Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian Lee
Dr. Umi Hamidaton Mohd Soffian LeePensyarah Kanan Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Felo Muda AKEPT

Mahasiswa bukan sahaja dituntut untuk mencapai kecemerlangan akademik malah perlu memiliki nilai kemanusiaan, empati dan tanggungjawab sosial yang tinggi. Sebagai generasi pemimpin masa hadapan, mahasiswa perlu didedahkan kepada pengalaman sebenar dalam masyarakat agar mampu memahami cabaran kehidupan, menghargai perbezaan serta menyumbang kepada kesejahteraan komuniti. Seiring dengan Hasrat tersebut pelajar Kursus Transformasi Kepimpinan Mahasiswa Muda (CLA1022) telah mengambil inisiatif menyertai Program Together We Care melalui lawatan ke Rayyan OT Centre, yang memberi peluang kepada mereka berinteraksi secara langsung dengan kanak-kanak OKU. Pengalaman ini bukan sahaja memperluas perspektif pelajar terhadap kehidupan golongan OKU, malah menjadi wadah penting dalam membentuk mahasiswa yang lebih prihatin, berempati, matang dan mempunyai semangat kesukarelawanan.

Pengalaman Pembelajaran Berasaskan Komuniti

Lawatan ke Rayyan OT Centre memberikan pengalaman pembelajaran yang berbeza daripada pembelajaran secara konvensional di dalam bilik kuliah. Melalui interaksi bersama kanak-kanak OKU dan warga pusat tersebut, mahasiswa berpeluang memahami dengan lebih dekat cabaran, keperluan serta potensi golongan OKU. Pengalaman ini membantu pelajar melihat bahawa setiap individu mempunyai keupayaan, keperluan dan potensi yang tersendiri serta wajar dihormati dan diberikan peluang untuk berkembang. Pendekatan ini menjadikan proses pembelajaran lebih bermakna kerana mahasiswa bukan sekadar memahami konsep kepimpinan secara teori, tetapi mengalami sendiri bagaimana seorang pemimpin perlu berinteraksi, menyesuaikan diri, memahami orang lain dan memberikan manfaat kepada komuniti.

Pembentukan Nilai Empati dan Keprihatinan dalam diri Mahasiswa

Antara impak utama program terhadap pelajar ialah peningkatan empati dan keprihatinan sosial. Interaksi bersama kanak-kanak OKU membuka perspektif mahasiswa terhadap kehidupan dan cabaran yang dihadapi oleh golongan tersebut. Pelajar dapat memahami bahawa keperluan seseorang tidak semestinya dapat dilihat secara fizikal dan setiap individu memerlukan pendekatan komunikasi, perhatian dan sokongan yang berbeza.

Pengalaman tersebut secara tidak langsung membantu mahasiswa membina sikap lebih sabar, sensitif terhadap perasaan orang lain serta menghargai kepelbagaian dalam masyarakat. Nilai empati yang terbentuk melalui pengalaman sebenar ini penting dalam pembentukan seorang pemimpin kerana kepimpinan bukan hanya berkaitan dengan keupayaan mengurus atau membuat keputusan, tetapi juga keupayaan memahami manusia dan mengambil kira keperluan pihak lain.

Selain itu, program Together We Care turut memberikan peluang kepada mahasiswa untuk mengembangkan kemahiran insaniah melalui penglibatan dalam aktiviti bersama kanak-kanak di Rayyan OT Centre. Situasi yang memerlukan pelajar berkomunikasi, bekerjasama dan menyesuaikan pendekatan dengan keperluan kanak-kanak membantu meningkatkan kemahiran komunikasi interpersonal, kerja berpasukan, penyelesaian masalah dan kepimpinan.

Tambahan lagi, pelajar juga belajar bahawa komunikasi yang berkesan bukan semata-mata bergantung kepada pertuturan, tetapi turut melibatkan bahasa tubuh (body language), ekspresi wajah (facial expression), kesabaran dan keupayaan membaca respons individu yang berinteraksi dengan mereka. Pengalaman ini dapat meningkatkan keyakinan diri mahasiswa untuk berkomunikasi dengan individu daripada latar belakang dan keupayaan yang berbeza. Justeru, melalui pengalaman ini, pelajar didorong untuk melihat kesukarelawanan sebagai satu bentuk tanggungjawab sosial dan bukan sekadar aktiviti kokurikulum. Pengalaman menyumbang masa, tenaga dan kemahiran kepada komuniti dapat membentuk mahasiswa yang lebih bertanggungjawab serta mempunyai kesedaran bahawa ilmu dan kemahiran yang dimiliki boleh digunakan untuk memberikan manfaat kepada orang lain.

Lawatan ke Rayyan OT Centre membolehkan mahasiswa memahami kehidupan golongan OKU melalui pengalaman langsung, seterusnya membina sikap lebih prihatin dan menghargai kepelbagaian manusia. Pada masa yang sama, pengalaman tersebut memperkukuh kemahiran komunikasi, kerja berpasukan, kepimpinan, penyelesaian masalah dan kesukarelawanan. Kesimpulannya, Together We Care bukan sekadar sebuah program lawatan, tetapi merupakan pengalaman transformatif yang menghubungkan pembelajaran dengan realiti kehidupan. Melalui pengalaman berinteraksi dengan kanak-kanak OKU, mahasiswa berpeluang “belajar untuk memahami, memahami untuk memimpin dan memimpin untuk memberi manfaat”. Lebih penting, program ini membantu merealisasikan aspirasi CLA1022 untuk melahirkan mahasiswa muda yang bukan sahaja mempunyai potensi kepimpinan, tetapi mempunyai nilai kemanusiaan dan tanggungjawab sosial.