NILAI – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) memperkukuh budaya tatakelola dan etika kepimpinan menerusi Kursus Akauntabiliti dalam Kepimpinan yang berlangsung selama dua hari pada 14 hingga 15 Oktober 2026 di Hotel Pulse Grande, Putrajaya baru-baru ini.
Anjuran Seksyen Latihan dan Pembangunan, Bahagian Pembangunan Sumber Manusia, Jabatan Pendaftar USIM itu menghimpunkan 37 peserta yang terdiri daripada barisan kepimpinan Gred 9 dan ke atas serta staf USIM Gred 12 dan ke atas.
Kursus berkenaan turut mendapat penyertaan daripada pelbagai agensi luar termasuk MARDI, Institut Integriti Malaysia (IIM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Utara Malaysia (UUM), Universiti Malaysia Sabah (UMS) dan Universiti Islam Antarabangsa Tuanku Muhammad (UniSZA).
Sepanjang program, peserta mengikuti lapan slot yang merangkumi pembentangan interaktif, aktiviti berkumpulan, pembentangan, sesi penilaian dan dialog bersama penceramah.
Antara penceramah yang terlibat ialah Dato’ Muhammad Salim Sundar Abdullah, Felo Budi Jabatan Pendaftar USIM, dan Dr. Mohd Shamsul Hakim Abdul Samad, Pensyarah USIM merangkap personaliti televisyen.
Pengisian kursus meliputi aspek perkhidmatan audit kepimpinan, garis panduan tatakelola, simulasi pembuatan keputusan beretika, pengurusan konflik serta pembinaan budaya kerja profesional.
Kursus tersebut turut memberi penekanan kepada pemahaman konsep akauntabiliti sebagai asas kepimpinan berkesan, di samping membina budaya kerja berteraskan kepercayaan, ketelusan dan tanggungjawab.
Melalui pelaksanaan kursus ini, peserta turut didedahkan kepada pendekatan dalam membuat keputusan strategik secara berintegriti, mengurus pasukan secara profesional serta menangani konflik dan isu etika organisasi dengan penuh tanggungjawab.
Selain memperkukuh keupayaan kepimpinan, inisiatif ini turut menyokong usaha menangani isu ketidakcekapan dan kelemahan tatakelola melalui pendekatan audit kepimpinan serta penyediaan garis panduan bertindak yang lebih sistematik.
Penganjuran kursus ini diharapkan dapat memperkukuh budaya akauntabiliti dalam kalangan pemimpin dan warga organisasi, sekali gus meningkatkan keyakinan pemegang taruh terhadap keupayaan institusi melaksanakan amanah secara telus, beretika dan bertanggungjawab.
Oleh: Sharifah Norabidzah Nurul Aida Syed Saaid


