NILAI, 25 September 2020 – Majlis Perasmian Penutup Sambutan Bulan Kebangsaan peringkat Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) telah dirasmikan oleh Naib Canselor Prof. Dr. Mohamed Ridza Wahiddin bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3.

Meskipun kita masih berperang dengan pandemik COVID-19 dan berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), ianya tidak menjadi penghalang untuk kita menganjurkan pelbagai aktiviti yang menarik sebagai bukti kecintaan kepada negara dan dalam masa yang sama dapat membangkitkan semangat patriotik dalam kalangan warga USIM.

Majlis Sambutan pada tahun ini mempunyai kelainan iaitu berbeza dengan tahun-tahun sebelumnya, tahun 2020 sambutan diraikan secara beramai-ramai di dewan, ia menggambarkan perpaduan yang wujud di antara kita dan melambangkan keluarga besar USIM. Tiada perarakan seperti kelaziman sambutan sebelum ini namun sesuai dengan norma baharu kita hanya berkumpul dalam jumlah yang agak kecil.

Menariknya, pada hari ini bersempena sambutan penutup ini turut diadakan perkongsian daripada Y.Bhg Tan Sri Musa Hassan, Mantan Ketua Polis Negara merangkap ahli Lembaga Pengarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengenai pengalaman beliau ketika menerajui institusi keselamatan negara demi menjaga kedaulatan dan kemerdekaan negara kita.

Tan Sri Musa dalam perkongsiannya mengatakan, perpaduan merupakan tunggak kepada keamanan negara, badan beruniform disaran tidak berkompromi kepada pihak yang cuba menggugat dan merosakkan keamanan negara.

“Terapkan dalam jiwa kita sayang dan cinta kepada negara Malaysia, semaikan prinsip berintegriti dan menunjukkan teladan yang baik kepada orang bawahan agar keamanan sentiasa terpelihara”, tambah beliau lagi.

Sebanyak 10 aktiviti telah dijalankan sepanjang sambutan Bulan Kebangsaan ini bermula 28 Julai 2020 sehingga hari ini. Antara program yang dijalankan adalah Perasmian Pembukaan Sambutan Bulan Kemerdekaan, Pertandingan Poster Kebangsaan, Pertandingan Jabatan Patriotik, Festival Koir Kemerdekaan Piala Pendaftar, Borak Rakyat, Ekspresi Merdeka, Khutbah Jumaat Edisi Bulan Kebangsaan, Bacaan Puisi Rumah Pena, Majlis Bacaan Yaasin dan Doa Selamat dan Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Kemerdekaan.

Turut dilancarkan Kempen #ILoveUSIM gelombang ketiga yang merupakan salah satu usaha bagi menyambut baik saranan Naib Canselor bagi menjadikan USIM sebagai Universiti Islam Glokal Berimpak Tinggi dengan melahirkan graduan yang holistik dan seimbang menuju Institusi Pendidikan Sains Islam Ulung.

Turut hadir Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof. Dr. Abdul Rahim Abdul Rahman, Timbalan Naib Canselor Akademik Hal Ehwal dan Pelajar Prof. Madya Dr. Mohd Rushdan Mohd Jailani, Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi Prof. Dr. Amiruce Marhaban dan Pendaftar Dato Mohamad Haizuan Rozali.

Disediakan oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan