NILAI – Pusat Islam Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) bersama-sama Sekretariat Pusat Islam USIM menganjurkan Seminar Tadabbur Al-Quran 2016 bersempena dengan penganjuran Ihtifal Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Asean baru-baru ini di Kampus USIM, Nilai Negeri Sembilan.

Penganjuran program seminar selama sehari bertempat di Dewan Kuliah Pusat 3 USIM turut mendapat tajaan oleh Hidayah Centre berjaya menarik penyertaan belia khususnya mahasiswa universiti tempatan seramai 430 orang. Antara university yang menyertai adalah Universiti Malaya, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Kuala Lumpur dan USIM sendiri.

Turut tertarik untuk menyertai seminar ini bagi mendalami dan menghayati keindahan mukjizat Allah SWT yang terbesar diberikan kepada Nabi Muhammad SAW sebagai Rasul terakhir adalah pelajar sekolah. Mereka merupakan para pelajar dari Sekolah Imtiyaz , Dungun Terengganu; Institusi Quran Terengganu serta dari Hidayah Centre dan ahli Qariah Masjid Terengganu.

Memfokuskan kepada kepentingan mempelajari, mendalami dan menghayati mesej yang disampaikan oleh Allah SWT melalui Rasul-Nya sebagaimana yang tercatat di dalam Al-Quran, seramai empat ilmuan dijemput untuk berkongsi pengetahuan dan kepakaran mereka dalam lapangan masing-masing.

Pengarah Pusat Islam USIM, Dr. Khairul Anuar Mohamad yang banyak menulis buku dan jurnal berkaitan Al-Quran antaranya Ilmu tajwid, Ulum Al-Quran dan Peranan Al-Dabt dalam bacaan Al-Quran mengupas tajuk “Tadabbur Makna Al-Quran” bersama para hadirin.

Pemegang Doktor Falsafah dalam bidang Tarannum dari Universiti Malaya iaitu Dr. Muhammad Lukman Ibrahim membuka pemikiran perserta dengan topik “Tadabbur dalam Seni Al-Quran”. Beliau yang merupakan personaliti agama yang kerap muncul di televisyen seperti rancangan Madrasah Al-Quran, Pentas Dakwah dan Muhasabah TV Alhijrah ini juga pernah muncul Johan Musabaqah Al-Quran antara Universiti peringkat Kebangsaan pada tahun 2007.

Ustaz Ahmad Tarmizi Abdul Rahman yang merupakan alumni USIM dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Pengajian Quran dan Sunnah mula dikenali apabila menjadi tiga finalis terakhir Akademi Al-Quran musim ketiga terbitan TV9. Pernah muncul johan dalam beberapa pertandingan tilawah Al-Quran peringkat Negeri Terengganu dan kebangsaan sebelum ini, topik “Teori dan Praktikal Mudah Menguasai Seni Lagu Al-Quran” menjadi wahana perkongsian beliau dalam seminar ini.

Para peserta seminar kali ini juga di bawa untuk menghayati sejarah perkembangan taranum di Malaysia yang dikongsikan oleh Ustaz Anuar Hasin yang merupakan juara Akademi Al-Quran musim kedua dan Qari Malaysia ke Pertandingan Tilawah Al-Quran Antarabangsa pada 2013. Merupakan pensyarah di Fakulti Pengajian Quran dan Sunnah USIM, beliau telah mewakil Negeri Perak ke Tilawah Al-Quran Kebangsaan pada 2009,2010,2011 dan 2013.

Walaupun kali pertama dianjurkan, Seminar Tadabbur Al-Quran berjaya memberi pengalaman dan pengetahuan baharu kepada para peserta menambah rasa kecintaan kepada Kalamullah ini dan seni taranumnya.

Tan Sri Dr. Abdullah Md Zin, Penasihat Agama kepada YAB Perdana Menteri Malaysia semasa berucap di Majlis Penutup Ihtifal IPT Asean memuji penglibatan para mahasiswa dalam program ini dan ia adalah bukti kesungguhan dan kecintaan masyarakat dalam menjunjung budaya dan mengagungkan Al-Quran dan memartabatkan bahasa Al-Quran iaitu bahasa Arab.

“Negara sangat mendambakan munculnya generasi belia yang mempunyai kekuatan sama seperti yang pernah dilahirkan dalam sejarah ketemadunan umat pada masa silam. Generasi belia yang memiliki kekuatan semangat dan daya juang yang tinggi, luas penguasaan ilmu serta keupayaan untuk memimpin anggota masyarakat,” ujarnya.

Ihtifal IPT Asean tahun ini bertemakan ‘Wasatiyyah Asas Transformasi Belia’ mula dianjurkan pada 2011 merupakan perluasan daripada Pertandingan Debat Bahasa Arab IPT Asean yang mula diadakan pada 2007 anjuran Bahagian Hal Ehwal Pelajar dan Kelab Debat USIM.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204