NILAI, 9 Jun 2020 – Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) ingin mengucapkan jutaan tahniah kepada para pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang berjaya mendapat tawaran menyambung pengajian di peringkat Tamhidi Sesi Akademik 2020/2021. USIM sentiasa memastikan jaminan kualiti akademik dan akreditasi memenuhi standard semasa dalam semua program akademik yang ditawarkan. Secara keseluruhan, sebanyak 67 program akademik (77.9%) yang ditawarkan di USIM mencapai status akreditasi penuh oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) Kementerian Pengajian Tinggi Malaysia, manakala 14 program (16.3%) mendapat akreditasi sementara.

Untuk makluman, program Tamhidi telah memperolehi akreditasi penuh oleh MQA secara keseluruhan iaitu 100%. Manakala, sebanyak 25 program daripada 32 program yang ditawarkan di peringkat Sarjana Muda juga telah mendapat akreditasi penuh dan 5 program (15.6%) mendapat akreditasi sementara oleh MQA. Selain itu, sebanyak empat program Sarjana Muda mendapat akreditasi penuh dari badan profesional iaitu SM Perubatan dengan Kepujian, SM Pergigian dengan Kepujian, SM Kejuruteraan Elektronik dengan Kepujian dan SM Seni Bina dengan Kepujian.

Program Sarjana Muda Undang-Undang dan Syariah (SMUS) juga telah mendapat akreditasi penuh oleh MQA pada 1 Disember 2011 (MQA/FA1594) dan diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) dan Suruhanjaya Perkhidmatan Awam (SPA) untuk lantikan dalam perkhidmatan kerajaan dan swasta. Manakala, proses pengiktirafan SMUS oleh badan profesional iaitu Legal Profession Qualifying Board (LPQB) kini berada pada tahap akhir penilaian yang bertujuan untuk membolehkan graduan beramal sebagai peguambela dan peguamcara. USIM sentiasa komited bagi memastikan kesemua program akademik yang ditawarkan mencapai status akreditasi penuh dan diiktiraf oleh MQA dan badan profesional. Untuk makluman, graduan SMUS kini kebanyakannya berkhidmat sebagai pegawai tadbir/ pegawai tadbir dan diplomatik/pegawai syariah / pegawai perkhidmatan pendidikan, pensyarah / peguam syarie / eksekutif undang-undang dan lain-lain) selain dari profesion Peguambela dan Peguamcara dan pegawai undang-undang di bawah Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan.

Buat masa ini, ramai graduan USIM sedang berkhidmat di pelbagai sektor kerajaan atau swasta. Kajian Kebolehpasaran Graduan pada 2019 menunjukkan USIM berjaya mencapai 93% secara keseluruhan dan berada ditangga keenam dalam kalangan 20 Universiti Awam di Malaysia.

 

Disediakan oleh:
Syazlyna Jamil
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan