PERAK, 7 MAC 2015 – Seramai 80 orang pelajar Kelas Aliran Agama (KAA) dari tingkatan 1 hingga 5 SMK Lambor Kiri, turut serta dalam Program Sahsiah Unggul Murid (SUMUR). Program anjuran Out Campus Student Secretariat (OCSS) Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) atau dikenali sebagai Sekretariat Pelajar Luar Kampus ini melibatkan seramai 31 orang fasilitator yang bertugas.

Sekolah Menengah Kebangsaan Lambor Kiri, Perak adalah di antara sekolah yang terlibat sebagai Pusat Penempatan bagi mangsa-mangsa banjir di Perak Tengah, Perak pada penghunung tahun 2014 dan dfi awal tahun 2015 yang lalu. Usaha yang dilaksanakan olehnpihak Sekretariat OCSS, USIM bagi membantu pihak sekolah menganjurkan Program SUMUR ini adalah sebahagian daripada usaha mengembalikan motivasi untuk para pelajar yang terjejas dengan musibah banjir yang lalu.

Sepanjang program tersebut, pelbagai pengisian aktiviti yang menarik dan santai telah diadakan untuk para pelajar bagi memupuk keyakinan diri dan semangat dalam menuntut ilmu. Program ini juga merupakan satu usaha murni supaya dapat melahirkan para pelajar yang mempunyai matlamat hidup yang jelas, berwawasan tinggi serta berinspirasi untuk terus berjaya dalam apa jua bidang. Pada hari pertama dan kedua, para pelajar disediakan dengan pelbagai aktiviti Latihan Dalam Kumpulan (LDK).

Taklimat mengenai peluang kemasukan ke Pusat Tamhidi USIM. Sesi Taklimat ini diadakan adalah untuk menerangkan kelebihan USIM sebagai pendedahan dan dorongan kepada para pelajar seterusnya menjadikan USIM sebagai pilihan utama untuk melanjutkan pelajaran di peringkat asasi (matrikulasi) atau ijazah. Taklimat mengenai USIM ini disampaikan oleh En. Mohd Nurhakimi Bin Md Yaman, Penolong Pendaftar, dari Pusat Tamhidi USIM Selain itu juga, turut diadakan sesi perkongsian bersama En Mohd Asri Hj Husain, Timbalan Pengarah, Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), USIM dan Cikgu Abdullah Samad, Guru Cemerlang, Maktab Rendah Sains MARA (MRSM), Parit, Perak.

Segala aktiviti untuk pelajar-pelajar diuruskan oleh Seketariat Pelajar, OCSS sendiri. Semua aktiviti ini bertujuan untuk menerapkan nilai dan semangat kerjasama di kalangan pelajar, memupuk kemahiran berfikir, mengenal pasti potensi diri, menyemai sikap-sikap positif, berakhlak sekaligus membentuk para pelajar berintegriti yang patuhi syariat. Selain itu, forum perkongsian pengalaman daripada beberapa fasilitator juga diadakan bagi mendedahkan  para pelajar tentang teknik pembelajaran yang efektif, cara menguruskan diri dan masa serta kepentingan Bahasa Arab dalam kehidupan.

Majlis Perasmian Program SUMUR ini telah disempurnakan oleh Pengetua SMK Lambor Kiri, Puan Hajah Bainahn Ab Dollah dan turut dihadiri oleh guru-guru sekolah berkenaan. Pada Majlis Perasmian SUMUR ini juga, pihak Persatuan Pegawai Tadbir dan Ikhtisas (PRAGMATIS), USIM turut menyampaikan sumbangan kepada pihak sekolah sebanyak RM2,000.00 hasil daripada kutipan kakitangan dan pelajar Universiti untuk membantu mangsa banjir di sekolah berkenaan.

Disediakan oleh:

Mohd Asri Husain

PUSAT KOMUNIKASI STRATEGIK (STRACOMM)

Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)

71800 Nilai, Negeri Sembilan