Bandar Baru Nilai, 29 Jun 2010 – Tanggungjawab sosial Universiti dan masyarakat tidak terhad kepada Program Khidmat Masyarakat (OPKIM) oleh pelajar namun program kesedaran kepada pelajar sekolah luar bandar tentang suasana pembelajaran di universiti juga menjadi agenda sosial Universiti sekaligus menyuntik semangat kepada para pelajar untuk belajar bersungguh-sungguh hingga berjaya ke menara gading.

Justeru itu melalui pendedahan dan pengalaman sehari di kampus, Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri (BAKTI) dengan kerjasama Kementerian Pengajian Tinggi dan 14 Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) telah menjayakan ’Program Selangkah Ke Universiti’ yang diadakan di Universiti Sains Islam Malaysia (USIM).

Sebelum ini, BAKTI dan KPT telah memilih Universiti Putra Malaysia (UPM) sebagai tuan rumah bagi melaksanakan Majlis Pelancaran Program Selangkah ke Universiti pada 6 April 2010 yang lalu dan kini USIM merupakan destinasi kedua selepas UPM.

Selangkah Ke Universiti merupakan program sehari di mana pelajar dibawa ke universiti dan menjalani proses penerapan dan pendedahan kampus yang bertujuan supaya mereka lebih mengenali kehidupan di universiti. Di samping itu menggalakkan mahasiswa universiti untuk terlibat dengan aktiviti kemasyarakatan.

”Seramai 210 pelajar tingkatan 4 dari 3 kawasan di Negeri Sembilan iaitu Jelebu, Tampin dan Kuala Pilah telah di pilih untuk menyertai program ini. Sasaran kumpulan adalah kepada mereka yang tidak mempunyai ahli keluarga yang pernah belajar di universiti dan berpotensi untuk berjaya”, kata Y.Bhg. Datin Sri Azlina Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Kecil Pendidikan BAKTI.

Program satu hari ini telah dirasmikan oleh YB. Dato’ Haji Hasan Malek, Timbalan Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah.

”Program sebegini adalah sangat bagus dan bermanfaat untuk mendorong memajukan diri, melahirkan anak-anak yang berilmu dan berbudi bahasa disamping memberi pendedahan dari segi pergaulan dan bidang-bidang yang diminati”, kata YB Dato’ Haji Hasan Malek semasa berucap di Majlis Perasmian Penutup Program Selangkah ke Universiti.

Pelbagai program menarik telah disusun sepanjang program ini berlangsung. Antaranya adalah Ceramah ’Mengapa Mesti Ke Universiti’ oleh Prof. Dr. Jalani Sukaimi, Dekan Fakulti Sains dan Teknologi (FST) USIM, Sesi bersama Karangkraf dan Majlis Perwakilan Pelajar USIM serta lawatan sekitar kampus USIM.

Salah seorang pelajar dari Sekolah Menengah Agama Datuk Haji Tan Ahmad, Jelebu, Mohd Arif Hanis Mohd Nasri berkata, beliau begitu teruja untuk menyambung pelajaran ke IPTA selepas program ini.

”Saya begitu gembira mengikuti program ini kerana selain dapat menambah kenalan, saya juga memperolehi maklumat berkenaan universiti dan program-program yang ditawarkan yang sekaligus mendorong saya untuk belajar bersungguh-sungguh agar dapat menyambung pelajaran di peringkat tertinggi kelak”, katanya lagi

Bagi pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Tunku Syed Idrus, Tampin, Siti Nor Shahida Othman pula berkata, program sebegini adalah sangat bagus kerana banyak ilmu yang diperolehi di samping pelbagai tempat menarik dapat dilawati di sekitar kampus USIM.

Oleh :
Siti Maizatul Akmar Ismail
Pembantu Wartawan
Unit Komunikasi Korporat
pwartawan@usim.edu.my
Tel : 06-7988025