NILAI – Di dalam melahirkan mahasiswa berfikiran kreatif, aspek pemahaman secara praktikal dan kemahiran  mencipta serta mencerna idea baru di dalam menyelesaikan sesuatu masalah ataupun membuat keputusan merupakan aspek yang perlu dititik beratkan.

Menyedari akan pentingnya perkara ini, Pusat Pengajian Teras (PPT) telah mengambil inisiatif ini dengan menganjurkan SPARK 2012 (Seminar Dan Pameran Produk Kreatif) pada 5 Mei 2012 di dalam memperkasa dan membentuk para mahasiswa untuk menguasai dan mengamalkan aspek kreativiti dan inovasi dengan lebih berkesan.

Bertepatan dengan kata-kata Edward de Bono, seorang pemikir lateral berkata “Pemikiran kreatif bukannya suatu bakat. Ianya adalah kemahiran yang boleh dipelajari. Ia memberdayakan orang dengan menambah kekuatan terhadap kemampuan semula jadi mereka yang akan meningkatkan kerjasama, produktiviti dan keuntungan’, di antara objektifnya adalah untuk meningkatkan kefahaman konsep pemikiran kreatif dan kepentingan kretiviti dalam menyelesaikan masalah serta menggalakkan penciptaan idea baru, menjelaskan idea dan mencerna idea kepada penghasilan produk kreatif serta inovatif.

Bertempat di Stadium Tertutup Nilai, program yang melibatkan kira-kira 1700 orang pelajar ini mengenengahkah produk-produk hasil daripada kreativiti mereka melalui 5 kategori yang terdiri daripada elemen-elemen seperti  Sains dan Teknologi (Science and Technology); Seni dan Rekacipta (Art and Design): Teknologi Hijau (Green Technology): Makanan dan Minuman (Food and Beverages): Kualiti dan Kehidupan Manusia (Quality and Human Life).

Bertemakan “Black: Enhancing Creativity and Innovation”, SPARK 2012 turut dimuatkan dengan sesi ceramah bertajuk “Membina Generasi Kreatif dan Inovatif” yang disampaikan oleh Y. Bhg. Prof. Dato’ Dr. Ahmad bin Zainuddin dari Fakulti Seni, Komputeran dan Industri Kreatif, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan ceramah “Kreativiti dan Inovasi dari Perspektif Islam” oleh Prof. Madya Dr. Muhammad Mustaqim Mohd Zarif dari Institut Kefahaman Quran dan Sunnah, USIM.

Oleh:
Khairul Azizi Elias
Bahagian Komunikasi Korporat dan Perhubungan Antarabangsa