sama ada terbatas atau tidak dan setiap ayat yang terbatas panjangnya dibina oleh satu set elemen yang terbatas juga.
R.A.Hall(1964) – Bahasa merupakan institusi yang membolehkan manusia berkomunikasi dan berhubung antara satu sama lain yang mengandungi makna dan menggunakan lambang-lambang arbitrari lisan-pendengaran.
DBP – sistem lambang bunyi suara yg digunakan sbg alat perhubungan dlm sesuatu kelompok manusia utk melahirkan perasaan dan fikiran.

Daripada beberapa petikan definisi bahasa tadi dapat disimpulkan beberapa kata kunci yang boleh dikaitkan dengan Kod Jawi. Bahasa bersifat arbitrari (sewenangnya; setiap kita bebas untuk memberi maksud terhadap sesuatu unsur bunyi yg diberi dengan syarat dapat diterima umum sbg makna tersebut). Kod Jawi dijelaskan makna berdasarkan falsafah dan penerangan makna berasaskan susunan surah dalam al-Quran. Jika umumnya sepakat untuk menerima sistem tersebut dengan makna yg ditetapkan maka Kod Jawi telah menepati definisi bahasa. Kod Jawi adalah satu sistem bahasa yang disesuaikan dengan bahasa Melayu.

Falsafah Sains oleh Prof Dr Norita Md Nawawi (USIM)
Topik ini memfokuskan kepada 3 perkara iaitu sejarah tulisan Jawi dalam membentuk tamaddun Alam Melayu yang hebat satu ketika dulu, falsafah sains berkaitan kod Jawi dan apakah sifir untuk mengeja dalam tulisan Jawi ? Kedatangan Islam ke tanah Alam Melayu menjadi titik tolak bermulanya tulisan Jawi dengan susur galurnya dari huruf Hijaiyah bahasa Arab dan Al-Quran yang diwahyukan kepada Rasulullah SAW. Dari tulisan Jawi, terhasil penulisan Kitab-kitab Jawi yang melahirkan satu budaya ilmu. Pemikiran Alam Melayu Islam terbentuk dari sistem pendidikan pondok yang ada kuasa autonomi mempelopori pendemokrasian ilmu dengan membuka peluang pendidikan kepada sesiapa yang berminat. Budaya Ilmu Alam Melayu Islam ini berkembang ke peringkat antarabangsa seperti India,Turki, Timur Tengah membentuk sebuah peradaban Tamadun Alam Melayu yang tersohor. Maka tulisan Jawi diangkat martabatnya sebagai bahasa Ilmu yang mampu membentuk sebuah tamadun gemilang di rantau Nusantara.

Namun , peranan tulisan Jawi dalam budaya Ilmu semakin terhakis dalam suasana penddikan moden. Jika dilihat dari sudut falsafahnya dalam budaya ilmu Alam Melayu , sumber wahyu diangkat kepada martabat yang tertinggi dibandingkan dalam budaya moden masa kini. Malahan dari sudut nilai kehidupan dalam Alam Melayu adalah bersendikan adat, adat adalah bersendikan syarak. Tujuan kehidupan juga berfokuskan kepada menggapai keredhaan Allah dimana dunia adalah jambatan kebahagiaan hakiki di akhirat yang abadi. Falsafah yang meletakkan syarak sebagai autoriti tertinggi yang telah digariskan oleh Maha Pecipta ini dipasakkan dalam budaya ilmu Alam Melayu Islam. Ini berbeza dengan budaya moden yang mengenepikan Tuhan, Ketuhanan dan Syarak dan hasilnya kedudukan tulisan Jawi turut terheret dan dikesampingkan kepentingannya dan dilihat hanya aspek estetik kesenian Melayu sahaja. Tulisan Jawi mempunyai kekuatan asal usul dari bahasa Arab Al-Quran yang menekankan sistem nahu yang kemas berserta sistem makhraj yang menekankan bunyi huruf yang sempurna dan tepat.

Maka, tulisan Jawi harus diangkat semula martabatnya sebagai bahasa ilmu dalam Alam Melayu agar khazanah ilmu Alam Melayu Islam digali semula agar mengembalikan kecemerlangan tamadun alam Nusantara. Namun , antara isu asas yang ditimbulkan apakah sifir sistem ejaan bahasa Melayu dalam tulisan Jawi. Contohnya makan- ماكن , makna- معنى, mak- مق kelihatannya tidak jelas piawaian pada ejaan sebagai panduan. Jika kod Morse, Braille, bahasa isyarat serta Unicode aksara komputer adalah perwakilan untuk satu huruf, maka kod Jawi diperkenalkan sebagai satu perwakilan huruf dengan semantik berasaskan al-Quran yang ada potensi untuk mengayakan perbendaharaan bahasa Melayu.

Penulis :

1) Falsafah sains:
Prof Dr Norita Md Nawawi (USIM)
2) Teori Kod Jawi:
Institut Tahfiz Al Quran lil Muttaqin dan Dr Nurul Syala Abdul Latip(Usim)
3) Kod jawi dan Al Quran:
Dr Muhammad Widus Sempo (Usim)
4) Kod Jawi dan Bahasa Melayu:
En Noor Azam Abdul Rahman (Uniten)