NILAI, 11 Apr 2016 – Selaras dengan usaha untuk membentuk mahasiswa yang cakna dengan isu sosial dan kemasyarakatan, seramai 40 Pelajar Luar Kampus (OCSS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program Budi Pantai Timur Pelajar Luar Kampus bersama pelajar sekolah di Terengganu dan Kelantan selama 4 hari bermula 8 hingga 11 April 2016 di Sekolah Angkat USIM iaitu Sekolah Menengah Kebangsaan Durian Guling, Marang Trengganu. Selain itu, sekolah yang terlibat ialah Sekolah Menengah Kebangsaan Naim Libanat, Kota Bharu Kelantan.

Dalam program ini, pelajar-pelajar USIM telah mengadakan program motivasi bagi memberikan keyakinan kepada pelajar sekolah supaya berusaha untuk mendapatkan keputusan yang baik khususnya dalam subjek Bahasa Arab yang menjadi syarat penting untuk mengikuti pengajian di USIM kelak.

Selain program motivasi di sekolah-sekolah ini, pelajar OCSS turut bekerjasama dengan Universiti Sains Malaysia (USM), Kubang Kerian, Kota Bharu, Kelantan dengan memberi tumpuan mengenai isu berkaitan dengan Orang Kelainan Upaya (OKU). Pelajar-pelajar ini diberikan pendedahan mengenai isu kebajikan OKU di Malaysia selain memberi bantuan untuk golongan ini berdikari bagi meneruskan kehidupan mereka tanpa perlu bergantung kepada orang lain.

Selain itu, program Transformasi OKU yang dilaksanakan oleh pihak USM ini turut membantu golongan OKU menikmati peluang yang setara dengan orang upaya lain untuk bergaul bersama masyarakat dalam semua aspek kehidupan-aksesibiliti, mobiliti, kesihatan, pendidikan, pekerjaan, pemulihan dan penyertaan dalam bidang politik, ekonomi dan sosio budaya.

Menurut Pengarah program Nur Aqilah Kamarudin, objektif penganjuran program ini adalah untuk memberikan pendedahan kepada mahasiswa dan komuniti mengenai isu OKU. Ini kerana, golongan OKU merupakan insan istimewa yang perlu diberikan perhatian serius oleh masyarakat.

Pada program tersebut, pihak OCSS telah mewakili Pusat Sukan USIM bagi menyampaikan sumbangan barangan sukan kepada Sekolah yang terlibat dengan banjir pada tahun lalu seperti SMKA Durian, Guling, Marang, Trengganu; Sekolah Kebangsaan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Kampong Laut, Tumpat, Kelantan dan Sekolah Kebangsaan Seligi, Pasir Putih Kelantan.

Turut menyertai rombongan tersebut Pengetua OCSS USIM Encik Mohd Asri Husain dan juga Pegawai dari Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM.

Disediakan oleh:

Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204