NILAI, 26 Okt.– Bertempat di Dewan Kuliah Pusat (DKP) 3 dan 4, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah berlangsung dengan jayanya Program Bimbingan Kerjaya 2013. Program dengan moto “Find Your Future” yang berlangsung selama satu hari ini adalah anjuran bersama New Straits Times Press (NSTP) dan Lembaga Tabung Haji (LTH). Majlis dirasmikan oleh YBhg. Haji Saimi Mat Som, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji. Turut hadir sama ialah En Nasrul Hakim, Timbalan Pendaftar Bahagian Hal Ehwal Pelajar USIM.
Program ini telah melibatkan lebih 480 orang pelajar USIM dan seramai 53 orang ahli jawatankuasa yang terdiri daripada Kelab Pembimbing Rakan Universiti (PRU) dan Kelab Taha@U dimana Syarikat Media Prima dan Lembaga Tabung Haji Malaysia adalah penggerak utama dalam menjayakan program ini.
Secara keseluruhannya, objektif utama program ini adalah untuk memberi bimbingan dan pendedahan mengenai prospek kerjaya kepada mahasiswa Universiti Sains Islam Malaysia khususnya bagi pelajar tahun akhir.
Terdapat enam program yang menarik sepanjang program ini Seperti Jelajah Kembara, Kerjaya Dalam Industri Media, Peluang Kerjaya Bersama Avon, Pep Talk With The Right Man oleh Ustaz Izhar Ariff, Bicara Kerjaya dan Pengucapan Awam oleh Ally Iskandar, personaliti TV3. Disamping itu, terdapat aktiviti-aktiviti lain yang turut diadakan seperti pembukaan booth oleh Jobs Malaysia, Berita Harian, Tabung Haji, IKON, Avon, dan NIB Exhibition; Mock & Real Interviews, 30 Minutes Special Slot with IKON dan Lucky Draw and Games.
Menurut Ybg. Haji Saimi Mat Som, Pengurus Besar Bahagian Khidmat Pelanggan Tabung Haji selaku perasmian majlis memberitahu bahawa bimbingan kerjaya ini diadakan untuk mendedahkan peluang kerjaya kepada para mahasiswa disamping membantu mahasiswa terutamanya mahasiswa muslim dalam mencari pekerjaan mengikut kelayakan masing-masing. Tambahnya lagi, ”para mahasiswa seharusnya mengambil peluang ketika berada di universiti bukan sekadar belajar tetapi turut melibatkan diri dalam aktiviti berpersatuan dalam meningkatkan soft skill sebagai persediaan di alam pekerjaan nanti”.
Disediakan oleh:
Azlan Yusof
Pengarah Program (Pelajar Tahun 2 Fakulti Syariah Undang-Undang)
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Penolong Pegawai Media StraComm