Cik Zati Nazifah Abdul Rahim
Cik Zati Nazifah Abdul RahimSarjana Muda Pengajian dan Teknologi Maklumat dengan Kepujian (Tahun 3) Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah (FPQS)

‘Pembelajaran dan pengajaran berteraskan ilmu naqli dan aqli’ serta ‘penyelidikan dan inovasi yang relevan kepada industri dan kesejahteraan ummah’ merupakan dua teras utama yang memacu kecemerlangan berterusan universiti. Dari kaca mata seorang mahasiswa, hal ini dilihat bertepatan dengan tema ‘Tradisi dipelihara, inovasi membara’ berdasarkan kepentingan bagi setiap mahasiswa memelihara tradisi islamik USIM dalam mengintegrasikan ilmu aqli dan naqli sekaligus meneruskan usaha-usaha penyelidikan dan inovasi pelajar untuk terus ditonjolkan hingga ke peringkat antarabangsa. Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, tradisi merupakan sesuatu kebiasaan, adat, atau kepercayaan yang kekal turun-temurun, sesuatu yang sudah menjadi amalan dan sudah sebati dengan sesuatu masyarakat, golongan atau kumpulan. Sebagaimana yang sedia maklum, setiap universiti mempunyai ‘trademark’ yang tersendiri yang memberi imej kepada institusi masing-masing. Bagi mengekalkan ‘imej’ tersebut, maka lahirlah sebuah konsep yang tanpa disedari menjadi tradisi yang diamalkan oleh seluruh warga unversiti. Manakala inovasi pula bermaksud, ‘sesuatu yang baru diperkenalkan seperti kaedah, sistem, atau adat yang baru ataupun, perihal dan tindakan mengadakan atau memulakan sesuatu yang baru’, (Kamus Dewan Edisi Keempat). Usaha untuk terus berinovasi inilah yang perlu diselarikan dengan pemeliharaan tradisi oleh setiap mahasiswa.

Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad yang baru-baru ini diberi kepercayaan oleh YB Dato’ Seri Idris Jusoh, Menteri Pendidikan Tinggi untuk terus menerajui tampuk kepimpinan USIM bagi tempoh dua tahun lagi ada menyatakan bahawa, dalam meneruskan kesinambungan segala perancangan yang telah dibuat, menjadi keutamaannya untuk terus menjayakan gagasan besar universiti iaitu USIM Kampus Barakah yang pastinya memerlukan kepada sinergi dan komitmen seluruh warga USIM untuk menjadi kenyataan disamping memantapkan lagi struktur agenda integrasi ilmu Naqli dan Aqli yang menjadi teras universiti. Kata-kata beliau ini jelas mencerminkan kepentingan memelihara konsep utama USIM dalam usaha memajukan pembangunan institusi ini. Pada peringkat mahasiswa pula, usaha untuk melonjakkan nama universiti terutamanya dalam bidang inovasi ke peringkat dunia harus digalas bersama-sama.  Beberapa pertandingan berkonsepkan inovasi yang dianjurkan oleh USIM merupakan peluang keemasan bagi pelajar menonjolkan kepakaran masing-masing seperti pertandinga i-INOVA dan i-REKA. Kehebatan mahasiswa dalam bidang ini jelas terbukti dengan pelbagai anugerah yang telah dirangkul samada di peringkat universiti, kebangsaan, mahupun antarabangsa.

“Kampus Barakah: Integrasi Ilmu Naqli Aqli” merupakan salah satu Majlis Wacana Ilmu yang telah dianjurkan bagi berkongsi idea dan membincangkan perihal yang berkaitan dengan agenda besar ini. Diskusi yang telah membariskan panel pengurusan dan pelajar Universiti Sains Islam Malaysia ini telah turut sama membincangkan usaha-usaha untuk merealisasikan matlamat USIM yang dilihat selari dengan Falsafah Pendidikan Negara yang menekankan bahawa pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan merupakan perkara penting dalam mencorakkan kehidupan mahasiswa. Dari sudut pandang mahasiswa pula, saudara Irfan Faruqi Mohamad Fairus, Naib YDP 3 MPP USIM memberi pandangan beliau bahawa pendemokrasian ilmu tidak akan berlaku sekiranya tidak ada kerjasama, pembinaan karakter, sifat holistik, dan keseimbangan. Melalui sudut yang lain, tradisi islamik USIM membawa seribu satu kebaikan hingga mampu melahirkan gagasan hebat seperti Kampus Barakah.

Disamping itu, hal ini penting dalam melahirkan mahasiswa yang berilmu pengetahuan, berketrampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara. Konsep keperibadian unggul adalah satu elemen penting yang perlu ada pada diri mahasiswa dalam mengurus kecemerlangan. Lantaran itu, mahasiswa harus menyematkan di sanubari bahawa segala label-label negatif seperti mahasiswa lesu, bisu, longlai dan sebagainya hanya dapat ditangani dengan tindakan yang positif, proaktif dan progresif. Penghayatan bahawa mahasiswa tidak mampu bergerak mara ke hadapan dengan berbekalkan idealisme dan semangat semata-mata tanpa kesedaran serta usaha-usaha untuk menguasai ilmu dan kemahiran harus disematkan bagi direalisasikan dalam arus perdana dunia. Perjuangan golongan terpelajar untuk melakukan anjakan paradigma berterusan memerlukan kekuatan yang boleh diterjemahkan dalam bentuk penguasaan ilmu dan usaha-usaha melahirkan cerdik pandai yang terbilang. Justeru, keseimbangan antara pemeliharaan tradisi dalam mengekalkan imej USIM sebagai sebuah institusi berkonsepkan Islam, dengan usaha untuk terus menjana inovasi dalam kalangan warga USIM merupakan titik tolak dalam menerajui hala tuju Universiti Sains Islam Malaysia bagi tahun-tahun yang mendatang.

Penulis merupakan pemenang pertandingan Penulisan Esei Kualiti (Kategori Pelajar) bersempena Sambutan Hari Kualiti dan Inovasi USIM 2017 anjuran Pusat Perancangan Korporat & Pengurusan Kualiti bertemakan Tradisi Dipelihara Inovasi Membara.