NILAI, 20 Mac 2023 – Kehadiran ibu yang datang dari jauh untuk memberi sokongan menjadi pembakar semangat kepada Ahmad Azhar Ramli,18, membuat larian bertenaga sekaligus menghadiahkan pingat emas dalam acara 1500m lelaki untuk Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) di Sukan Asasi Malaysia (SAM) 2023 baru-baru ini.
Pelajar dari program Tamhidi Sains Fizikal dan Teknologi, Pusat Tamhidi USIM itu mencatat masa 4 minit 50 saat bagi menewaskan pelari dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang mendapat pingat perak dan Universiti Utara Malaysia (UUM) yang merangkul pingat gangsa.
Menjadi penyumbang pingat emas sulung dan tunggal kepada Pusat Tamhidi dalam kejohanan SAM kali ini, Azhar tidak menyangka penyertaan kali pertama dalam acara olahraga akan menghadiahkan emas buat universiti.
“Kehadiran ibu, Afizah Somin yang ditemani kakak jauh dari Johor ke Gambang, Pahang untuk melihat saya berlari menguatkan keazaman saya untuk melakukan larian terbaik di peringkat akhir. Ditambah sorokan padu dari rakan-rakan Tamhidi dan pegawai pengiring, ia menaikkan lagi semangat dan fokus saya untuk merangkul emas” ujar bekas pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Simpang Renggam, Johor ini.
“Sebelum mewakili Pusat Tamhidi ke Sukan Asasi, saya terlebih dahulu mewakili Tamhidi dalam Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUFA) di peringkat universiti. Alhamdulillah, berjaya merangkul pingat perak dalam acara 800 meter dan turut mara ke pusingan akhir dalam kategori 4×100 meter dan 400 meter” tambahnya.
Kemampuan Azhar menyerlah dalam acara olahraga menjadikan beliau menjadi ‘ubi muda’ yang punyai potensi cerah untuk terus digilap mewakili USIM selepas ini.
Pusat Tamhidi menghantar seramai 118 atlet dan 22 pegawai pengiring ke SAM yang berlangsung di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Gambang Pahang. Menyertai sembilan acara, Tamhidi USIM berjaya menuai satu pingat emas melalui olahraga dan dua pingat gangsa dari acara bola jaring dan ping-pong. USIM berada di kedudukan keenam terbaik keseluruhan dari 14 buah pusat asasi dan matrikulasi yang menyertai edisi kejohanan kali ini.
sumber: Pusat Tamhidi
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan