Dr Fauziah Hassan
Dr Fauziah HassanTimbalan Ketua Jabatan Pemasaran dan Kemasukan Pelajar (JPKP)

Mewujudkan kesamarataan, kepelbagaian dan inklusif (Equality, Diversity and Inclusive) menjadi satu tugas baharu yang perlu digalas sebagai sebuah Institusi Pendidikan dengan antaranya menyediakan program pengajian formal mahupun yang bukan formal (menerusi pengajian sepanjang hayat) kepada semua lapisan masyarakat. Dalam meraikan kepelbagaian kehendak, idea, memberi hak kesamarataan, dan memenuhi keperluan semua, era kepemimpinan kerajaan yang baharu ini, banyak menjelmakan pelbagai inisiatif khusus untuk menambah baik fungsi dan peranan sesebuah Universiti. Antaranya adalah usaha menyediakan ruang dan tempat kepada golongan yang kurang upaya untuk turut sama mendapat faedah dan kemudahan, peluang menyambung pengajian, meningkatkan potensi diri dalam bidang sukan, kemahiran sosial dan sebagainya yang bertujuan memberikan kesejahteraan kepada mereka dalam membina masa hadapan yang lebih baik dan terjamin.

Penubuhan Dasar Inklusif yang memfokuskan kepada golongan sasar iaitu Orang Kelainan Upaya (OKU) disambut baik oleh semua pengurusan IPT. Rata-rata setiap Universiti Awam telah menyediakan dan berusaha untuk memberi kemudahan yang terbaik kepada golongan OKU untuk menyambung pengajian di peringkat tertinggi. Mengambil contoh, di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) juga adalah antara Universiti yang cakna dengan golongan OKU. Seperti contoh prasarana kemudahan di kampus, Kolej Kediaman, kemudahan pengangkutan, rawatan kesihatan, kaunseling dan laluan di persekitaran USIM menjadikan USIM sebagai salah satu Universiti yang mesra OKU. Selain itu, USIM juga sudah menubuhkan Unit Pelajar Kurang Upaya dan JK Penyelarasan Warga Kurang Upaya untuk memantau dan menjaga kebajikan warga USIM yang kurang upaya termasuk staf.

Apa yang menariknya, selain daripada kemudahan asas yang disediakan, USIM juga sebenarnya telah lama berjuang dalam mempertahankan hak dan kebajikan golongan OKU melalui penubuhkan Pusat Penyelidikan Ibnu Ummi Maktum (UMMI) di bawah Fakulti Pengajian Quran Sunnah (FPQS) yang menjadi hab kepada Pendidikan OKU. Selain itu, pusat penyelidikan ini juga menghasil dan mengumpulkan penerbitan dan bahan-bahan pengajian Islam yang berkaitan OKU serta melatih sukarelawan dakwah OKU dalam kalangan mahasiswa. UMMI juga telah menghasilkan beberapa produk seperti Visual Impairment tactile Audio Book (ViTAB) Solat, i-Sign Ibadah, Aplikasi Android Quran Isyarat, Pembelajaran Maya Hijaiyyah versi Braille (eBraille Hijaiyyah) dan sebagainya.

Ternyata gelombang penyelidikan dan inovasi dalam pembelajaran yang diterajui oleh UMMI telah membuahkan hasil apabila dinobatkan sebagai Johan dalam kategori Anugerah Pengalaman Pembelajaran Imersif (Bersemuka) untuk inovasi ’Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran & Sunnah’, di Majlis Anugerah Rekabentuk Kurikulum dan Penyampaian Inovatif Tahun 2019 (AKRI 2019) anjuran Kementerian Pendidikan Malaysia. Anugerah berprestij ini mengukur sejauh mana sesebuah IPT dan para pensyarahnya bersedia menghadapi cabaran-cabaran dalam pendidikan tinggi termasuk cabaran menghadapi Revolusi Perindustrian Keempat. Perubahan di dalam arus pendidikan perlu dititik berat kerana untuk kekal relevan, perubahan yang turut merangkumi aspek-aspek ruang pembelajaran, kurikulum yang lebih organik dan penggunaan aplikasi terkini dalam proses Pengajaran dan Pembelajaran (P&P) adalah sangat penting kepada proses pembelajaran yang menyeluruh.

Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah juga menyediakan Makmal Braille khusus kepada semua pelajar yang mengambil Kursus Aplikasi Braille dalam Pengajian Quran dan Sunnah sejak 2008 bagi memenuhi kelompangan guru-guru agama yang tidak mempunyai kemahiran mengajar al-Quran berbantukan al-Quran Braille. Kursus ini adalah merupakan kursus yang pertama seumpamanya bagi Universiti Awam di Malaysia, di mana pelajar dan bakal pelajar didedahkan dengan isu berkaitan pengajaran Al-quran Braille di peringkat Ijazah Sarjana Muda. Dengan kemudahan yang disediakan ini dilihat UMMI bertepatan untuk memberi kesedaran kepada komuniti dan masyarakat khususnya mereka yang mempunyai autoriti dalam pembinaan dasar dan perlembagaan negara tentang pentingnya pembangunan dalam komuniti OKU.

Hakikatnya, dasar inklusif ini membantu USIM dan UA yang lain untuk memupuk kesedaran dan membina adab sesama manusia agar menghormati golongan yang lain. Apa yang penting, dengan memberi peluang yang sama kepada golongan OKU akan menjadikan ruang untuk golongan ini menyampaikan hasrat dan menuntut hak dapat disalurkan dengan benar dan tepat setelah bergelar mahasiswa. Sebaiknya, golongan OKU juga dalam masa yang sama perlu menggunakan peluang ini untuk meningkatkan potensi diri dalam membina masa hadapan yang baik di kemudian hari sekaligus mengangkat martabat golongan OKU ke arah yang lebih baik atau menyambung pengajian di peringkat yang lebih tinggi di luar negara.

Agenda dalam menyediakan peluang pendidikan kepada semua perlu mendapat perhatian dan sokongan pelbagai pihak. Justeru, para pemikir, sarjana, akademik perlu membuat pemetaan yang bersifat sempurna menelusuri cabaran peringkat tempatan dan global yang menumpukan kepada semua lapisan masyarakat. Ini kerana, Universiti mungkin menjadi sesuatu yang biasa kepada golongan atau kelompok yang normal namun ia menjadi agak kritikal kepada mereka yang kurang upaya terutama dalam pembinaan identiti dan untuk menempatkan diri mereka ke dalam pasaran dan industri di masa hadapan. Kumpulan OKU ini sebenarnya memberi refleksi kepada beberapa aspek seperti pembelajaran, pengajaran, penilaian, pengalaman pekerjaan dan impak kepada pembinaan identiti mereka tersendiri. Dalam hal ini, pentingnya untuk melihat dari sudut konteks sosial melalui pengalaman mereka sebagai golongan OKU.

Oleh itu, antara cabaran yang perlu dihadapi ialah bagaimana menempatkan pelajar OKU dengan melibatkan mereka dalam pelbagai aspek dan meneroka lebih banyak ruang dan peluang untuk perkembangan potensi diri di Universiti kerana menangani ketidakupayaan atau kecacatan fizikal mereka adalah satu perkara yang lain. Apa yang lebih penting dalam membantu mereka mencipta masa hadapan, jangan ada lagi berlaku perbezaan dalam proses penerimaan terhadap kumpulan ini kerana masih ada lagi sekumpulan masyarakat yang mengekalkan stigma negatif kepada golongan OKU.