AMMAN, JORDAN – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) terus memperkukuh jaringan akademik antarabangsa dalam bidang pengajian dan pendidikan bahasa Arab menerusi kunjungan rasmi ke Universiti Yarmouk dan Universiti Jordan pada Julai 2026.

Kunjungan delegasi USIM yang diketuai Pengarah Institut Pengajian Bahasa Arab (IBRAZ), Prof Madya Dr. Sulaiman bin Ismail itu bertujuan membincangkan kerjasama akademik serta merangka laluan persediaan bahasa dan pengajian yang lebih sistematik untuk pelajar Malaysia sebelum mengikuti program pengajian di universiti-universiti berkenaan.

Kerjasama yang dirancang memberi tumpuan kepada pelajar Malaysia cemerlang yang menerima tajaan daripada Kementerian Pendidikan Malaysia, khususnya bagi membantu mereka menguasai bahasa Arab serta menyesuaikan diri dengan persekitaran akademik dan budaya di Jordan.

Di Universiti Yarmouk, delegasi USIM mengadakan pertemuan bersama Pemangku Presiden Universiti Yarmouk, Prof. Dr. Amjad Dhaifallah Al-Nasser, dengan kehadiran Naib Presiden universiti, Prof. Dr. Ruba Al-Batayneh. Turut hadir ialah Dr. Zeyad Al-Azzam dari EMJ Kedutaan Malaysia di Amman.
Pertemuan tersebut membincangkan usaha memperkukuh kerjasama dalam pengajaran bahasa Arab serta persediaan pelajar Malaysia dari aspek bahasa dan akademik sebelum mereka memulakan pengajian di peringkat universiti.

Prof. Dr. Amjad berkata, Universiti Yarmouk mempunyai hubungan akademik yang erat dengan institusi pengajian tinggi di Malaysia. Hubungan tersebut telah menyumbang kepada kemasukan ramai pelajar Malaysia ke program Ijazah Sarjana Muda, Sarjana dan Doktor Falsafah, selain menggalakkan pertukaran ilmu serta kerjasama penyelidikan antara ahli akademik kedua-dua negara. Beliau turut menawarkan tajaan biasiswa penuh peringkat ijazah lanjutan kepada USIM.

Mengulas kerjasama itu, Dr. Haji Sulaiman merakamkan penghargaan terhadap kedudukan dan reputasi akademik Universiti Yarmouk serta pencapaian graduan Malaysia dari universiti berkenaan dalam bidang profesional dan akademik.

Delegasi USIM turut mengadakan kunjungan ke Fakulti Syariah, Universiti Jordan dan disambut oleh Dekan Fakulti Syariah, Dr. Abdul Rahman Al-Kilani.
Pertemuan itu turut dihadiri Pengarah Pusat Bahasa, Dr. Muaz Al-Zoubi dan Pengarah Unit Program Antarabangsa, Alumni dan Pemasaran, Dr. Zaid Obeidat.

Perbincangan memberi tumpuan kepada pembangunan program bahasa dan akademik bagi mempersiapkan pelajar Malaysia sebelum mereka mengikuti pengajian di Universiti Jordan.

Antara mekanisme yang dicadangkan ialah pelaksanaan ujian penentuan tahap bahasa Arab secara dalam talian ketika pelajar 22masih berada di Malaysia. Berdasarkan keputusan ujian berkenaan, pelajar yang memenuhi tahap ditetapkan boleh terus mengikuti program akademik, manakala mereka yang memerlukan pengukuhan akan mengikuti kursus intensif di Pusat Bahasa Universiti Jordan.

Dr. Sulaiman berkata, kerjasama dengan kedua-dua universiti terkemuka di Jordan ini mencerminkan komitmen USIM untuk memperluas jaringan akademik global, meningkatkan mutu pendidikan bahasa Arab dan menyediakan ekosistem pengajian yang lebih tersusun kepada pelajar Malaysia.

Tambah beliau, kerjasama tersebut membuka peluang yang luas kepada IBRAZ dan USIM untuk memperkukuh kedudukan serta visibiliti di peringkat antarabangsa.

“Sepanjang lawatan ini, saya telah mengunjungi lapan buah universiti dan menandatangani Surat Hasrat dengan institusi-institusi berkenaan. Usaha ini penting bagi meningkatkan visibiliti IBRAZ dan USIM, di samping memperluas kerjasama akademik dalam bidang pengajaran bahasa Arab serta pertukaran kepakaran,” katanya.

Beliau berkata, kerjasama itu juga diharap dapat memperkukuh pengiktirafan sijil IBRAZ di peringkat antarabangsa serta membuka peluang kemasukan kepada lebih ramai pelajar pada masa akan datang.

“Selain itu, kami juga berharap usaha ini dapat menarik lebih banyak penaja biasiswa, selain penaja sedia ada seperti MARA, Kementerian Pendidikan Malaysia, MedicMesir dan Bank Rakyat,” tambahnya.

Usaha tersebut juga selaras dengan aspirasi USIM untuk memperkukuh penguasaan bahasa Arab sebagai bahasa ilmu serta melahirkan graduan yang berkualiti, berdaya saing dan mampu menyumbang kepada pembangunan pendidikan bahasa Arab di Malaysia.