PAHANG, 20 Mac 2023 – Atlet dari Pusat Tamhidi Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) tidak pulang tangan kosong dari kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) yang berlangsung baru-baru ini dengan menghadiahkan satu pingat emas dan dua pingat gangsa untuk universiti. Turut membanggakan, apabila berjaya menempatkan diri di kedudukan enam pasukan terbaik keseluruhan dari 14 buah pusat asasi dan matrikulasi yang menyertai SAM kali ini.
Bertempat di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Gambang Pahang, USIM menghantar seramai 118 orang atlet bersama 22 pegawai pengiring untuk memburu pingat dalam sembilan acara daripada 12 acara dipertandingkan antaranya futsal, bola jaring, bola tampar, badmintan, e-sport dan olahraga.
Menurut Ketua Kontinjen Tamhidi, Aiza Azrin Mohd Zain, acara olahraga menepati sasaran awal untuk menyumbang pingat emas kepada USIM.
“Alhamdulillah, syukur dengan pencapaian kontigen Pusat Tamhidi USIM dalam kejohanan kali ini dengan membawa pulang tiga pingat. Kita raih emas tunggal dalam acara larian 1500 meter lelaki manakala dua pingat gangsa diraih melalui acara bola jaring dan ping-pong”.
“Terima kasih kepada pengurusan universiti, Pusat Tamhidi, Pusat Sukan dan semua pihak yang terlibat dalam mempersiapkan atlet kita. Melalui kejohanan ini, Pusat Tamhidi secara langsung membantu universiti mengenalpasti bakat-bakat muda atau ‘ubi muda’ lebih awal untuk digilap dan seterusnya berpotensi diserap sebagai atlet utama universiti”.
Menjadi wadah untuk membentuk interaksi dan kerjasama dalam kalangan pelajar asasi universiti awam dan matrikulasi, perasmian penutup Sukan Asasi Malaysia berlangsung meriah dengan disempurnakan oleh Yang Berhormat Tuan Fadzli Mohamad Kamal, Exco Komunikasi dan Multimedia, Belia, Sukan dan Badan-badan Bukan Kerajaan Negeri Pahang. Tuan rumah, UIAM dinobatkan sebagai juara keseluruhan dengan pungutan 14 pingat emas, empat perak dan dua gangsa.
sumber: Pusat Tamhidi
Dikemaskini oleh:
Noorumaina Mohamed Yunus
Pusat Komunikasi Strategik (StraComm)
Aras 1, Canselori Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)
Bandar Baru Nilai, 71800 Nilai Negeri Sembilan