NILAI- Kejohanan Sukan Antara Fakulti (SUFA) merupakan acara tahunan yang dinantikan setiap tahun bagi meraikan komitmen seluruh warga siswa dan siswi fakulti sebagai satu pasukan. Berlangsung di perkarangan Kompleks Sukan Tuanku Najihah, majlis perasmian kejohanan SUFA 2023 telah dirasmikan oleh Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani. Kejohanan kali ini turut mendapat sokongan dan tajaan daripada syarikat Yakult dan Extrajoss.

Bertemakan “Kebersamaan” One Team, One Dream,  SUFA 2023 bermula dari 3 hingga 22 November 2023 dengan lebih 28 acara dan kategori dipertandingkan antaranya seperti badminton, bola baling, bola keranjang, bola jaring, bola sepak, bola tampar, catur, e-sport, futsal, frisbee, lawn bowls, memanah, olahraga, petanque, ping pong, ragbi sentuh, sepak takraw dan tenis.

Naib Canselor Prof. Dato’ Ts. Dr. Sharifudin Md Shaarani, kejohanan ini merupakan platform untuk perkembangan dan pembangunan sukan pelajar USIM untuk menyertai peringkat sukan yang lebih tinggi seperti Kejohanan MASUM, SUKIPT dan kejohanan lain di peringkat KPT.

“Dengan adanya kejohanan seperti ini, ia dapat membina budaya hidup sihat dan cergas yang memberi impak positif kepada pelajar dalam tempoh jangka masa panjang disamping memupuk budaya USIM Cergas dan Cerdas” yang membawa matlamat  semangat kerja berpasukan serta integrasi antara kita sebagai warga USIM yang bergerak sebagai satu pasukan”.

Ujarnya lagi, beliau berharap agar kejohanan ini dapat menonjolkan imej USIM sebagai Universiti Awam yang aktif dalam kegiatan berasaskan sukan dan rekreasi disamping komitmen Pusat Sukan yang telah melaksanakan pelbagai inisiatif seperti pengurusan kaunter sukan yang diuruskan oleh pelajar, skim kecemerlangan atlet, sokongan peruntukan pembangunan aktiviti sukan di fakulti telah  menggalakkan aktiviti pembangunan sukan diperingkat akar umbi.