Pusat jagaan berkenaan menempatkan kanak-kanak dan remaja berusia antara tujuh hingga 17 tahun yang terdiri daripada anak yatim, golongan kurang berkemampuan dan asnaf. Sebahagian penghuni turut berdepan kekangan mendapatkan pendidikan yang sempurna akibat kesempitan hidup dan latar belakang keluarga.
Selain melaksanakan aktiviti kebajikan, Jabatan Undang-Undang USIM turut mengadakan sesi pemindahan ilmu berkaitan isu buli dan gangguan seksual yang semakin mendapat perhatian masyarakat.
Sesi perkongsian tersebut dikendalikan oleh pegawai dan staf Jabatan Undang-Undang USIM secara santai, interaktif serta berasaskan situasi sebenar bagi memudahkan peserta memahami isu yang dibincangkan.
Peserta diberikan pendedahan mengenai bentuk-bentuk perlakuan buli dan gangguan seksual, hak mereka di sisi undang-undang, langkah mendapatkan bantuan serta kepentingan untuk melaporkan sebarang insiden kepada individu yang dipercayai atau pihak berkuasa berkaitan.
Penasihat Undang-Undang USIM, Dr. Noorfajri Ismail berkata, usaha mendidik masyarakat mengenai isu buli dan gangguan seksual tidak seharusnya hanya digerakkan selepas sesuatu insiden berlaku, sebaliknya perlu dilaksanakan secara berterusan sejak peringkat awal usia.
“Pendedahan mengenai hak, tanggungjawab serta saluran mendapatkan bantuan perlu diberikan sejak kecil agar anak-anak lebih berani mempertahankan diri, menghormati hak orang lain dan tidak menganggap perlakuan buli atau gangguan seksual sebagai perkara biasa.
“Pendidikan awal merupakan benteng terbaik dalam melahirkan masyarakat yang lebih cakna, berintegriti dan saling menghormati,” katanya.
Menurut beliau, kefahaman awal mengenai hak dan keselamatan diri dapat membantu kanak-kanak serta remaja mengenal pasti perlakuan yang tidak wajar, selain membina keberanian untuk tampil mendapatkan bantuan sekiranya berdepan situasi berisiko.
Program tersebut turut mencerminkan peranan USIM sebagai institusi ilmu yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pengajaran dan penyelidikan, malah aktif berkongsi kepakaran dengan masyarakat melalui pelaksanaan program pemindahan ilmu dan khidmat komuniti.
Melalui pendekatan berkenaan, pengetahuan undang-undang dapat disampaikan dalam bentuk yang lebih mudah difahami dan sesuai dengan tahap usia peserta, sekali gus membantu mereka mengetahui hak, tanggungjawab dan saluran perlindungan yang tersedia.
Program diakhiri dengan penyampaian sumbangan kepada penghuni Pusat Jagaan Rumah Putera Harapan serta sesi ramah mesra antara warga Jabatan Undang-Undang USIM dengan penghuni dan pengurusan pusat jagaan berkenaan.
Penganjuran program tersebut diharapkan dapat memperkukuh hubungan antara universiti dengan masyarakat, di samping menyebarluaskan kefahaman mengenai aspek perundangan serta memupuk budaya saling menghormati, prihatin dan bertanggungjawab dalam kalangan generasi muda.
Inisiatif itu turut menjadi manifestasi komitmen USIM dalam menyantuni komuniti secara inklusif serta memanfaatkan kepakaran warga universiti untuk kesejahteraan masyarakat.
Oleh: Nur Zahidah Zulkefli



