Bandar Baru Nilai, 7 Mac 2011 – Buat julung kalinya, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menganjurkan hari terbuka universiti atau dikenali sebagai Karnival Eksplorasi USIM 2011 “Simply Inspiring”. Bertempat di kampus induk, Nilai, Negeri Sembilan, Karnival yang bermula pada 4 sehingga 6 Mac baru-baru ini mendapat sambutan yang begitu menggalakkan daripada sekolah-sekolah di sekitar Negeri Sembilan dan Lembah Klang serta dari beberapa buah negeri seperti Kelantan dan Terengganu. Tidak ketinggalan juga sambutan daripada masyarakat setempat yang turut hadir memeriahkan lagi karnival ini.

Penganjuran program ini dirasakan perlu setelah USIM melangkah ke satu dekad dalam mempergiatkan usaha untuk memperkenalkan Institusi ini dengan lebih dekat di mata masyarakat dengan beberapa pendekatan yang lebih mesra. Sesuai dengan nama yang diberikan kepada program ini iaitu Karnival Eksplorasi kerana Eksplorasi itu sendiri membawa maksud penjelajahan ke lapangan untuk memperoleh sesuatu. Dengan kata lain, kita memberikan peluang kepada para pengunjung untuk menyelami serta mendalami apa yang terdapat di USIM dengan lebih dekat dan mesra.

Objektif utama penganjuran program ini adalah untuk menarik minat, menyediakan peluang dan menggalakkan penyertaan orang ramai , khususnya bakal  pelajar dari peringkat sekolah untuk mengetahui peluang kerjaya dan aktiviti yang boleh diketengahkan melalui pencapaian bakat dan kemahiran disamping untuk menanam  serta  memupuk  kesedaran  secara  mendalam kepada pelajar berpotensi serta ahli keluarga mereka terhadap terhadap nilai positif dan komitmen yang cuba diterapkan dalam membina ciri modal insan yang berkebolehan selain pancapaian akademik yang diperlukan.

Pelbagai aktiviti menarik disediakan sepanjang 3 hari program berlansung. Antaranya adalah, Pameran dan taklimat di setiap fakulti, pameran pasukan beruniform, persembahan pelajar, Kempen Derma Darah dan Pemeriksaan Kesihatan, gerai jualan, pertandingan sukan, pertandingan fotografi pertandingan Explore Race, tayangan video dan banyak lagi. Kesemua aktiviti dan acara ini melibatkan keseluruhan fakulti dan juga jabatan serta pusat. Karnival ini juga turut diserikan dengan Majlis Pengisytiharan Kompleks Sukan Tunku Najihah di mana telah disempurnakan oleh Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Najihah Binti Almarhum Tunku Besar Burhanuddin pada hari Sabtu, 5 Mac 2011.

Melalui penganjuran program ini, diharapkan dapat menjalinkan  ikatan   perpaduan,  memperluaskan pergaulan dan memupuk interaksi yang sihat di kalangan  warga USIM dan masyarakat luar serta mempromosikan USIM sebagai destinasi pengajian yang unik bagi menyuntik semangat kepada pelajar yang berkunjung untuk belajar bersungguh-sungguh dan seterusnya menyimpan cita-cita untuk melanjutkan pelajaran universiti. Kesannya, ianya dapat memberikan pendedahan kepada para pengunjung khususnya para pelajar sekolah tentang alam universiti serta memberi gambaran jelas kepada misi mereka dalam pelajaran dan pengajian tinggi kelak.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Seksyen Hubungan Media dan Publisiti
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa
Universiti Sains Islam Malaysia

Tel: 06-798 8027