Prof. Madya Dr. Fariza Puteh-Behak
Prof. Madya Dr. Fariza Puteh-Behak Timbalan Dekan Akademik, Pusat Pengurusan Siswazah

Tahun 2020 menyaksikan kemunculan norma-norma baharu di dalam negara kita dari pelbagai aspek seperti penjanaan ekonomi, aktiviti-aktiviti sosial termasuk pengurusan pendidikan tinggi. Dengan adanya prosedur operasi standard (SOP) seperti larangan perhimpunan dan saranan penjarakan sosial, beberapa proses pengajian pelajar, khasnya pelajar siswazah, agak terkesan. Di dalam pengurusan pengajian siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tampil berani menjana norma-norma baharu untuk memastikan kelestarian pengajian pelajar siswazah di kampus USIM.

Pelajar pasca siswazah lazimnya berbeza dengan pelajar ijazah pertama di mana kebanyakan pelajar siswazah terdiri daripada pelajar yang lebih matang, ada yang telah berada di alam pekerjaan, malah ada yang memegang jawatan yang tinggi di institusi dan jabatan masing-masing.   Sehubungan itu, pelajar siswazah lebih menekankan keupayaan sesebuah institusi pendidikan tinggi untuk memberikan perkhidmatan yang terbaik di dalam memastikan kemelut virus Covid-19 yang sedang melanda dunia tidak memberikan kesan negatif terhadap pengajian mereka secara keseluruhan.

Antara proses pengajian siswazah yang terkesan adalah proses viva voce atau pun sesi pembentangan akhir bagi pelajar Sarjana dan juga Doktor Falsafah untuk memastikan pelajar layak dianugerahkan ijazah. Lazimnya sesi viva voce dijalankan di dalam sebuah bilik khas yang melibatkan kehadiran sekurang-kurangnya 10 ahli panel yang terdiri daripada pengerusi, penyelia-penyelia pelajar, pemeriksa dalaman, pemeriksa-pemeriksa luaran, wakil fakulti, pelajar dan juga urusetia Pusat Pengajian Siswazah. Proses pembentangan ini akan berlangsung selama beberapa jam. Ini sudah tentu bercanggah dengan Prosedur Operasi Standard (SOP) sekarang ini iaitu larangan perhimpunan di ruangan tertutup dan saranan penjarakan sosial.

Peka dengan kepentingan untuk memastikan pengajian pelajar siswazah tidak terjejas, Pusat Pengajian Siswazah, Universiti Sains Islam Malaysia telah mengambil inisiatif untuk menjalankan sesi viva voce untuk pelajar Sarjana dan Doktor Falsafah secara atas talian. Setelah mendapat kelulusan Senat Universiti, Pusat Pengajian Siswazah telah menjalankan sesi viva voce secara atas talian bermula daripada bulan April yang lalu, dan sehingga kini telah menjalankan lebih dari 15 sesi viva voce dengan penglibatan pelbagai pihak dari seluruh negara dan juga pelosok dunia.

Usaha ini telah mendapat reaksi yang positif dari pelbagai pihak yang terlibat dengan sesi viva voce tersebut. Salah seorang pemeriksa tesis dari institusi luar melahirkan ucapan penghargaan kepada pihak pengurusan kerana telah menjalankan satu sesi viva voce yang profesional dan tidak menjejaskan kualiti viva voce walaupun pelajar dan semua panel yang terlibat tidak berada di dalam satu bilik fizikal seperti sebelumnya. Malah beliau menyatakan akan membawa usul yang sama ke institusi pengajian tinggi beliau. Pusat Pengajian Siswazah juga menerima beberapa pesanan ringkas dari beberapa ahli panel viva voce tentang keberkesanan dan kelancaran sesi viva voce atas talian yang dikendalikan oleh pusat pengajian siswazah di USIM.

Antara pembelajaran yang dapat digarap melalui pengalaman menguruskan sesi viva voce secara atas talian ini; Pertama, sebagai sebuah institusi pendidikan tinggi, seharusnya kemelut Covid-19 ini tidak menjadi batu penghalang untuk intitusi pendidikan tinggi di dalam memberikan perkhidmatan yang terbaik dan berkualiti kepada semua lapisan pelajar. Menjaga kepentingan pelajar dari segi memastikan setiap proses pembelajaran dan juga penilaian berjalan seperti biasa tanpa melanggar prosedur operasi standard (SOP) di musim koronavirus ini  perlu diberikan keutamaan.  Kedua, setiap pihak yang terlibat perlu berfikiran terbuka dan tidak taksub kepada norma – norma pengurusan sesi viva voce sebelum ini. Dengan sifat keterbukaan ini, pelbagai pihak dapat meneroka cara–cara baharu dalam menjalankan sesuatu perkara seperti viva voce di atas talian ini.  Ketiga, dengan adanya sesi viva voce atas talian bukanlah alasan untuk mengabaikan nilai-nilai dan kualiti yang diperlukan dalam pengajian seseorang pelajar di peringkat Sarjana mahupun Doktor Falsafah. Setiap nilai dan kualiti perlu diperhalusi supaya lebih ketara dan tidak dikompromi di sepanjang sesi viva voce atas talian tersebut.

Walaupun perkembangan kemelut Covid-19 di Malaysia ini sudah menunjukkan tanda-tanda penurunan yang positif, namun Malaysia dan juga dunia masih lagi dalam perjuangan menentang musuh yang tidak kelihatan ini dalam tempoh yang agak lama. Justeru, institusi pendidikan tinggi masih lagi berhadapan dengan cabaran-cabaran norma baharu dan perlu tampil berani untuk menyusuri cabaran dengan menyediakan inisiatif-inisiatif yang lebih proaktif untuk terus memberikan pendidikan berkualiti kepada setiap lapisan pelajar.