Dr. Nurkhamimi Zainuddin
Dr. Nurkhamimi ZainuddinTimbalan Pengarah Goal Itqan

Sedar atau tidak, Ramadan semakin meninggalkan kita. Ini menandakan bahawa bulan Syawal yang sinonim dengan Aidilfitri datang bertandang lagi. Pada waktu ini pusat-pusat tumpuan untuk membeli-belah pasti dikerumuni dengan pengunjung yang ingin membeli pakaian baharu serta kuih raya. Jalan-jalan sekitar bandaraya pula pasti sesak dengan jumlah kenderaan yang banyak.

Sudah menjadi kelaziman, kita akan berpusu-pusu ke pusat-pusat membeli-belah dan juga tapak-tapak yang menjual kelengkapan untuk Aidilfitri. Para peniaga juga mula menggunakan pelbagai cara untuk menarik pelanggan datang ke kedai mereka. Namun kita tidak sedar dari sisi lain ia juga satu ujian di bulan Ramadan. Jika kita kurang bijak mengatur langkah, pasti ia akan mengundang bencana dek kerana kita telah berbelanja lebih dari sepatutnya.

Harga barangan menjelang musim perayaan biasanya melambung tinggi. Jadi, amatlah penting untuk kita membuat persediaan dan pengiraan awal. Seelok-eloknya, rancang lokasi untuk membeli-belah. Kemudian, simpan rekod perbelanjaan untuk merancang perbelanjaan akan datang.

Utama keperluan
Di samping itu, kita juga perlu bijak menentukan sama ada kelengkapan yang hendak dibeli adalah ‘keperluan’ atau ‘kehendak’. Langkah terbaik, utamakan barangan yang tersenarai dalam ‘keperluan’ dahulu. Pastikan kita menyenaraikan barangan yang diperlukan dan bawa duit mengikut anggaran nilai barangan tersenarai. Bimbang nanti diri gagal menahan nafsu untuk menghabiskan kesemua duit yang dibawa berlebihan.

Ramai di kalangan kita hari ini begitu asyik dengan persiapan menyambut Syawal dengan pembelian perabot yang baru serta langsir yang baru, semata-mata untuk menggantikan yang lama dan sebagainya. Bahkan lebih memburukkan lagi jika ada unsur menunjuk-nunjuk. Ia jelas bertentangan dengan roh Ramadan.

Rancang perbelanjaan
Oleh itu, kita hendaklah merancang dan berbincang dahulu sebelum berbelanja. Tengok kemampuan kewangan kita. Jangan mudah terpedaya dengan orang lain dan iklan-iklan yang dipaparkan agar kita tidak terjerumus dengan bebanan hutang yang banyak.

Alangkah baiknya jika wang yang kita belanjakan kepada perkara-perkara yang tidak penting itu dihulurkan kepada yang lebih memerlukan. Bukankah tangan yang di atas (memberi) lebih baik daripada tangan yang di bawah (menerima).
Islam mengalakkan kita supaya bersederhana dalam semua perkara dan melarang berlebih-lebihan kerana ia adalah satu pembaziran. Islam juga tidak mengalakkan umatnya berhutang kerana ia boleh membawa kepada kepapaan.

Jika sebelum ini anda menyediakan 20 jenis kuih untuk menjamu tetamu yang bertandang ke rumah, apa kata kalau anda kurangkan kepada 10 jenis sahaja pada tahun ini. Satu lagi langkah terbaik, rancang rumah terbuka secara berkongsi bersama jiran tetangga. Melalui cara ini, amalan potluck adalah penyelesaian terbaik untuk mengelakkan daripada berbelanja lebih.

Justeru itu, berbelanjalah mengikut kemampuan dan keperluan. Elakkan pembaziran dan berhutang. Rancanglah bajet raya secara bijaksana agar kita tergolong di dalam orang-orang yang bersederhana, bukannya tergolong di dalam golongan orang-orang yang berlebih-lebihan.