NILAI, 24 Februari 2022 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) membuka sebuah lagi pusat kesihatan swasta yang dikendalikan dibawah USIM Healthcare Sdn Bhd (UHSB) dengan menyediakan perkhidmatan perubatan kepada masyarakat untuk mendapatkan rawatan kesihatan.

Perasmian Poliklinik Kesihatan USIM disempurnakan oleh Yang Berhormat Senator Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al- Bakri Pengerusi Lembaga Pengarah USIM petang semalam di Nilai Square yang turut dimeriahkan dengan Hari Terbuka.

UHSB yang dahulunya dikenali sebagai Pusat Pakar Kesihatan USIM (PPKU) telah mula beroperasi pada 10 April 2015 sebelum diswastakan pada 26 April 2019 sebagai anak syarikat USIM Tijarah Holdings Sdn Bhd (UTHSB).

Menurut Pengarah Eksekutif USIM Healthcare Dr Azrul Azlan Iskandar Mirza, Poliklinik Kesihatan USIM yang terletak di Nilai Square mula beroperasi dan memberi perkhidmatan rawatan kesihatan secara rasminya pada Januari 2021 lepas, namun berikutan situasa semasa pandemik Covid-19, perasmian pembukaan terpaksa ditangguhkan”.

“Terletak di Nilai Square, UHSB mengendalikan Klinik Pakar Kesihatan USIM, Klinik Pakar Pergigian USIM, Pusat Hemodialisis MAINS-PNB-USIM dan yang terbaru ialah Poliklinik Kesihatan USIM. Warga USIM dan juga masyarakat luar boleh mendapatkan perkhidmatan pakar perubatan, pakar pergigian, hemodialisis dan rawatan pesakit luar dengan harga yang berpatutan.

Jelas Dr Azrul Azlan, UHSB juga telah mewujudkan sebuah tabung yang dikenali sebagai Tabung Tabarru’ bertujuan untuk membantu keluarga asnaf atau mereka yang kurang berkemampuan mendapatkan rawatan di klinik.

“Sehingga tahun 2021, kami telah membelanjakan sebanyak RM243, 504 pada rawatan-rawatan asnaf dan program -program kesihatan yang dianjurkan khas untuk mereka. Sumber tabung tabarru’ ini adalah dari kutipan pakar-pakar, sumbangan syarikat korporat dan sumbangan orang awam”.

 

Disediakan oleh:
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan