NILAI, 29 Jun – Bahagian Hal Ehwal Pelajar (HEP) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah menganjurkan Malam Apresiasi Seni bertempat di Bangi Golf Resort pada 29 Jun 2013 bersamaan hari Sabtu yang lepas.
Majlis tersebut merupakan malam kemuncak yang menghimpunkan semua Urusetia Kesenian Pelajar, alumni, tenaga pelajar, karyawan dan aktivis seni serta rakan strategik media iaitu Radio Televisyen Malaysia (RTM), TV3, TV Al Hijrah, Berita Harian, Utusan Malaysia dan mereka yang pernah terlibat secara aktif dalam program kebudayaan sebelum ini.
Objektif utama penganjuran adalah untuk meraikan dan menghargai ahli alumni USIM di atas sumbangan dan komitmen mereka yang telah banyak membantu menjayakan program persembahan dan menyokong aktiviti seni budaya USIM semasa bergelar mahasiwa dan mahasiswi di USIM. Selain itu, ianya sebagai satu pengiktirafan kepada penglibatan serta sokongan daripada semua pihak dalaman dan luaran termasuklah sumbang saran serta kepakaran individu secara langsung atau tidak langsung.
Majlis tersebut telah disempurnakan oleh Y.Bhg. Profesor Dato’ Dr. Musa Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa) USIM serta merasmikan pelancaran Buku Jendela Gemilang Seni Budaya. Dalam ucapannya menyatakan “program seperti ini mempunyai pengisian yang baik di mana pengalaman daripada ahli alumni dapat dikongsi bersama dalam pelbagai aspek kesenian seperti debat, tarian, khat, sains dan lain-lain yang mampu memberi impak positif kepada universiti”.
Majlis yang dihadiri hampir 150 orang jemputan diserikan dengan pelbagai persembahan kebudayaan daripada alumni USIM, karyawan dan aktivis seni seperti Siso, Nash dan Roy.