Perlaksanaan Rancangan Pendidikan Tinggi Malaysia 2026–2035 (RPTM 2026–2035) melalui Rancangan Pendidikan Negara yang baru diluncurkan oleh YAB Perdana Menteri, Dato seri Anwar Ibrahim baru-baru ini akan menjadi satu anjakan besar dalam landskap pendidikan tinggi negara. RPTM 2026-2030 memperkukuh agenda pembangunan berteraskan gagasan Malaysia Madani yang menekankan elemen kemampanan, kesejahteraan daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan. Di USIM, pelan ini bukan dilihat sekadar dokumen perancangan sektor pendidikan semata-mata tetapi merupakan wahana strategik untuk membina ekosistem pendidikan berpaksikan kemanusiaan, beretika dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran global. Pelan ini menggariskan keperluan transformasi menyeluruh daripada sistem pendidikan sedia ada yang berorientasikan struktur semata-mata kepada ekosistem kolaboratif yang memupuk pembelajaran sepanjang hayat, inovasi berimpak dan kemampanan serta pembangunan bakat sebagai pembina negara bangsa. Justeru, peranan universiti bukan lagi sekadar platform penghasilan graduan, tetapi pemacu strategik kepada pembangunan sosioekonomi, kesejahteraan masyarakat dan daya saing global negara. Aspirasi ini sejajar dengan hala tuju kerangka Malaysia Madani yang meletakkan nilai, kesejahteraan dan kemakmuran bersama sebagai teras pembangunan negara mampan. Keperluan transformasi menyeluruh memerlukan kerjasama pelbagai pihak terutama institusi pendidikan tempatan untuk memastikan objektif RPTM 2026–2035 disambut baik oleh pihak pengurusan dan kumpulan pelaksana.
Sejajar dengan objektif yang direncanakan, USIM hari ini berada pada kedudukan bersedia sebagai peneraju dalam membina ekosistem pendidikan tinggi berteraskan nilai dan ilmu untuk melahirkan modal insan yang adaptif dan inklusif sebagai agen pembentuk masa depan. Ia akan menjadikan sistem pendidikan tinggi negara berkembang bagi memenuhi keperluan ekonomi, sosial, teknologi dan alam sekitar untuk mewujudkan impak pembelajaran sepanjang hayat. USIM memberi akses pendidikan berkualiti tinggi yang sama rata kepada semua individu tanpa mengira etnik atau latar belakang sosio ekonomi demi membuka laluan pendidikan yang adil, fleksibel dan mampu merealisasikan potensi dan bakat masing-masing.
Tambahan lagi, RPTM 2026–2035 menekankan kepentingan kualiti, kemampanan dan keterangkuman sebagai teras ekosistem pendidikan tinggi. USIM berhasrat mewujudkan satu sistem pendidikan tinggi yang bukan sahaja meraikan kepelbagaian malah secara aktif memupuk nilai, pengalaman dan aspirasi bersama dalam kalangan warga kampus. Hasrat ini menjadi wahana pembinaan perpaduan nasional, pembentukan jati diri dan penyemaian rasa hormat serta ihsan merentas perbezaan agar USIM dapat menyediakan platform berimpak untuk dialog ilmu, pertukaran idea dan pembangunan modal insan seimbang. Sebagai institusi pendidikan tinggi, USIM berperanan memacu transformasi pengajaran dan pembelajaran masa hadapan melalui pemerkasaan pedagogi inovatif, pembangunan kurikulum berteraskan industri dan masyarakat serta penerapan kemahiran siap siaga untuk mendepani cabaran akan datang. Evolusinya, akan mengurangkan kebergantungan kepada pihak luar dan hanya tertumpu kepada sumber tempatan.
USIM turut berada di landasan penting dalam menyusun kerangka untuk menterjemah aspirasi RPTM 2026–2035 secara terbuka berteraskan falsafah integrasi ilmu naqli dan aqli kerana USIM memiliki kekuatan untuk mengangkat agenda pembangunan bakat yang bukan sahaja berpengetahuan dan berkemahiran, tetapi juga berteraskan nilai, etika dan kesejahteraan holistik. RPTM 2026–2035 tidak seharusnya dilihat sekadar sebagai pematuhan kepada kerangka nasional, tetapi sebagai peluang strategik untuk memperkukuh peranan universiti dalam ekosistem pendidikan tinggi. Oleh itu, kejayaan RPTM 2026–2035 bergantung kepada kesediaan institusi pendidikan untuk bergerak melangkaui zon selesa dan membina sinergi merentas disiplin, sektor dan sempadan. Melalui integrasi ilmu naqli dan aqli, USIM memposisikan diri sebagai universiti yang membangunkan insan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi dan jasmani, sejajar dengan gagasan yang menekankan kemampanan, kesejahteraan, ihsan dan keyakinan sebagai asas rangkuman perlaksanaan sistem pendidikan tinggi Malaysia. Komitmen USIM dalam menyahut agenda ini mencerminkan iltizam universiti untuk menjadi peneraju pemikiran, pemangkin inovasi dan pembina bakat masa hadapan. Dengan menjadikan nilai kemanusiaan, kemampanan dan kesejahteraan sebagai teras pelaksanaan, USIM bukan sahaja menyokong aspirasi ekosistem pendidikan tinggi negara, malah berperanan aktif membentuk masa hadapan Malaysia yang lebih makmur, inklusif dan berdaya tahan dalam menjayakan RPTM 2026–2035.
