NILAI, 20 DIS 2015 – Sesi persekolahan tahun hadapan yang akan dibuka pada awal Januari nanti memberi kegembiraan kepada 22 orang anak yatim apabila di bawa membeli belah barangan persekolahan mereka bersama kakitangan Pusat Komunikasi Strategik (StraComm), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM.

Anak-anak yatim dari Rumah Anak Yatim Asnaf Murni Sendayan, Negeri Sembilan terlebih dahulu di bawa melawat Kampus USIM dan Canselori pada sebelah paginya. Mereka selepas itu ke Pasaraya Tesco Bandar Baru Nilai untuk mendapatkan keperluan persekolahan seperti baju seragam, kasut, alat tulis, beg sekolah, pakaian sukan dan lain-lain lagi.

Menurut Encik Mohd Asri Husain Timbalan Pendaftar Kanan StraComm, program Tanggungjawab Sosial (CSR) Jabatan tahun ini telah memilih untuk memberi kegembiraan kepada anak-anak yatim sebagai menutup buku 2015 dengan aktiviti berbentuk amal kebajikan.

“Ini salah satu bentuk aktiviti yang selari dengan saranan YAB Menteri Besar Negeri Sembilan untuk USIM sentiasa dekat dihati masyarakat negeri ini. Pada November lalu, StraComm telah hasilkan buku khas ‘USIM di Negeri Sembilan’  yang dilancarkan oleh DYMM Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani binti Tengku Besar Mahmud, Canselor USIM. Buku ini menceritakan hubungan langsung dan akrab silaturrahim USIM dengan Istana, Kerajaan Negeri, sekolah dan rakyat sepanjang 15 tahun USIM ditubuhkan.”  jelas Encik Asri.

Pada program ini, kakitangan StraComm meluangkan masa hampir tiga jam bersama anak-anak yatim memilih keperluan persekolahan yang sesuai. Kegembiraan jelas terpancar di wajah mereka dan pihak Pengurusan Rumah Anak Yatim Asnaf Murni Sendayan yang turut serta mengucapkan terima kasih pada USIM atas sumbangan yang diberikan. Terdapat juga sumbangan individu semasa program membeli-belah di Tesco dijalankan. Semoga Allah merahmati usaha ini. Turut  hadir sama menjayakan program ini, Pengarah StraComm Dr Faizal Kasmani dan Pengerusi Rumah Anak Yatim Asnaf Murni Ustaz Mohd Shukri Abu Hassan.

Disediakan oleh:

Zaini Othman
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
71800 Nilai, Negeri Sembilan

Tel : 06-798 8026/8027/6284 Faks : 06-798 8204