MELAKA – Fakulti Sains dan Teknologi (FST), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) melalui FaST Lab menyokong pelaksanaan Rehlah Sains 2026 (RS 2026) anjuran Pusat Sains Negara yang berlangsung pada 10 hingga 11 Ogos 2026 di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM).

Mengangkat slogan “Menelusuri Keagungan Wahyu, Meneroka Keajaiban Sains”, program berkenaan merupakan inisiatif strategik Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) di bawah Program SciTech4U dan Minggu Sains Negara (MSN) yang bertujuan mendekatkan bidang sains, teknologi dan inovasi kepada masyarakat, khususnya pelajar sekolah agama dan pusat tahfiz.

RS 2026 turut mengetengahkan pendekatan integrasi Sains, Teknologi, Inovasi dan nilai al-Quran (STIQ) dalam usaha memperkasa literasi sains dalam kalangan peserta.

Pendekatan tersebut memberi peluang kepada pelajar melihat sains bukan sekadar sebagai satu disiplin akademik, tetapi juga sebagai medium untuk memahami dan menghayati kebesaran Allah SWT melalui penciptaan-Nya.

Penglibatan FST USIM dalam program itu turut mencerminkan komitmen universiti untuk memperluas ekosistem STEM kepada pelbagai lapisan masyarakat, selaras dengan aspirasi USIM dalam mengintegrasikan ilmu Naqli dan Aqli bagi melahirkan generasi yang celik sains serta berpaksikan nilai.

Antara pengisian yang diketengahkan ialah Bengkel Khat 3D Printing yang menggabungkan elemen seni, teknologi dan kreativiti menerusi pendekatan pembelajaran secara hands-on.

Bengkel berkenaan bukan sahaja memperkenalkan peserta kepada teknologi pencetakan tiga dimensi (3D), malah memberi peluang kepada mereka meneroka bagaimana teknologi moden boleh dimanfaatkan untuk menghasilkan karya yang mempunyai nilai seni dan identiti tersendiri.

Menurut Pengerusi FaST Lab, Prof. Madya Dr. Nur Athirah M. Taib, penglibatan dalam program seperti RS 2026 diharap dapat memberikan impak positif terhadap pembangunan STEM, khususnya dalam kalangan pelajar tahfiz dan institusi pendidikan agama.

“Usaha sebegini diharapkan dapat memberi impak yang signifikan terhadap pembangunan STEM, khususnya dalam kalangan pelajar tahfiz dan institusi pendidikan agama, di samping memperkukuh jaringan strategik antara FST USIM dan Pusat Sains Negara.

“Rehlah Sains bukan sekadar sebuah program, tetapi merupakan satu perjalanan ilmu yang menghubungkan wahyu dengan penerokaan sains,” katanya.

Program yang turut terbuka kepada guru dan orang awam itu memperlihatkan bahawa pembudayaan STEM boleh diperluas melalui aktiviti komuniti yang menggabungkan pendidikan, kreativiti, inovasi dan nilai.

Kerjasama antara Pusat Sains Negara dan FaST Lab menerusi Rehlah Sains 2026 akan diteruskan di Muar, Johor pada 26 hingga 27 Ogos ini bagi memperluas jangkauan program kepada lebih ramai pelajar, guru dan komuniti.

Oleh: Aina Farzana Azrul Anuar