SEREMBAN 3 Jan. – Seramai 30 pelajar sekolah kluster dan sekolah angkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengambil bahagian dalam Program Selangkah ke USIM baru-baru ini.

Program yang dimulakan sejak 2009 bertujuan mendekati dan mempromosikan USIM secara terus kepada kumpulan sasaran iaitu pelajar yang akan menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Program selama tiga hari dua malam itu telah diadakan di kampus utama USIM di Nilai dan kampus cawangan di Pandan Indah.

Ia melibatkan program khusus seperti taklimat dan lawatan serta program bebas iaitu menjalani kehidupan seharian sebagai pelajar Pusat Tamhidi USIM bersama buddy masing-masing.

Seramai 30 orang buddy dilantik di kalangan pelajar cemerlang Pusat Tamhidi bagi memberi suntikan moral kepada pelajar dan peserta.

Semasa program tersebut, para peserta menginap di asrama bersama buddy masing-masing untuk membangkitkan suasana kehidupan sebenar seorang pelajar universiti.

Pelbagai aktiviti dijalankan sepanjang program itu antaranya sesi tazkirah dan perkongsian pengalaman bersama buddy, ceramah motivasi dan kerjaya; lawatan ke Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan dan Fakulti Pergigian, candle war dan aktiviti dalam kumpulan.

Pengarah Pusat Tamhidi USIM, Dr. Nurlida Basir berkata, Program Selangkah ke USIM kali ini dapat dijalankan dengan jayanya dengan kerjasama dan penglibatan para peserta dari sekolah kluster dan sekolah angkat USIM.

“Pelbagai aktiviti dan pengisian telah kita jalankan di dalam memberikan pendedahan secara terus kepada para peserta seperti merasai sendiri kehidupan sebagai pelajar Tamhidi di USIM,” katanya.

Menurutnya, buddy yang ditampilkan terdiri daripada pelajar cemerlang dan ia dapat menjadikan mereka sebagai idola dan inspirasi kepada para peserta.

“Diharapkan Program Selangkah ke USIM ini dapat menambat hati para peserta dan seterusnya memilih USIM sebagai destinasi pengajian tinggi pilihan pertama mereka pada depan,” katanya.

Sumber: Utusan Malaysia