NILAI, 2 September 2021 – Kerajaan telah mengumumkan peralihan Fasa Pelan Pemulihan Negara  (PPN) di Negeri Sembilan daripada Fasa Satu kepada Fasa Dua pada 24 Ogos baru baru ini.

Berikutan dengan pemakluman tersebut kemudahan sukan di Kompleks Sukan Tunku Najihah (KSTN) telah dibuka kepada warga USIM.

Menurut Encik Ekmal Buhary selaku Pemangku Pengarah Pusat Sukan berkata, pembukaan pengoperasian pusat sukan kepada warga USIM telah mendapat persetujuan dan khidmat nasihat daripada Pusat Kesihatan Universiti dan Bahagian Pengurusan Risiko dan Integriti, Pematuhan Syariah dan Keselamatan Pekerjaan USIM.

“Pusat Sukan USIM secara prinsipnya membenarkan penggunaan kemudahan di KSTN secara bersyarat dengan SOP yang ketat bagi aktiviti-aktiviti seperti jogging secara individu dengan penjarakkan, aktiviti berbasikal serta aktiviti sukan acara perseorangan”.

Menurut beliau lagi, warga USIM dibenarkan membawa ahli keluarga dengan memastikan secara berterusan mengamalkan norma baharu serta semua SOP yang telah ditetapkan oleh MKN dan KKM. Pendaftaran di aplikasi Mysejahtera bagi tujuan pendaftaran masuk perlu dipatuhi di setiap kawasan alatan sukan yang akan digunakan. Ini bagi memastikan kita dapat mengawal penularan jangkitan Covid-19 dalam kalangan warga USIM.

Dalam keadaan negara masih berada dalam pandemik Covid-19 dan kawalan pergerakan untuk merentas negeri masih tidak dibenarkan, USIM mengambil inisiatif agar warganya dapat mengamalkan kehidupan dengan gaya hidup sihat dan sedikit sebanyak ia dapat membantu menghilangkan tekanan kerja dan belajar, selain mengisi masa lapang yang terluang.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan