NILAI, 25 Mei 2023 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menjuarai Johan Tilawah al-Quran bagi kategori Dewasa Lelaki dan Perempuan di Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Sembilan Darul Khusus 1444H/2023 yang berlangsung di Pusat Dakwah Islamiah Negeri Sembilan.

Johan Tilawah al-Quran kategori Dewasa (Lelaki) dimenangi oleh saudara Mohamad Husaini Mahmur, 31, alumni Fakulti Pengajian Bahasa Utama USIM yang merupakan Guru al-Quran di Pusat Pengajian al-Quran Azdan, manakala kategori Dewasa (Perempuan) dimenangi oleh saudari Nadhrah Ahmad Marzuki,23, pelajar Tahun Empat Fakulti pengajian Quran dan Sunnah. Johan membawa pulang wang tunai RM 7,000 bersama Hadiah Khas wang tunai RM 12,000 perbelanjaan menunaikan Haji berserta sijil penyertaan.

USIM turut mendapat tempat ketiga Tilawah al-Quran kategori Dewasa (Lelaki) yang dimenangi oleh saudara Afiq Aiman Rosli,24, alumni Fakulti Syariah dan Undang-undang. Manakala bagi kategori Hafazan al-Quran Juzuk 1-30 (Perempuan), USIM mendapat Naib Johan yang dimenangi oleh saudari Putri Nur Hanim Bakri,22, dan bagi kategori Hafazan al-Quran Juzuk 1-20 (Lelaki) dimenangi oleh saudara Muhammad Faiz Mat Jusoh,23, pelajar Tahun Dua Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.

Majlis Penyampaian Hadiah disempurnakan oleh DYMM Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Almarhum Tuanku Munawir. Turut berangkat ke majlis DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Almarhum Tengku Besar Mahmud. Hadir sama Menteri Besar Negeri Sembilan YAB Dato’ Seri Haji Aminuddin Harun.

 

 

 

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan