Nilai, 16 Jun 2009 – Universiti Sains Islam Malaysia sekali lagi menganjurkan Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan buat kali kedua tahun 2009. Pertandingan debat ini berlangsung selama lima hari bermula 12 hingga 16 Jun 2009. Sebanyak 52 buah sekolah dari seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.Menurut pihak penganjur, Pertandingan Debat Bahasa Arab antara Sekolah Menengah Peringkat Kebangsaan dianjurkan buat kali kedua didukungi oleh beberapa objektif iaitu menyemarakkan penguasaan Bahasa Arab di kalangan pelajar sekolah di samping mewujudkan perkongsian pintar dengan Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM).

Acara kemuncak pertandingan ini telah mempertemukan Kolej Islam Sultan Alam Shah, Selangor (KISAS) dengan Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah, Shah Alam (SAMTAJ) untuk bertanding di peringkat akhir.

Bersandarkan tajuk “Kelalaian Ibu Bapa Punca Utama Keruntuhan Akhlak Remaja” , KISAS selaku pihak pencadang telah muncul juara dengan kiraan markah juri sebanyak 5:2 sekali gus menempatkan SAMTAJ di tempat kedua. KISAS membawa pulang RM 2500, piala pusingan Naib Canselor, piala iringan dan sijil penyertaan. Manakala SAMTAJ berjaya membawa pulang RM 2000, piala iringan dan sijil penyertaan.

Pendebat Terbaik telah disandang oleh Siti Aisyah Mohd Ramli pendebat dari KISAS dan membawa pulang RM 800, piala iringan dan sijil penghargaan.

Sebagai pihak pencadang, KISAS bersetuju bahawa kelalaian ibu bapa punca utama keruntuhan akhlak remaja. KISAS menegaskan pendidikan awal anak-anak adalah bermula dari rumah. Justeru itu perlakuan anak-anak samada positif atau negatif ditentukan melalui pendidikan yang diberikan oleh ibu bapa. Sesetengah Ibu bapa pada masa kini kurang memantau pergerakan dan pergaulan anak-anak disebabkan kesuntukan masa. Oleh itu anak-anak hanya dilimpahi wang ringgit tanpa mengetahui tujuan wang itu disalurkan.

Manakala SAMTAJ selaku pihak pembangkang menegaskan bahawa kelalaian ibu bapa bukan punca utama keruntuhan akhlak remaja. Keruntuhan akhlak remaja berpunca dari persekitaran, media massa dan kawan-kawan.

Pertandingan akhir ini telah dirasmikan oleh Yang Berusaha En. Muhammad Haizuan Rozali, Pemangku Pendaftar mewakili Naib Canselor USIM. Turut hadir Tuan Haji Abdullah Salleh, Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Islam, Kementerian Pelajaran Malaysia.

Oleh :
pro@usim.edu.my
Tel : 06-7988025/8026/8028