NILAI, 30 Nov – Bertempat di Stadium Tertutup Nilai, Negeri Sembilan para graduan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dirai dan dianugerahkan Ijazah bersempena Majlis Konvokesyen Ke 11 pada tanggal 30 November dan 1 Disember 2013.  Sekalung tahniah diucapkan kerana telah berjaya menamatkan pengajian dan menggenggam segulung Ijazah dalam bidang masing-masing.

Istiadat gilang gemilang ini telah di sempurnakan oleh Duli Yang Maha Mulia Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Aishah Rohani binti Almarhum Tengku Besar Mahmud merangkap Tuanku Canselor Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).  Turut hadir bersama Pro Canselor USIM, Yang Amat Mulia Tunku Besar Seri Menanti, Tunku Ali Redhauddin Ibni Tuanku Muhriz.

Majlis penuh makna ini diadakan sebanyak tiga (3) sidang yang menganugerahkan seramai 1468 graduan daripada peringkat Diploma Siswazah (53 graduan), Doktor Falsafah (33 graduan), Ijazah Sarjana (92 graduan) dan Ijazah Sarjana Muda (1290 graduan) daripada lapan (8) fakulti termasuk dua (2) penerima Ijazah Kehormat.

Penganugerahan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Pengurusan Sumber Manusia diberikan kepada YBhg Profesor Dato’ Dr. Hassan Said manakala Ijazah Kehormat Doktor Falsafah Syariah dan Kehakiman diberikan kepada YBhg Tan Sri Sheikh Ghazali bin Haji Abdul Rahman di atas sumbangan dan khidmat bakti serta idea yang dicurahkan sejak penubuhan awal USIM lagi.

Pada tahun ini, USIM telah berjaya melahirkan graduan Ijazah Sarjana Muda dengan pecahan 202 graduan dari Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, 238 dari Fakulti Syariah dan Undang-undang, 223 dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat, 135 dari Fakulti Sains dan Teknologi, 55 dari Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, 142 dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama, 22 dari Fakulti Pergigian dan seramai 273 graduan yang mencatatkan jumlah tertinggi adalah dari Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah.  Seramai 1290 graduan Ijazah Sarjana Muda telah pun menunjukkan peningkatan sebanyak 8.36 peratus berbanding tahun sebelumnya. Majlis Konvokesyen Ke 11 pada kali ini buat julung kalinya menyaksikan Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan melahirkan seramai 43 graduan sulung dari Program Sarjana Muda Pengajian Akidah dan Agama.

Turut mendapat perhatian adalah peratusan graduan Pasca Siswazah yang meningkat kepada 78.08 peratus merupakan peratusan pencapaian tertinggi berbanding tahun 2012 iaitu sebanyak 55.4 peratus. Seramai 53 graduan adalah dari Diploma Siswazah, 33 graduan dari Ijazah Doktor Falsafah dan 92 graduan adalah dari Ijazah Sarjana. Dari jumlah ini, seramai 44 graduan pasca siswazah adalah dari kalangan pelajar Antarabangsa.

Seramai 25 graduan cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum telah menerima Anugerah Khas. Seramai dua (2) graduan telah menerima Anugerah Pelajaran Diraja (Pingat Jaya Cemerlang) iaitu  adik  Muhammad Zaim Bin Razak dari Fakulti Sains dan Teknologi dan Mohd Nizwan Bin Musling dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama.  Pengiktirafan dinilai melalui kecemerlangan dalam akademik, aktif dalam ko-kurikulum, menyumbang bakti kepada masyarakat, mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan sifat keperibadian yang mulia.  Dua (2) lagi graduan adalah Anis Farhan Binti Muhamad Ali dari Fakulti Pengajian Bahasa Utama menerima Anugerah Canselor dan Muhamad Hidayat Bin Yahaya dari Fakulti Ekonomi dan Muamalat menerima Pingat Emas Naib Canselor.  Antara anugerah lain yang turut diberikan adalah Hadiah Buku Universiti, Hadiah Buku Fakulti dan Hadiah Ko-Kurikulum.

Jumlah graduan USIM pada tahun ini telah menunjukkan peningkatan yang membanggakan sejajar dengan misi USIM sendiri iaitu bertekad menjadi sebuah institusi ilmu terkehadapan yang berteraskan pengajian Islam dan menjadi peneraju ilmu baharu yang menggunakan teknologi terkini bagi menghasilkan inovasi yang mampu mentransformasikan negara, ummah dan manusia sejagat, dan ini menunjukkan USIM mampu melahirkan graduan yang kompeten yang berteraskan ilmu Naqli dan Aqli yang mampu berdaya saing di alam pekerjaan nanti.

Tahniah diucapkan kepada para graduan Konvokesyen Ke 11 USIM!

Disediakan oleh :

Syazlyna Jamil
Penolong Pendaftar StraComm